Keselamatan siber di Malaysia masih lemah
PUTRAJAYA – Kerajaan meletakkan keutamaan terhadap keselamatan siber memandangkan Malaysia masih berada di tahap lemah berbanding negara lain.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, keutamaan itu termasuk menyediakan latihan kepakaran, membina jaringan bersama beberapa syarikat dan badan risikan siber yang boleh dimanfaatkan.
“Antara yang dilakukan kerajaan dalam menangani isu ini adalah dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dan baru-baru ini Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo memberi banyak tumpuan supaya keselamatan dalam talian itu dijamin untuk rakyat dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pada Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, undang-undang baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati akan dibentang di Parlimen Oktober ini.
Katanya, undang-undang itu antara lain bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet untuk memainkan peranan bagi menangani jenayah dalam talian seperti penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual.
Sementara itu, Anwar juga menepis dakwaan segelintir pihak bahawa tindakan kerajaan memperkenalkan undang-undang dan pelesenan baharu bagi pengendali media sosial adalah bertujuan mengekang kebebasan bersuara rakyat.
Tegas beliau, Malaysia adalah sebuah negara demokratik dan kebebasan diberikan dalam menyuarakan pandangan sama ada bersetuju atau menentang tindakan kerajaan.
“Urusan digital dan media sosial digunakan untuk mendera orang sehingga menyebabkan bunuh diri, salah guna memperalatkan anak-anak kecil untuk urusan dagang seks, apakah ini diwajarkan?
“Jenayah scam juga telah mencecah lebih RM2.5 bilion orang ditipu melalui kemudahan media sosial. Apabila kita kata harus sekat, dia kata jangan sekat kebebasan, apakah kebebasan itu boleh menipu, mencuri, mendera orang sehingga orang bunuh diri.
“Hal ini harus difahami rakyat kerana dalam soal keselamatan diri, harga maruah diri mesti diberi keutamaan,” ujarnya.
1 ulasan:
Media sosial terlalu kuasa, sampai penguasa kecut, ada baiya jual teh tepi jalan dapat perhatian Bill Gates, buat lagak lagak ngeri sikit, teknologi terkini semuanya orang lain usahakan, kita suka menumpang tetapi cakap banyak pulak siang malam kah kah kah tak apa asal baik boleh ikut, jangan ikut songsang belakang pusing sudah kah kah kah kaki tumpang memang lagak lebih sendiri tak mampu tapi ego fuyoo kah kah kah
Catat Ulasan