Pengurusan hutan: Kelantan negeri paling teruk di Semenanjung - KUASA
Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin, bagaimanapun berkata perkara itu tidak mengejutkan memandangkan sejak dahulu lagi situasi pembukaan hutan di Gua Musang adalah teruk.
Katanya, KUASA yang juga badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan sudah bekerja lebih 10 tahun di daerah berkenaan turut mendakwa dari segi pengurusan hutan, Kelantan adalah negeri paling teruk di Semenanjung.
"Jika dahulu di Gua Musang pembalakan dilakukan secara terpilih namun sekarang pembalakan dibuat secara tebang habis sama ada pembukaan ladang baharu, lombong atau kuari.
"Kemusnahan hutan di Gua Musang termasuk Nenggiri amat dahsyat. Jika dilihat di Kuala Betis, beratus lori keluar masuk setiap hari.
"KUASA sangat kecewa dengan kerajaan negeri yang dianggap tidak pernah mendengar desakan NGO. Sudah tentu kami membantah sekeras-kerasnya kelulusan hutan berkenaan yang boleh menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi.
Semalam media melaporkan terdapat 54 kelulusan penerokaan hutan yang membabitkan keluasan lebih 13,000 hektar dikatakan diluluskan kerajaan negeri sejak 2022 di kawasan DUN Nenggiri.
Pendedahan dibuat Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim itu turut menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri.
Katanya, berdasarkan rekod kemasukan permohonan kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA), pihaknya mengesan 54 kelulusan baharu penerokaan hutan atas pelbagai maksud seperti ladang hutan, pengkayaan hutan dan lombong di kawasan Gua Musang yang kebanyakan dilakukan di kawasan Ulu Nenggiri.
Mengulas lanjut, Hafizudin berkata masalah kemusnahan hutan di Gua Musang semakin membahayakan dan sudah membabitkan nyawa penduduk.
"Berapa ramai penduduk mati disebabkan dibaham harimau... pada masa sama penduduk berdepan ancaman gajah disebabkan habitat mereka semakin sempit.
"Justeru, untuk ribuan kalinya kami memohon kerajaan negeri tidak meluluskan pembalakan secara tebang habis dalam kawasan hutan simpan sebaliknya hanya melakukan pembalakan terpilih.
"Banyak kesan berlaku sekiranya dilakukan tebang habis termasuk sungai tercemar, tanah runtuh dan berlaku banjir lumpur," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan