PRK Nenggiri: Orang Asli sudah pandai sebut `undi Bulan’ – Calon Pas
KUALA LUMPUR – Calon Pas, Mohd. Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri menyifatkan masyarakat Orang Asli kini bukan lagi kubu kuat atau deposit undi kepada Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, ujar Mohd. Rizwadi yang merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), golongan Orang Asli kini juga semakin terbuka dan bersedia menerima kehadiran Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas.
Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat menerusi sambutan yang diberikan penduduk Orang Asli di Kampung Langsat, Gua Musang, Kelantan semalam, ketika beliau bersama pemimpin PN turun berkempen di perkampungan tersebut.
Malah, katanya, itu juga merupakan `kali pertama’ pihak Kerajaan Negeri Kelantan dapat masuk dan diterima dengan baik oleh Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).
“Bagi ambo (saya), inilah titik penting dalam meningkatkan hubungan Kerajaan Negeri-Orang Asli. Perjuangan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan – JKOAK bagi memperjuangkan kesejahteraan Orang Asli amat ambo (saya) hormati.
“Suara mereka yang diwakili oleh Nasir Dollah (aktivis Orang Asli) dan Mustafa Along (Pengerusi JKOAK) pastinya akan diambil perhatian oleh pihak Kerajaan Negeri dengan segera,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Mohd. Rizwadi, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah berikrar untuk membantu masyarakat Orang Asli yang masih tertinggal dari sudut prasarana.
Jelas beliau, situasi itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Gua Musang sejak dahulu dipegang oleh UMNO.
“Jadi dengan perkembangan terbaru ini, ambo (saya) percaya dan yakin masyarakat Orang Asli akan memberikan sokongan kepada Bulan (Pas) pula Sabtu ini,” katanya. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan