Tak jemput Mahathir ke sambutan Merdeka tindakan 'biadap', kata pemikir terkemuka
Pemikir terkemuka Chandra Muzaffar membidas keputusan kerajaan untuk tidak menghantar jemputan rasmi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menghadiri perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini, menyifatkan ia perbuatan yang membelakangi akhlak dan etika yang membentuk budaya Malaysia.
"Dengan tidak menjemput bekas perdana menteri - perdana menteri kita yang paling lama berkhidmat - ia melanggari adat Melayu dan Malaysia secara terang-terangan. Ia adalah biadab," kata bekas akademik itu kepada MalaysiaNow, dalam komen yang mencerminkan kemarahan orang ramai di media sosial susulan penularan klip menunjukkan pemimpin berusia 99 tahun itu hadir pada sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya atas kapasiti peribadinya.
Beliau turut mengingatkan tentang prinsip kelima Rukun Negara yang menyentuh "kesopanan dan kesusilaan".
"Bagi sebuah negara muda seperti Malaysia yang masih dalam proses membentuk identiti kebangsaannya, adalah penting berpegang kepada adab dan akhlak yang sudah lama diikuti. Dendam peribadi tidak seharusnya menghalang usaha murni ini," kata Chandra, yang pernah melancarkan kempen untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada dokumen perlembagaan.
Chandra yang merupakan antara pengasas utama PKR yang memainkan peranan besar dalam gerakan reformasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan mesti memberikan penjelasan yang "jujur dan telus", di samping permohonan maaf kepada Mahathir dan rakyat yang "terluka dan marah" dengan tindakan itu.
"Jika ada keputusan untuk tidak menjemput Tun, siapa dalang di sebalik langkah itu? Apakah rasional keputusan sedemikian? Orang ramai mengharapkan penjelasan ikhlas seperti yang dilihat daripada reaksi spontan rakyat," katanya.
"Penjelasan itu, tidak kira siapa yang bertanggungjawab, perlu disertai permohonan maaf tanpa syarat daripada kerajaan kepada Tun dan rakyat."
Sejak beberapa hari lalu, pelbagai klip tersebar menunjukkan Mahathir mencuri tumpuan orang ramai semasa sambutan Hari Merdeka di Putrajaya, pusat pentadbiran yang dibina bekas pemimpin itu lebih dua dekad lalu ketika pertumbuhan pesat ekonomi 1990-an.
Video tersebut turut mencetuskan perdebatan di media sosial mengenai kepentingan mengetepikan politik dalam sebarang acara patriotik.
mahathir_merdeka2024Seorang jurucakap pejabat Mahathir mengesahkan kepada MalaysiaNow pihaknya tidak menerima jemputan rasmi untuk beliau menyertai Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin utama kerajaan di pentas utama.
Difahamkan, kali terakhir kerajaan menjemput Mahathir menghadiri sambutan Hari Merdeka adalah pada 2022, di bawah pentadbiran perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.
Jemputan itu dihantar oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri kira-kira dua minggu sebelum acara itu, yang merupakan sambutan kemerdekaan pertama dibuat secara besar-besaran selepas pandemik Covid-19.
"Memandangakan beliau menerima gelaran Tun yang paling kanan, beliau sepatutnya duduk sebaris dengan tetamu-tetamu utama di atas pentas. Malangnya, beliau dijangkiti Covid-19 pada hari itu dan dimasukkan ke hospital," kata seorang sumber kepada MalaysiaNow.
Chandra, bekas profesor pengajian global di Universiti Sains Malaysia dan bekas pengarah Pusat Dialog Peradaban di Universiti Malaya, berkata sambutan Merdeka melangkaui kesetiaan parti.
"Ia tiada kaitan dengan kesetiaan kepada individu tertentu. Ia tidak ditentukan oleh perasaan suka atau tidak suka," katanya.
Beliau berkata pemimpin Malaysia terdahulu secara umumnya menghormati prinsip ini dalam menyambut kemerdekaan.
"Inilah sebabnya ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau sentiasa menjemput Tunku ke sambutan Merdeka walaupun mereka berbeza fahaman politik," katanya merujuk kepada Tunku Abdul Rahman yang pernah memecat Mahathir daripada Umno. .
"Begitu juga, adalah diketahui bahawa Tun Razak, semasa menjadi perdana menteri, memarahi pembantunya kerana sengaja mengabaikan protokol yang diberikan kepada Tunku," tambahnya.
1 ulasan:
Dulu Chandra Muzaffar ini kaki lawan Mahathir, jadi betullah kata orang tiada yang kekal, semuanya berubah amin, jadilah pemikir yang baik, pemikiran yang baik tidak lupa sejarah mahafiraun dahulu yang sumbat ikut sesuka hati dia, sekarang semua yang dia sumbat jadi Munke woit, ada sudah jadi PM padan muka kah kah kah dia seorang masih pakai kerusi roda selamat selama lamanya
Catat Ulasan