'Iron Dome' makin lemah, gagal tangkis roket Iran
BAITULMAQDIS: Iron Dome, sistem pertahanan Israel yang melancarkan roket pemintas dari darat ke udara dilapor gagal menangkis serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh tentera Iran malam tadi.
Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin pejuang yang disokong Tehran.
Memetik laporan media antarabangsa, Iron Dome dikatakan gagal menangkis puluhan peluru berpandu yang dilancarkan Iran.
Kegagalan sistem pertahanan Israel itu sekali gus membuatkan beberapa kawasan di wilayah rejim Zionis berkenaan terkena bedilan peluru berpandu terbabit.
Menurut laporan portal Turkiye Today, kegagalan Iron Dome menangkis serangan peluru berpandu itu memaksa Israel mengarahkan penduduknya berada dekat atau berlindung di tempat perlindungan bom, selepas siren amaran serangan udara dibunyikan di seluruh negara.
Serangan itu memaksa penggera di seluruh Israel dibunyikan dengan kejadian letupan direkodkan di Baitulmaqdis dan lembah Sungai Jordan ketika penduduk mencari perlindungan.
Iron Dome ialah satu sistem pertahanan Israel yang melancarkan roket pemintas dari darat ke udara pada jarak yang dekat sehingga 70 kilometer.
Ia seperti 'perisai' untuk berlindung dan memintas roket-roket, jet pejuang, helikopter, dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).
Sistem ini dilengkapi dengan radar dan misil pemintas Tamir yang menjejaki dan meneutralisasikan misil atau ancaman roket.
Pemintas Tamir sepanjang tiga meter (m), berdiameter 0.16 m, 90 kilogram berat, dan boleh bergerak sejauh 2 hingga 40 km.
Setakat ini, berdasarkan kepada rekod, teknologi Iron Dome ini amat canggih hanya Israel memiliki sistem pertahanan ini, selain Singapura pada 2016 pernah membeli 'Multi Mission Radar' (sebahagian sistem pertahanan Iron Dome).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan