Malu saya sebagai backbenchers kerajaan isu beras tak beres lagi – Pasir Gudang
KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjawab persepsi dalam kalangan rakyat yang mana beras import yang dijual di pasaran sebenarnya adalah beras putih tempatan atau beras campuran.
Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, ia susulan beras putih tempatan ketika ini hampir tiada langsung di pasaran, di sebalik berbilion-bilion ringgit diperuntukkan kerajaan kepada KPKM untuk memastikan keterjaminan makanan saban tahun.
“Kenapa sampai sekarang beras putih tempatan hampir tidak ada di pasaran?
“Ada persepsi dalam kalangan rakyat, tolong jawab…kalau ya kata ya, kalau tidak kata tidak.
“Adakah beras import yang dijual di kedai dan pasar itu sebenarnya sepenuhnya beras tempatan atau campuran sebahagian beras tempatan dan sebahagian beras import? Ini persepsi…benar ke tidak perkara ini?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Hassan turut mempersoalkan peranan Seksyen Kawal Selia Padi Dan Beras iaitu unit di bawah KPKM dalam memastikan bekalan beras putih tempatan sentiasa ada di pasaran.
Tegas beliau, seksyen itu telah diberi kuasa yang besar menerusi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan Akta 522 bagi tujuan kawalan bekalan serta harga beras tempatan.
“Menteri, Timbalan Menteri (KPKM) kena pantau perkara ini…saya sudah jadi backbenchers kerajaan bukan baru dua bulan, bukan baru dua minggu, sudah dua tahun, tetapi tak selesai masalah ini, malu saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan penetapan harga RM2.60 bagi sekilo beras putih tempatan di bawah akta sedia ada meskipun murah, namun tidak bermakna memandangkan bekalan beras tersebut tidak ada di pasaran.
“Covid-19 sudah selesai, takkan tak boleh selesaikan lagi perkara ini? Nak tunggu 20 tahun? Dua penggal pilihan raya umum lagi?
“Kalau soal makanan, soal beras ini pun kerajaan kita tak dapat selesaikan, apa maknanya belanjawan yang bernilai beratus-ratus bilion ini? Soal makan pun tak beres lagi,” katanya.
Isu berkenaan kekurangan bekalan beras putih tempatan sebelum ini pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendakwa pengilang masih menukar kampit beras tempatan kepada import hingga menjejaskan bekalan makanan tersebut di pasaran.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd. Misbahul Munir Masduki sebelum ini dilaporkan berkata, rakyat masih mendapati bekalan beras putih tempatan tiada di pasar raya atau keda-kedai runcit.
Kata Mohd. Misbahul, terdapat dakwaan padi dihantar ke kilang pengeluaran pada waktu pagi tetapi bertukar menjadi beras import pada sebelah petangnya. – MalaysiaGazette
2 ulasan:
Ini Malaysia Boleh, apa saja boleh berlaku, ada orang kes 47 pun tak jadi apa-apa, semua beres, selagi tak bising selagi tak riuh semua normal, semua ikut buku teks, sejarah asal boleh diubah, fakta-fakta boleh diubah, sinopsis cerita boleh ubah, inikan pula cerita beras tempatan beras pulut beras import kah kah kah, seluruh bangsa Malaysia beruntung sangat setiap masa disajikan cerekarama yang berlainan, salah tetap salah Amar Makruf nahi mungkar hanya untuk orang tertentu, negara masih dibelenggu penyakit kaum agama bangsa sekian lama, ada kontena terbalik jadi isu kaum kah kah kah
hilang sebab bukan permintaan ekonomi tapi permintaan k'jaan utk kebaikan masa prk/pru dll jadi beras pun dah pandai berpolitik dan senjata politik yang terjamin takkan salah akta hasutan 3R nak jawapan tepat tanya menteri berkaitan!! yang patutnya hilang terus adalah akta hasutan!!
Catat Ulasan