Penasihat pemasaran rumah urut didakwa rasuah penguat kuasa MBIP
JOHOR BAHRU – Seorang penasihat pemasaran sebuah rumah urut di daerah ini didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM3,000 kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Februari lalu.
Tertuduh, Ting Meng Lung, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 kepada Pembantu Penguatkuasa Gred KP19 MBIP sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan tanpa lesen.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah urut itu di Jalan Pendekar 13, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini pukul 3 petang, 1 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun peguam Iskandar Shah memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin dengan jumlah yang rendah iaitu RM5,000.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor Bahru.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Disember depan bagi serahan dokumen. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan