Trump mungkin guna helah batal keputusan pilihan raya tidak memihak kepadanya
PHILADELPHIA: Dakwaan palsu mengenai penipuan pengundi di Pennsylvania menimbulkan kebimbangan kemungkinan bekas presiden Amerika Syarikat (AS) yang juga calon Republikan, Donald Trump mungkin sekali lagi cuba membatalkan undian di negeri itu.
Ramai juga bimbang Trump akan menggunakan helah yang sama di negeri penting yang lain, dalam pilihan raya Presiden, Selasa depan..
Tinjauan pendapat di peringkat nasional dan di tujuh negeri penting menunjukkan Trump kini berdepan saingan sengit daripada Naib Presiden AS yang juga calon Demokrat, Kamala Harris, berbaki empat hari lagi sebelum hari pengundian.
Trump terus membuat dakwaan palsu bahawa kekalahannya dengan Presiden AS, Joe Biden, pada 2020 adalah hasil penipuan meluas di beberapa negeri yang beliau tewas.
Trump dan penyokongnya juga menyebarkan dakwaan tanpa asas mengenai pilihan raya kali ini di Pennsylvania.
Retorik yang sama mengenai penipuan pengundi selepas undian 2020 menyebabkan penyokong Trump menyerang Capitol AS pada 6 Januari 2021, dengan tujuan menghentikan atau mempengaruhi kiraan undian elektoral yang menentukan siapa yang menjadi presiden.
"Perkara itu menjadi punca bagi percubaan membatalkan keputusan pilihan raya yang ditentang Trump," kata Kyle Miller, seorang ahli strategi dasar di Pennsylvania bagi kumpulan advokasi Protect Democracy.
"Kita melihatnya pada 2020 dan saya rasa pengajaran yang Trump dan sekutunya pelajari sejak itu adalah mereka perlu menanam idea-idea bernas lebih awal," katanya.
Semalam, Trump meningkatkan dakwaannya yang tidak berasas bahawa penyiasatan terhadap borang pendaftaran pengundi yang mencurigakan adalah bukti penipuan pengundi.
Beberapa penyokongnya mendakwa berlaku penindasan pengundi apabila ramai yang beratur k baru-baru ini untuk menerima undian melalui pos.
Pegawai negeri dan penyokong demokrasi mendakwa insiden itu menunjukkan sistem berfungsi seperti yang diharapkan.
Seorang hakim memanjangkan tarikh akhir undi pos selama tiga hari di Bucks County, utara Philadelphia, selepas kempen bekas presiden AS itu menyaman atas dakwaan bahawa beberapa undian telah ditolak sebelum tarikh akhir.
Pegawai pilihan raya menemui kes penipuan pada pendaftaran pengundian di Lancaster dan daerah York, yang mencetuskan siasatan oleh pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan berlakunya undian haram.
"Ini adalah bukti bahawa sudah ada perlindungan dalam proses pendaftaran pengundi , yang berfungsi dengan baik," kata Al Schmidt, pegawai pilihan raya tertinggi Pennsylvania, kepada pemberita minggu ini.
Trump memberitahu penyokongnya akan berlaku kemenangan besar pada Selasa depan dan menegaskan hanya akan kalah jika berlakunya pilihan raya yang korup.
Dakwaan Trump menimbulkan kebimbangan bahawa dirinya bersedia untuk sekali lagi menyalahkan potensi kekalahan di Pennsylvania, negeri terbesar daripada tujuh negeri yang mungkin menentukan keputusan pilihan raya atas penipuan pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan