Seloroh tukar kerajaan, Zahid kena bidas
KUALA LUMPUR — Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi dibidas pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana membuat sindiran yang ditujukan kepada kerajaan Sabah di Dewan Rakyat minggu lalu.
Zahid, yang menggulung perbahasan bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, secara berseloroh berkata salah satu cara untuk membendung penghijrahan rakyat Sabah ke Semenanjung adalah dengan menukar kerajaan negeri.
Menurut Ketua penerangan GRS, Joniston Bangkuai, penghijrahan keluar rakyat Sabah telah berlaku selama bertahun-tahun tetapi meningkat semasa pemerintahan BN yang berlangsung selama dua dekad di negeri itu.
Beliau berkata Zahid silap apabila menyalahkan kerajaan negeri GRS-Pakatan Harapan atas masalah itu, walaupun secara bergurau, sambil menegaskan fenomena tersebut telah wujud jauh sebelum pentadbiran ketika ini.
“Umno dan BN berkuasa di Sabah dari 1994 hingga 2018. Menarik untuk mengetahui apa yang Zahid dan partinya lakukan untuk menangani masalah penghijrahan ini semasa mereka berkuasa ketika itu.
“Reaksi (Zahid) itu seolah-olah menunjukkan sikap sombong dan dwistandard,” kata pemimpin Parti Bersatu Sabah itu, lapor FMT.
Joniston berkata pentadbiran negeri sekarang ini telah mengambil langkah penting dalam menangani pengangguran dan mengurangkan penghijrahan keluar penduduk.
“Kerajaan ini mewujudkan ratusan peluang pekerjaan melalui penubuhan kilang, hasil daripada pelaburan syarikat asing dan tempatan.
“Semua ini bertujuan untuk menangani pengangguran dan juga menarik rakyat Sabah di Semenanjung untuk pulang dan bekerja di negeri asal mereka,” kata pembantu menteri negeri itu.
Menurut Hansard Dewan Rakyat, Zahid dalam prosiding pada 6 Nov lalu berkata, ‘Mekanisme pertama untuk membendung penghijrahan ini, khususnya untuk Sabah, adalah dengan tukar kerajaan.’
Zahid menjawab soalan Bung Moktar Radin (Umno-Kinabatangan) yang bertanya apakah mekanisme yang dirancang kerajaan persekutuan untuk membendung migrasi atau penghijrahan rakyat Sabah ke Semenanjung.
Kira-kira 350,000 belia Sabah ketika ini bekerja di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Ini bukanlah kali pertama, Zahid dikritik pemimpin politik dari Sabah baru-baru ini.
Pada Sabtu lalu, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun, mengkritik presiden Umno itu kerana mengatakan PRN Sabah ke-17 tahun depan adalah ‘makmal’ untuk menguji kerjasama antara BN dan PH.— BebasNews
Tiada ulasan:
Catat Ulasan