Sabtu, 11 Januari 2025

SELAMAT SAMPAI 2025


SELAMAT

 SAMPAI 2025


Tirai  2024 kita  ditutup dengan tunjuk perasaan pelajar dan anak muda di Kota Kinabalu Sabah. Mereka membantah pelantikan Musa Aman  sebagai Yang di Pertua Sabah. Pelajar dan anak muda menolak pelantikan  ini kerana pada satu ketika dahulu Musa Aman dikatakan terlibat dalam kes rasuah.

Di Semenanjung tirai  2025  dibuka juga  dengan tunjuk perasaan. Pada  Jumaat pertama tahun 2025 satu tunjuk perasaan telah diadakan di perkarangan Masjid Kampung Baru.   

Warga Islam telah menunjukan perasan marah mereka terhadap Hannah Yeoh dan Nga  Kor Ming. Dua sosok YB dari Demokratik Action Party ini dilihat sebagai mempersenda agama Islam. Sentimen Melayu Islam tercabar. Lalu mereka berdemo.

Justeru lebih dari 200 orang telah berarak dari Masjid Kampung Baru ke rumah pasung Dang Wangi untuk membuat laporan polis. Dilaporkan telah sedia ada  lebih dari 157 laporan polis terhadap  Hannah Yeoh yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Minggu pertama tahun 2025 Malaysia di hebohkan  dengan  satu lagi berita tunjuk perasaan. Kali ini penyokong Najib mahu turun berdemo di hadapan Istana Keadilan Putrajaya pada pagi Senin 6 Januari.

Heboh ini seperti disusun.  Peguam Negara buat kenyataan. Parti Pas buat kenyataan. Lim Guan Eng buat kenyataan. Zahid Hamidi buat kenyataan.  Ketua Pemuda United Malays National Organisation buat kenyataan. Ketua Polis Negara buat kenyataan. Ketua Polis Putrajaya juga buat kenyataan. 

 Semua kenyataan-kenyataan ini memanaskan suasana terbukanya tirai minggu pertama 2025. Kenyataan menyokong, melarang dan menghalang tunjuk perasaan  ini semuanya merancakkan lagi politik jalan raya.  

Sebagai penganut dan pendakwah politik jalan raya saya tersenyum gembira. Saya melihat budaya jalan raya semakin kukuh. Amin.

Ketika saya menulis ini Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah mengesahkan wujudnya titah tambahan – addendum - dari Sultan Pahang yang dulunya Yang DiPertuan Agong.

Nampaknya kerajaan Madani ini masih terumbang ambing.  Jelas amat jelas sekali perserikatan parti- parti dalam gabungan kerajaan Madani ini tidak kukuh. 

Keinginan penyokong Najib dari United Malays National Organisation yang ingin berhimpun  tanda setia kawan di Putra Jaya ketika pendengaran  kes rayuan titah addendum Najib telah di sailang oleh Lim Guan Eng gedeber DAP.

Tuduh menuduh cela mencela timbul di antara pemimpin DAP dengan Ketua Pemuda UMNO . Semua ini diperhatikan oleh orang ramai bahawa kerajaan Madani ini goyah dan kerap bertelagah  sesama sendiri.

Walau apa pun kita akan terus melihat pertelagahan ini berterusan sepanjang tahun 2025 ini.  Perbezaan pandangan politik adalah biasa dalam parti politik. Parti politik akan bertelagah. Pembangkang akan membangkang. Kerajaan akan memutar. 

Tetapi dalam kes UMNO dan DAP ianya lebih mencurigakan lagi kerana Parti Islam PAS  masuk mencelah.  PAS dengan licik dan bijak telah mencelah masuk untuk bersetia kawan dengan Najib.

Apa di belakang perhitungan politik Parti Islam ini hanya Guru Nanak yang tahu.

Mengikut kata-kata Sanusi MB Kedah : politik ialah mencari peluang. Justeru kes addendum Najib ini dijadikan peluang modal untuk Pas  dilihat amat setia kepada Raja-Raja Melayu.  Walau pun dalam Islam tidak wujud setia kepada monarki atau  kaum feudal. Amin.

Pada hemat saya tahun 2025 akan terus melebarkan dan meluaskan lagi kesedaran Melayu Islam. Jelas amat jelas sekali kesedaran Melayu Islam ini makin meluas dan makin mengampuh.

Tahun 2025 ini kita akan melihat semakin kerap mendengar perkataan Melayu bersatu. Heboh penyatuan Melayu ini pasti jadi agenda 2025.  Saranan dan laungan Melayu bersatu ini  semakin lantang.  Apakah ianya akan menjadi satu kenyataan hanya masa yang akan menentukan.

Tahun 2024 yang baru tamat adalah  tahun pilihanraya. Lebih dari 64 negara dalam dunia ini mengadakan pilihanraya.  Lebih setengah dari warga dunia telah keluar mengundi. Bangladesh, Brazil, India, Indonesia, Mexico, Rusia, Amerika dan Kesatuan Eropah telah mengadakan pilihan raya.

Masuknya tahun 2025 ini banyak negara yang mengadakan pemilihan kerajaan itu masih belum mantap. Bangladesh masih huru hara.   PRU di Peranchis tidak menyelesaikan  masalah. Apa yang menonjol  tahun 2025 ini ialah kemunculan dan  merebaknya sokongan pengundi terhadap parti politik bergaris kanan.

Paling jelas di German, Belgium,  Austria dan di Portugal. Parti mazhab kanan makin mengampuh mencapai kejayaan pada akhir tahun 2024.  Masuk tahun 2025 garis  demokrat dan garis liberal  sedang diasak. 

Pilihanraya yang paling diikuti  diseluruh dunia ialah pemilihan kerusi Presiden Amerika. Tahun 2024 sekali lagi Donald Trump bertanding. Kali ini Pak Cik Trump  berjaya untuk kembali menduduki Rumah Putih.

Pada Senin 20 Januari 2025 ini Donald Trump akan mengangkat sumpah untuk menjadi Presiden Amerika ke 47.

Kemenangan Trump kali ke dua ini adalah  babak politik tahun 2025 yang sedang diteropong oleh semua negara.  Setiap gerak, setiap kata-kata, setiap kicauan Trump di X akan di teliti oleh media dunia. 

Donald Trump yang kasar, lucah, jujur  dengan kata-kata tidak berlapik ini  sedang membawa 2025 ke arah yang tidak menentu.  Bayangkan ketika berjumpa Perdana Menteri  Canada Justin Trudeau Presiden Amerika ini telah mempelawa Canada untuk menjadi  sebahagian dari Amerika.

Presiden Trump mencadangkan kepada Perdana Menteri Canada Justin Trudeau jika tarif gagal menangani isu perdagangan dan imigresen akan membunuh jiran ekonomi utara, mungkin Canada sepatutnya menjadi negeri ke-51. Ini laporan dari  Fox News.

“....Tarif ...tarif ... tarif... ini perkataan manis....’ Ini ayat Trump ketika berkempen. 

Trump berjanji akan menaikkan tarif kepada negara-negara yang berniaga dengan Amerika. Tarif ialah cukai import.  Trump akan mengenakan cukai kepada barang-barang yang akan masuk ke pasaran Amerika.

Canada dan Mexico  tetangga rakan niaga Amerika menjadi cuak. Apakah Trump akan mengenakan cukai. Jika kena cukai maka barangan ini akan jadi lebih mahal untuk pengguna  di Amerika.

Kalau lebih mahal maka inflasi akan berlaku di Amerika. Dalam masa yang sama Trump berkempen anti inflasi. Juga berkempen untuk mengurang cukai. Inilah dia Pak Cik Trump yang jujur dan tunggang terbalik.

Tapi awas !

Trump sedang  mengancam Panama. Trump mahu  Terusan Panama ini yang dibuat oleh Amerika pada tahun 1904 di ambil kembali oleh Amerika. Terusan ini telah di pulangkan kepada rakyat Panama pada tahun 1977 di bawah Presiden Jimmy Carter.

Trump menyifatkankah terusan ini sebagai wilayah strategik untuk Amerika. Malah Trump menyimpan syak wasangka  yang China Merah akan mengusai terusan ini.

Trump belum lagi mengangkat sumpah. Dunia telah mula kacau bilau.

Bukan saja Canada dan  Panama yang mahu di telan oleh Amerika. Paling akhir ialah Greenland – pulau milik Denmark. Trump secara terbuka  telah berkata ‘...  jual wilayah ini kepada Amerika atau kami ambil melalui kekerasan....’ Amin.

Presiden Trump bila di tanya oleh media  enggan menolak menggunakan tindakan ketenteraan atau ekonomi untuk meneruskan pengambilalihan Terusan Panama dan Greenland

Saya penyokong tegar Donald Trump.  Jika saya warga Amerika saya akan menyokong semua langkah Trump.  Saya amat gembira pada tahun 2025 ini Trump menjadi Presiden Amerika.

Saya mahu dan saya menunggu Pak Cik Trump menghuru harakan dunia kapitalis yang di kepalai oleh Amerika. 

Saya menunggu pada  Selasa 21 Januari 2025 apakah  Pak Cik Trump akan mula menangkap jutaan pendatang haram dan menghantar mereka pulang ke negara asal.

Saya juga menunggu apakah Presiden Trump akan  memanggil  Presiden Zelensky dan Presiden Putin untuk menamatkan Perang Ukraine?

Pak Cik Trump berjanji akan memastikan negara-negara Eropah di bawah perjanjian NATO akan menyumbangkan   dana tambahan untuk  senjata pertahanan. Apakah ini akan dilakukan?

Saya juga menanti untuk menyaksikan apakah Benjamin Netanyahu akan meneruskan  projek  memperluaskan lagi wilayah Israel. Trump pernah berkata yang dia akan menyokong apa saja yang akan dilakukan oleh Israel.

Justeru saya mahu melihat Israel masuk menawan Damascus ,  Amman, Baghdad, Mekah dan Madinah. Ini dengan harapan agar negara-negara Arab ini bangun melawan Zionis Israel. 

Tapi awas.... ketika saya menggarap tulisan ini Daulah Terpendam di Amerika sedang berusaha untuk memastikan  pentadbiran Presiden Trump ini akan terkelecek gagal. Daulah terpendam juga sedar akan bahaya yang sedang di bawa oleh Trump.

Elit politik, elit ekonomi Amerika  bersama Daulah Terpendam tahu  jika empat tahun ini Trump dapat bergerak seperti  yang dijanjikan maka kuasa imperial Amerika akan bertembung dengan kuasa China dan kuasa Rusia.

Untuk kaum pemodal dan untuk kaum kapitalis ini tidak menguntungkan. Apa yang mereka mahu adalah  dunia seperti sekarang. Dunia yang kacau tetapi kekacauan yang  mereka susun dan atur. 

Susun, atur  dan timbulkan masalah. Kemudian   datang untuk selesaikan masalah itu. Ini yang berlaku sekarang. Ketika ada masalah  kaum pemodal dan kaum kapitalis akan berpeluang untuk  membuat duit dan menimba untung.

Justeru marilah  kita  bersama  warga  dunia  mengalu-alukan kesampaian Donald Trump ke Rumah Putih pada Senin 20 Januari 2025 ini. Kita tunggu dan nanti apa akan berlaku. Amin (TT)






 






Tiada ulasan: