Pamela Ling mungkin simpan maklumat sensitif – Peguam
KUALA LUMPUR – Datin Seri Pamela Ling Yueh yang hilang hampir sebulan lalu mungkin memiliki maklumat material atau sensitif menyebabkan wanita itu terdedah kepada risiko yang membahayakan keselamatannya.
Seorang peguam, Sangeet Kaur Deo yang bertindak bagi pihak keluarga wanita itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataanya memaklumkan Pamela sedang membantu siasatan kes pengubahan wang haram pada masa kehilangannya.
“Seorang wanita yang terlibat dalam siasatan sensitif berkaitan pengubahan wang haram, hilang dalam keadaan yang sangat mencurigakan. Ini bukan fakta biasa.
“Jika Pamela sememangnya memberikan maklumat dalam siasatan SPRM, adalah wajar dia mungkin memiliki bahan atau maklumat sensitif yang menyebabkannya terdedah kepada bahaya.
“Persoalannya sama ada SPRM mengiktiraf potensi risiko ini, dan adakah ia memberi amaran secepat mungkin berhubung kemungkinan tersebut kepada polis supaya siasatan boleh disegerakan?’ ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
SPRM dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, wanita itu diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 9 April lalu bagi membantu siasatan berkaitan kes AMLA.
Sangeet turut merujuk kepada laporan sebuah portal berita bertajuk ‘Tiada petunjuk kehilangan wanita dalam perjalanan ke SPRM, kata polis’ yang diterbitkan pada 4 Mei lalu serta laporan ‘Wanita hilang sedang membantu siasatan pengubahan wang haram, kata SPRM’.
Ujar beliau, pada awal siasatan, turut diketahui kereta Grab yang dinaiki Pamela menghantarnya di lokasi berkenaan dan menunjukkan wanita itu telah tiba atau berada berhampiran bangunan SPRM.
Dakwa peguam itu, tidak lama kemudian Pamela dipintas beberapa kenderaan tidak dikenali.
“Ini menunjukkan sama ada dia diekori atau ada yang tahu lebih awal dia dalam perjalanan ke SPRM untuk memberi kenyataan. Ini menimbulkan kebimbangan yang serius.
“Adakah SPRM menjangka atau mengesan sebarang risiko sedemikian? Adakah butiran penting ini dikongsikan dengan polis pada peringkat awal untuk membantu mengesan mereka yang terlibat?’ persoal peguam tersebut.
Sangeet selanjutnya berkata, pendedahan awal kepada polis merupakan perkara kritikal dalam usaha mencari Pamela.
Ujar beliau, jika maklumat tersebut disampaikan oleh SPRM kepada polis pada peringkat awal lagi, keluarga wanita itu boleh mendapatkan penjelasan segera berhubung langkah-langkah yang diambil untuk mengesannya.
Dalam kenyataannya, Sangeet turut mempertikai sama ada polis secara aktif menyiasat kemungkinan kehilangan Pamela boleh dikaitkan dengan penyiasatan atau individu tertentu.
“Adakah polis membuat laporan orang hilang terhadap individu yang membantu siasatan kesalahan serius di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2009?” soal beliau.
Sehubungan itu, Sangeet mendesak SPRM mengesahkan maklumat kehilangan Pamela telah didedahkan sepenuhnya kepada polis pada tahap awal penglibatan wanita itu dalam siasatan berkenaan.
Sangeet selanjutnya berpendirian, ini kerana kenyataan polis `tiada petunjuk’ kehilangan Pamela merupakan sesuatu yang tidak munasabah. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan