Jumaat, 30 Mei 2025

TRUMP PRESIDEN DAMAI


TRUMP 

PRESIDEN  DAMAI


Tahun lalu ketika berkempen Trump menyatakan bahawa dia akan menamatkan Perang Ukraine dalam masa 24 jam. Kini dah berbulan-bulan Trump di Rumah Putih tapi perang masih berjalan. 

Trump menuduh bahawa Perang Ukraine ialah perang Biden. Mengikut mulut Trump jika dia Presiden perang ini tidak akan berlaku.

Fakta ini tidak betul. Ketika Trump menjadi Presiden pada 2016 rancangan untuk menjadikan Ukraine batu loncatan menyerang Rusia telah bermula. Malah dari zaman Obama lagi  CIA telah merancang untuk membawa masuk Ukraine ke dalam NATO.

Mustahil Presiden Trump tidak tahu  perkara ini. Apabila  Trump memasuki Rumah Putih menggantikan Obama pasti maklumat bertulis sulit ini terpampang di meja Presiden.

Pada  18 Jun 2022  Portal Yahoo telah melaporkan  Pentagon "akhirnya menjadi bersih" dan "mengakui...bahawa terdapat 46 biolab yang dibiayai oleh tentera Amerika di Ukraine".  Semua ini adalah perancangan untuk  menyerang Rusia.

Dari awal lagi – bertahun-tahun sebelum pecah perang – Rusia telah memberi tahu : Ukraine jangan menjadi anggota NATO. Ukraine wajib berkecuali. 

Pada tahun 2008 Duta Amerika ke Rusia  William J Burns telah memberitahu Setiausaha Negara Condoleezza Rice : Keahlian NATO untuk Ukraine adalah 'di luar meja'. Ertinya tidak perlu ditimbulkan.

Inilah dasar Rusia yang telah di ajukan kepada Obama, kepada Biden dan kepada Trump.  Ukraine menjadi anggota NATO adalah garis merah yang jangan di lintasi. Jika dilintas maka Rusia akan bertindak.

Dasar Rusia ini diketahui oleh semua pentadbiran Amerika.  Jika semua pentadbiran tahu dasar ini kenapa Ukraine masih di jemput untuk menjadi anggota NATO.

Jawabnya amat mudah :  Military Industry Complex -  industri senjata mahu Amerika ada musuh. Musuh perlu untuk industri bergerak   terus membuat senjata. Jika perang meletus ini adalah bonus untuk industri senjata.


Pada ketika ini Rusia dan China Merah adalah musuh Amerika.

Istilah "kompleks industri ketenteraan" merujuk kepada hubungan rapat antara tentera , industri pertahanan yang membekalkannya, dan agensi kerajaan yang mengawasi mereka. Kumpulan ini dilihat berkuasa untuk mempengaruhi dasar awam.

Selain dari kumpulan  Kaum Zionis – kompleks industri senjata  - ini adalah pelobi terulung di Washington DC.

Pada ketika ini  Presiden Trump sedang berhadapan dengan dua perang – Perang Gaza dan Perang Ukraine. Kita juga telah mendengar beberapa kali Trump klim – I am Peace President -  Saya adalah Presiden damai.  

Kita juga di beritahu bahawa Trump telah membuat panggilan talipon dengan Putin untuk membincangkan jalan damai di Ukraine. Trump juga telah mengkritik Presiden Zelensky yang enggan mencari jalan damai.

Apakah betul Trump ini Presiden Damai.

Apa yang ada dalam fikrah Trump tidak mungkin kita ketahui sepenuhnya.  Kita hanya dapat melihat tindak tanduk dan langkah-langah yang dilakukan oleh Trump. Malah ketika ini cakap-cakap dan kenyataan dari Trump juga amat susah untuk di pegang. 


Presiden Trump mungkin bercakap ini dan membuat itu. Menganjurkan itu dan mendasarkan yang lain. Kata-kata dari Presiden Trump ini boleh di dengar. Yang penting kita lihat apa yang akan di lakukan.

Kita mendengar Trump berkata dengan sedih : ...Banyak nyawa melayang... banyak nyawa anak muda melayang... hentikan perang ini...Dan dan dan.

Pada 20 Mei 2025 akhbar The Times of Israel melaporkan : Presiden Donald Trump "kecewa" dengan perang yang berterusan di Gaza, merasakan ia adalah isu terakhir yang menghalang kemakmuran di Timur Tengah dan mahu kerajaan Israel "mengakhirinya," menurut laporan  memetik pegawai Rumah Putih.

Laporan itu memetik seorang pegawai Rumah Putih sebagai berkata Trump "kecewa" dengan imej kanak-kanak dan bayi Palestin yang menderita di Semenanjung Gaza akibat sekatan dan serangan Israel, dan bahawa dia "menekan Israel untuk membuka semula pintu dan membenar bantuan masuk."

Pada 26 Mei 2025 BBC melaporkan : Presiden AS Donald Trump berkata beliau "tidak gembira" dengan rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin, berikutan serangan udara terbesar Moscow ke atas Ukraine.

Dalam teguran yang jarang berlaku, Trump berkata: "Apa yang berlaku kepadanya? Dia membunuh ramai orang." Dia kemudian memanggil Putin "benar-benar gila"

Dua perang – Ukraine dan Gaza – sebenarnya boleh di hentikan dengan serta merta. Perang ini bukan Perang Biden atau Perang Obama. Ini Perang Amerika.  Di belakang ke dua-dua perang ini ialah Amerika  tanpa  mengira dari pentadbiran Demokrat atau Republikan.

Perang Gaza dan Perang Ukraine ialah perang yang di dalangi oleh kuasa imperial Amerika untuk mendominasi dunia.


Bolehkah Trump menjadi Presiden Damai. Pasti boleh.  Kuasa ada terletak dalam tangan Presiden Amerika. Trump boleh menalipon Zelensky dan memberi arahan hentikan perang. Jika Zelensky berdegil bawa pulang ratusan ‘ soldadu gelap ‘ Amerika yang sedang beroperasi sebagai penasihat di Ukraine.

Juga buat panggilan talipon ke Tel Aviv. Beritahu Netanyahu untuk hentikan genosid dengan serta merta. Hentikan  penghantaran senjata dari BlackRock dengan serta merta ke Israel.  Penghantaran dana dolar dari Amerika  di hentikan juga.

Jika tidak semua  kata-kata yang telah di lafazkan oleh Trump hanya sandiwara. Lawatan Trump ke Saudi, ke Qatar dan UAE hanyalah mainan teater.  Berjabat salam dengan  al-Julani  bekas pengganas  al-Qaeda itu hanya lawak berdiri.

Hakikatnya Trump telah dilihat mandul atau telah di mandulkan oleh  pemilik kilang senjata dan juga pelobi Zionis yang mendanai kempen Trump dulu.

Kebelakangan ini dunia diberitahu bahawa Trump dan Netanyahu telah tidak sebantal lagi.  Dunia juga telah melihat bagaimana Trump ‘ melibas ’  Zelensky di Pejabat Oval.  Media arus perdana di Amerika dan di Eropah telah menganalisa bahawa telah ada perubahan dasar luar Amerika terhadap Timur Tengah.

Wajib disedari dan wajib di ketahui bahawa  di belakang semua pentadbiran Presiden Amerika ada  lapisan struktur  yang berkepentingan. Wujud  lembaga-lembaga yang  telah lama menjadi tembok dan benteng kepada kuasa  hegemoni Amerika.

Dari segi ekonomi  - senjata dan perang adalah eksport utama untuk Amerika. Lihat saja kali ini pentadbiran Trump telah mengumumkan rancangan untuk meminta $1.01 trilion untuk perbelanjaan Pentagon untuk tahun fiskal 2026.  Ini satu rekod.

Jika Kongres menandatangani permintaan Trump, ini akan menandakan permulaan era baharu belanjawan Pentagon bernilai trilion dolar.  


Dalam masa yang sama Trump akan memotong besar-besaran kepada program kritikal yang bukan ketenteraan seperti bantuan perumahan, inisiatif pendidikan, program alam sekitar dan bantuan asing.

Apakah ini contoh Presiden Damai?

Mungkin dalam hati kecil Trump memang dia berniat untuk menjadi Presiden Damai. Trump pasti ingat bagaimana Obama menerima Hadiah Nobel pada tahun 2009 kerana peranan Obama membawa damai  dalam hubungan antarabangsa dan menolak perlumbaan senjata nuklear.

Dalam sejarah hanya 4 sosok Presiden Amerika yang menerima penghormatan Hadiah Keamanan Nobel  -  Theodore Roosevelt, Woodrow Wilson, dan Barack Obama ketika menjadi Presiden. Manakala  Jimmy Carter satu-satunya yang memenanginya selepas meninggalkan jawatan.

Apakah  teater dan sandiwara yang sedang dipentaskan oleh Trump ini adalah sebahagian dari skrip agar dia  di panggil ke Oslo oleh Norwegian Nobel Comittee.


Atau apakah teater dan sandiwara Trump ini hanyalah taktik untuk mengalih pandangan dunia bahawa  kini telah tersedia perancangan yang di lakar oleh Netanyahu untuk memerangi  Iran.

Dunia tidak akan memperlekeh Trump jika dia di anugerah Hadiah Keamanan Nobel.  Malah hari ini dunia sedang  menunggu dan menanti bila  Trump akan membuat panggilan talipon kepada Netanyahu, kepada Zelensky  dan kepada Putin. Hanya dengan satu ayat sahaja : Hentikan perang sekarang. Khalas.

Jika ini berlaku saya yakin pasti akan ada panggilan talipon  ke Rumah Putih dari Oslo Norway.  (TT )



TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/744756 





Tiada ulasan: