DEMO
BUDAYA KITA
Saya telah terlibat dalam tunjuk perasaan dari semenjak saya di Sekolah Rendah lagi. Pada tahun 1959 Datuk Undang Luak Jelebu ialah Datuk Shahmaruddin bin Abdul Rahman. Dia ingin menjadikan kerusi Datuk Undang Jelebu sebagai warisan turun temurun. Satelah dia meninggal dunia kerusi Datuk Undang ini akan diambil oleh anaknya.
Ketika itu Wakil Rakyat Pertang ialah YB Aminuddin Manaf – abang kepada Rais Manaf – ayah saya. Bila berita rancangan Datuk Undang ini di ketahui Pak Ngah Aminuddin – dia telah menyusun orang-orang kampung untuk membantah niat dan cita-cita Datuk Shahmaruddin yang melanggar Adat Perpatih Jelebu.
Adat Perpatih Jelebu melantik Datuk Undang alih beralih dari Tiga Perut. Tiga Perut ini adalah asal usul tiga keluarga dari Suku Biduanda – Perut Sarin, Perut Kemin dan Perut Ulu Jelebu. Bukan dari Ayah kepada Anak.
Justeru Pak Ngah telah mengumpul saudara mara dan penyokong untuk mengadakan tunjuk perasaan menentang niat dan cita-cita Datuk Undang yang dianggap melanggar Adat Perpatih.
Saya ingat lagi sepupu dan saudara mara saya sibuk membuat persediaan untuk menjalankan tunjuk perasaan ini. Sepanduk : Biar Mati Anak Jangan Mati Adat telah dibuat. Plakard dengan tulisan: Hidup Di kandung Adat Mati Di kandung Tanah dan Pantang Melayu Melanggar Adat telah di buat.
Pak Ngah Aminuddin telah menghasut warga Jelebu pengamal Adat Perpatih untuk bersama menunjuk perasaan.
Saya ingat lagi – ketika itu saya dalam Darjah Tiga – sekolah petang. Pada pagi itu hampir 100 orang Warga Jelebu telah berkumpul di pekan Kuala Klawang. Saya datang berbasikal ke pekan untuk bersama penunjuk perasaan.
Dari pekan Kuala Klawang kami telah berarak ke Kampung Mengkan dan melintas di hadapan rumah Datuk Undang menuju ke pekan Petaling. Kami berjalan perlahan-lahan di hadapan rumah Datuk Undang. Saya tidak tahu sama ada Datuk Undang melihat para penunjuk perasaan atau tidak.
Dua hari kemudian akhbar Utusan Melayu Jawi telah membuat laporan tentang tunjuk perasan kami. Kami berjaya. Niat dan cita-cita Datuk Undang untuk mengubah adat telah digagalkan.
Hari ini Datuk Undang Jelebu masih setia pada adat. Terima kasih YB Aminuddin Manaf.
Inilah ilmu pengetahuan tentang tunjuk perasaan yang telah terserap dalam jiwa saya. Justeru saya yakin bahawa tunjuk perasan ini adalah cara terbaik untuk membuat kejayaan. Berkumpul beramai-ramai menyatakan bantahan atau sokongan kini menjadi pegangan ideologi pandangan dunia saya.
Saya masuk ke Universiti Malaya (UM ) pada tahun 1971. Dalam universiti saya telah mula terlibat dalam tunjuk perasaan. Di UM tunjuk perasaan dipanggil demo.
Maka demo pertama saya di UM pada pagi 14 Julai 1971. Awalannya kami berkumpul di Sudut Pidato kemudian berarak ke Lebuh Raya Persekutuan. Pelajar UM berdemo tanda menyokong perjuangan rakyat Patani. Kami berdemo di Lebuh Raya Persekutuan ketika Perdana Menteri Siam Thanom Kittikachorn lalu melintas dari lapangan Subang untuk melakukan lawatan resmi.
Sesudah ini banyak lagi demo yang saya ambil bahagian. Bila saya memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM ) saya telah menyusun demo menyokong Palestin. Saya telah menyusun demo menentang lawatan PM Jepun Tanaka ke kuala Lumpur pada Januari 1974.
Sebagai warga Kolej Ke Lima saya juga terlibat menyusun demo menentang tindak tanduk Raja Mokhtarudddin – Pengetua Kolej Kelima – hingga saya dibuang dari Kolej Ke Lima.
Sebagai pemimpin PMUM saya juga telah di jemput oleh kesatuan pelajar Siam. Saya ingat lagi saya pernah berdemo di hadapan Kedutaan Amerika di Bangkok. Kami menentang Perang Vietnam. Ini demo pertama saya di luar negara.ke Siam
Pada September 1974 saya berdemo menyokong para peneroka bandar di Tasik Utara. Ini kali pertama saya masuk lokap dan masuk penjara Air Molek di Johor Baru.
Pada 3 Disember 1974 – sebagai Presiden PMUM – saya telah menghasut dan menyusun para pelajar dari UM untuk turun berdemo menyokong perjuangan Warga Baling di Kedah.
Awalnya pada bulan November 1974 Warga Baling telah menunjuk perasaan kerana marah kepada kerajaan yang gagal menguruskan negara. Ketika itu musim hujan dan harga getah jatuh. Ini dibebankan lagi dengan kenaikan harga bahan makanan.
Pada subuh 8 Disember 1974 - polis dan askar datang mengepong UM. Ketika itu saya menumpang di Kolej Ke Tujuh. Saya melepaskan diri dari tangkapan polis . Saya melarikan diri melintas sempadan Siam dan lari ke luar negara.
Saya sampai di Australia pada tahun 1976. saya menjadi aktivis pelajar Malaysia yang bekerja rapat dengan AUS (Kesatuan Pelajar Nasional Australia). Justeru saya terlibat dalam banyak tunjuk perasaan. Kami menyokong perjuangan Warga Asli Australia. Saya terlibat juga dalam demonstrasi menentang tenaga nuklear di Melbourne.
Pernah satu kali saya dijemput oleh Kesatuan Buruh Australia - Trade Union Congress sebagai Penceramah dalam demo menyokong perjuangan Palestin.
Di Baghdad tahun 1977 saya juga pernah berdemo menyokong langkah progresif Saddam Hussein yang telah memilik negara kan syarikat minyak Iraq.
Saya sampai ke Belgium pada tahun 1982. Kini saya terlibat dalam gerakan geopolitik Eropah. Markas Pusat bala tentera NATO ( Supreme Headquarters Allied Powers Europe) terletak di Mons Belgium. Pada tahun 1983 Amerika memaksa negara sekutu NATO memasang peluru berpandu Pershing di Belgium. Saya turut sama berdemonstrasi di Brussels untuk menentang kemasukan Pershing Missile ke Belgium.
Bila saya berpindah dari Belgium ke United Kingdom saya kembali menjadi pelajar. Dalam kampus di London saya mengambil bahagian dalam demo pelajar menentang kenaikan yuran kampus.
Ketika ini Afrika Selatan masih mengamalkan sistem Apartheid dan Nelson Mandela masih dalam penjara. Di London secara aktif saya terlibat bersama warga Afrika Selatan untuk membebaskan Nelson Mandela.
Pada 2 November 1985 saya telah mengambil bahagian dalam demo terbesar menyokong perjuangan warga Afrika Selatan. Turut sama dalam demo hari itu ialah Oliver Tambo Presiden ANC (African National Congress ) dan pemimpin kulit hitam bekas calon Presiden Jesse Jackson dari Amerika.
Saya ingat lagi pada petang Sabtu 31 Mac 1990 – saya bersama beberapa kawan berada di Trafalgar Square untuk sama berdemo menentang Cukai Pintu yang dikenakan oleh kerajaan Margaret Thatcher. Flet saya di Bromley By Bow juga dikenakan cukai pintu sebanyak 500 pound.
Ini tunjuk perasaan yang hebat. Saya melihat kereta di terbalikkan dan di bakar di Convent Garden. Saya menyaksikan Polis Kota London berkuda membelasah penunjuk perasaan. Pada petang itu polis menangkap lebih dari 300 penunjuk perasaan.
Bila Iraq diserang oleh Amerika saya turun ke Trafalgar Square. Kami berarak ke hadapan NO 10 Downing Street – kediaman resmi Margaret Thatcher.
Ketika Perang Iraq saya bekerja sebagai pelayan di Garuda – restoran Indonesia di Shaftesbury Avenue tidak jauh dari Soho. Saya meyakinkan Tuan Punya restoran untuk membekalkan nasi goreng kepada penunjuk perasaan yang bermalam di hadapan Kedutaan Amerika di London.
Tiga tahun sesudah saya pulang dari 20 tahun berkelana Anwar Ibrahim di tangkap. Gerakan Reformasi bermula. Awalnya saya tidak ambil pot hingga Mahathir Muhamad menuduh saya sebagai dalang demonstrasi.
Justeru tuduhan Mahathir memanggil diri saya untuk terlibat secara aktif. Keterlibatan saya bukan hanya sebagai mengambil bahagian – kali ini saya bersama kawan-kawan seperti Tian Chua, Latifah Koya, Arwah Pak Din, Nasir , Arwah Tan, Nora, Jonah , Ezam , Zunar dan Pak Abu – kami menyusun demo demi demo.
Akhirnya saya ditangkap oleh Mahathir dan di masukkan ke dalam Kem Kamunting selama dua tahun. Amin
Kini pada Sabtu 26 Julai ini satu demo telah di susun. Demo ini menuntut Anwar Ibrahim turun dari menjadi Perdana Menteri. Demo ini diatur dan disusun oleh Sekretariat Rakyat.
Demo Turun Anwar ini dan mendapat sokongan dari Parti Pas , Parti Bersatu, kaum kerabat Perikatan Nasional dan juga pelbagai NGO.
Kalau di era Reformasi laungan penunjuk perasaan ialah Undur Mahathir Undur – kali ini penunjuk perasaan sedang melaungkan Turun Anwar Turun.
Dulu saya berdemo menuntut Mahathir berundur. Kali ini saya juga akan berdemo untuk menuntut Anwar turun. Ini bukan satu yang ganjil. Ini adalah garis politik kiri yang menjadi pegangan garis politik saya.
Apa yang saya lakukan ialah mendirikan barisan bersatu – united front – mendobrak musuh yang sama. Musuh lama saya dulu Mahathir kini satu kancah dengan saya kerana melawan musuh yang sama.
Malah Mahathir yang dulu sering berkata bahawa : Demo bukan budaya kita kini dia sendiri telah turun berdemo dalam Bersih 4 dan Bersih 5. Pada 26 Julai ini dilaporkan Mahathir sekali lagi akan ke jalan raya berdemo.
Sah dan sahih demo telah menjadi budaya politik Malaysia.
Selain dari berdemo sebagai rukun saya juga penganut tegar konsep barisan bersatu atau united front. Taktik ini adalah fahaman dari politik garis kiri yang menjadi pegangan saya. Dalam analisa garis kiri – wajib di kenali musuh utama. Untuk menang kita wajib bersatu dengan sesiapa saja untuk melawan musuh yang sama. Amin.
Apakah demo Sabtu 26 Julai 2025 ini akan berjaya?
Untuk saya jika ada 5000 penunjuk perasaan di Dataran Merdeka pada petang itu adalah tanda kejayaan. Ini kerana selama dua tahun ini saya dengan kawan-kawan telah menyusun banyak tunjuk perasan menyokong perjuangan Palestin. Penyokong yang datang berdemo tidak melebih 3000 orang. Justeru jika Sabtu ini ada 5000 yang turun saya berpuas hati.
Jika lebih ramai yang turut sama – ini saya anggap bonus.
Apakah Anwar akan turun. Jawabnya tidak. Untuk saya tunjuk perasaan atau demo ini ialah untuk mengolah persetujuan. Kita keluar beramai-ramai untuk mempengaruh orang ramai agar bersama marah seperti kita.
Kemarahan inilah yang hendak dikumpulkan dalam demo. Kemarahan kepada kerajaan Madani ini akan di terjemahkan menjadi undi. Ini pengalaman saya ketika menyusun dan menghasut warga untuk turun berdemo dalam Bersih 2, 3, 4 dan 5.
Najib jatuh kerana kita berjaya mengumpul kemarahan melalui demo. Kali ini - saya ulang sekali lagi – mari kita terjemahkan kemarahan kita kepada peti undi dalam PRU16. Amin. (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/750100









Tiada ulasan:
Catat Ulasan