Pertikaian sempadan Thailand-Kemboja bermula sejak 1907
BANGKOK: Pertempuran terbaharu Thailand-Kemboja adalah rentetan daripada ketegangan sejak Mei lalu, apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam konfrontasi bersenjata di sempadan.
Pihak berkuasa Thailand berkata, pertempuran terkini semalam berhampiran kuil purba Prasat Ta Moan Thom di wilayah Surin, berlaku hanya beberapa kilometer dari sempadan Kemboja, yang menjadi titik panas pertikaian kedua-dua negara.
Menurut jurucakap tentera Thailand, Mejar Richa Suksuwanon, serangan kali ini merosakkan hospital dan beberapa kawasan awam selain menyebabkan kematian serta kecederaan.
"Sebagai tindak balas, Thailand melancarkan serangan udara menggunakan enam pesawat F-16, yang menyerang beberapa sasaran tentera di dalam wilayah Kemboja dan memusnahkan dua lokasi ketenteraan," katanya.
Sebelum ini pada Februari lalu, pertikaian mengenai Prasat Ta Moan Thon, sebuah kuil Khmer berhampiran sempadan Thailand, semakin memuncak apabila polis Thailand menghalang pelancong Kemboja daripada menyanyikan lagu kebangsaan mereka di tapak itu.
Bagaimanapun, kerajaan Kemboja menafikan mereka memulakan serangan, sebaliknya menyatakan hanya bertindak balas selepas tentera Thailand melancarkan serangan bersenjata terlebih dahulu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, mendakwa Thailand menceroboh wilayah kedaulatan negara itu apabila jet pejuang mereka menjatuhkan dua bom di atas jalan raya.
"Tentera Kemboja hanya bertindak mempertahankan wilayah selepas pencerobohan berlaku," katanya.
Kedua-dua negara kini memutuskan hubungan diplomatik dan saling menyalahkan antara satu sama lain kerana memulakan serangan.
Thailand turut mengumumkan bahawa semua pintu masuk sempadan dengan Kemboja ditutup sehingga diberitahu kelak.
Sempadan sepanjang 818 kilometer antara Thailand dan Kemboja sekian lama menjadi punca persengketaan, dengan kedua-dua negara menuntut hak ke atas kawasan yang dilakar semasa penjajahan Perancis ke atas Kemboja pada 1907.
Beberapa kuil purba di sepanjang sempadan menjadi objek pertikaian, termasuk Prasat Ta Moan Thom dan kuil terkenal Preah Vihear.
Walaupun usaha untuk mewujudkan zon bebas tentera pernah dibincangkan, tiada zon rasmi diwujudkan setakat ini. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan