Turkiye hantar dron pantau flotila misi bantuan Gaza
ANKARA: Turkiye mengikut jejak Sepanyol, Itali dan Greece dengan turut membuat pemantauan ke atas flotila antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika ia belayar ke arah timur merentasi Laut Mediterranean hari ini.
Tindakan itu dibuat walaupun Israel mengeluarkan amaran supaya misi terbabit dihentikan.
Laman sesawang penjejak penerbangan menunjukkan tiga dron jarak jauh yang berlepas dari pangkalan udara Corlu di Turkiye berlegar di ruang udara flotila itu selama tiga hari.
Ia sekali gus menyerlahkan minat antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kesemua bot berkenaan yang berikrar untuk memecahkan sekatan laut Israel di sekitar Semenanjung Gaza yang bergolak.
Reuters belum mendapat sebarang pengesahan mengapa dron terbabit diterbangkan.
Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan agensi perisikan Turkiye tidak memberikan sebarang maklum balas ketika diminta mengulas berhubung perkembangan terbabit.
Ketika ini, bot misi kemanusiaan terbabit yang membawa Ahli Parlimen, peguam dan aktivis termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, masih berada sekitar ratusan batu nautika dari pantai Gaza.
Namun, menurut individu yang berada di atas kapal berkenaan, ia semakin menghampiri kawasan di mana flotila lain sebelum ini pernah dipintas.
Laman penjejak menunjukkan terdapat kira-kira 40 bot yang bergerak menerusi flotila berkenaan.
Pergerakan flotila itu meningkatkan ketegangan antarabangsa, khususnya selepas serangan dron minggu laluyang mengakibatkan beberapa bot rosak.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan, namun flotila berkenaan terpaksa berhenti belayar selama beberapa hari di perairan Greece untuk kerja pembaikan sebelum memulakan semula perjalanan ke Gaza pada hujung minggu.
Penganjur misi terbabit dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua bot dijangka tiba di Gaza kira-kira empat hari lagi.
Itali dan Sepanyol bertindak menghantar kapal tentera laut untuk mengiringi flotila sekiranya berlaku keperluan menyelamat atau bantuan kemanusiaan, namun menegaskan pihak mereka tidak akan terbabit secara ketenteraan.
Pengawal pantai Greece turut memantau perkembangan flotila itu ketika ia berada dalam kawasannya.
Itali pada Ahad memberi amaran bahawa flotila berkenaan semakin menghampiri zon berisiko tinggi dan mengulangi cadangan yang dibuat pada minggu lalu supaya bantuan dibawa kumpulan itu dihantar ke Cyprus dan diagihkan kemudiannya ke Gaza oleh Gereja Roman Katolik.
Flotila berkenaan bagaimanapun menolak cadangan itu. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan