Ahad, 5 Oktober 2025

ANGKA KEMATIAN BERTAMBAH



Angka korban di Semenanjung Gaza kini melebihi 67,000 - Pihak Berkuasa Kesihatan


GAZA: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, kini melebihi 67,000 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza hari ini, lapor Xinhua.

Pihak berkuasa kesihatan itu dalam satu kenyataan berkata seramai 67,074 orang terbunuh dan 169,430 lagi cedera sejak konflik berkenaan meletus.

Dalam kenyataan berasingan, pihak berkuasa itu memaklumkan dua kanak-kanak meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, menjadikan jumlah kematian yang dikaitkan dengan kekurangan makanan seramai 459 orang, termasuk 154 kanak-kanak.

Walaupun Israel mengeluarkan kenyataan yang membayangkan pengurangan operasi ketenteraan susulan gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan pengeboman dan persetujuan Hamas untuk membebaskan semua tawanan, tentera udara Israel tetap melancarkan siri serangan udara besar-besaran ke atas Bandaraya Gaza pada pagi Sabtu.

Menurut saksi, tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah puluhan orang awam yang cuba bergerak dari selatan Gaza ke bahagian utara Semenanjung itu melalui koridor Netzarim berhampiran Rashid Street.

Dalam satu kenyataan hari ini, tentera Israel memberi amaran kepada penduduk agar tidak kembali ke kawasan di utara Wadi Gaza, menyifatkannya sebagai "masih zon pertempuran berbahaya", dan menggesa orang awam untuk menggunakan Rashid Street untuk bergerak ke selatan

YANG GUGUR

LEBIH DARI

67,000 

AL-FATIHAH

KHALAS

Tiada ulasan: