KITA SEMUA
ADALAH SAMA
HIDUPAN
DI BUMI YANG
SATU
KHALAS
Kes kematian anjing Rocky: Lee Lam Thye gesa PBT gubal protokol pengurusan haiwan
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu segera melaksanakan pembaharuan penting terhadap protokol pengurusan haiwan susulan kematian anjing bernama Rocky di Pelabuhan Klang baru-baru ini.
Aktivis kebajikan haiwan, Lee Lam Thye, berkata pembaharuan itu termasuk mengguna pakai pendekatan Perangkap, Mandul, Vaksinasi dan Lepas (TNVR) untuk mencegah kes kezaliman terhadap haiwan.
"PBT di seluruh Malaysia hendaklah segera menghapuskan kitaran 'tangkap dan bunuh' yang usang dan ganas, serta terbukti tidak berkesan selama beberapa dekad. TNVR satu-satunya kaedah yang disokong secara saintifik, berperikemanusiaan dan mampan untuk pengurusan populasi.
"Pihak PBT hendaklah mewajibkan dasar TNVR secara rasmi menerusi bekerjasama dengan NGO kebajikan haiwan yang diiktiraf dan rangkaian veterinar tempatan untuk menguruskan populasi haiwan terbiar secara berperikemanusiaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Gesaan itu susulan kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Pelabuhan Klang, Selangor yang mencetuskan kecaman masyarakat berhubung pengendalian haiwan secara agresif semasa operasi rutin penguatkuasaan.
Lam Thye turut mencadangkan penyeragaman teknik tangkapan yang lebih berperikemanusiaan dengan mengharamkan penggunaan jerat dawai, gelung mencekik dan peralatan pengekangan fizikal yang ganas.
Beliau berkata, semua anggota penguat kuasa dan kontraktor yang terbabit dalam operasi menangkap haiwan juga perlu menjalani latihan pengendalian haiwan tanpa kekerasan yang diperakui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Dalam pada itu, beliau turut menggesa larangan penyitaan haiwan dari kawasan kediaman persendirian tanpa notis undang-undang bertulis dan rundingan dengan pemilik, selain mencadangkan penubuhan jawatankuasa penyeliaan bebas di setiap PBT.
"Jawatankuasa itu perlu dianggotai wakil NGO kebajikan haiwan, profesional veterinar dan pakar perundangan bagi menyiasat aduan awam, menyiasat salah laku operasi dan menguatkuasakan pematuhan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan tegas," katanya.
Mengulas kematian Rocky, Lam Thye berkata kejadian itu bukan sekadar kesilapan operasi, sebaliknya mencerminkan kelemahan sistem pengurusan dan penguatkuasaan.
"Kes Rocky adalah contoh yang menyakitkan. Apabila tindakan penguatkuasaan bertukar menjadi adegan keganasan dan kematian, tiada justifikasi teknikal atau masalah birokrasi dapat membersihkan hati nurani kita," katanya.
Pada masa sama, Lam Thye menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), DVS dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh terhadap kematian Rocky.
"Orang ramai berhak mendapat jawapan dan Rocky berhak mendapat keadilan. Akauntabiliti mesti dilaksanakan dengan segera.
"Mereka yang didapati melanggar undang-undang kebajikan haiwan atau gagal menjalankan tanggungjawab penjagaan sewajarnya perlu dikenakan tindakan undang-undang," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan