Khamis, 27 Ogos 2026

SATU MALAYSIA BERDOA


KAMI SEMUA 

BERDOA SEMOGA

SELAMAT

AMIN

INGATAN KAMI

SIMPATI KAMI

PADA ANAK ISTERI

KAUM KELUARGA

AMIN


Anggota PASKUB, Timbalan Pengarah Bahagian JBPM dilaporkan hilang ketika misi pendakian di Nepal


KUALA LUMPUR: Seorang anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di Nepal.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM Lapangan Terbang Subang, disedari hilang apabila gagal dikesan akibat perhubungan terputus susulan tragedi banjir dahsyat melanda Nepal, semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan pendaki.

Malah, tragedi itu turut menyaksikan Timbalan Pengarah Bahagian di ibu pejabat JBPM, Mohd Sani Harul, dilaporkan hilang dalam misi pendakian sama.

Mohd Fakhrul Munir yang lebih mesra disapa sebagai 'Loe' dalam kalangan penggiat sukan lasak, adalah figura berpengalaman yang sudah berkecimpung dalam aktiviti pendakian dan sukan ekstrem sejak hampir 25 tahun lalu.

Isterinya, Hani Othman, bagaimanapun enggan ditemu bual lanjut berikutan keadaan emosinya tidak stabil susulan kejadian itu.

Namun, beliau memaklumkan secara ringkas kepada BH bahawa mereka ada berhubung pada pagi semalam ketika suaminya singgah minum kopi ketika sedang dalam perjalanan di kawasan sempadan Nepal-China.

Sebelum dilaporkan hilang, Mohd Fakhrul Munir dalam hantaran melalui laman sosial beliau pada 2 Ogos lalu, berkongsi pandangan peribadi mengenai bahaya pendakian dan impak tragedi di Broad Peak yang dikaitkan dengan insiden taufan di Gunung Everest pada 1996.

Beliau mengingatkan bahawa pengajaran utama dalam sukan ekstrem itu ialah supaya pendaki tidak mencabar hukum alam, tidak mendaki bersendirian, dan sentiasa mematuhi arahan ketua serta perubahan cuaca.

"Walau sehebat mana sekalipun kita dengan pengalaman dan kekuatan, janganlah dicabar hukum alam. Sentiasa bersedia untuk sebarang perkara yang tidak dijangka.

"Tidak hilang penghormatan diri seseorang seandainya gagal ke puncak, bahkan keputusan besar itu amat dihormati andai ego dibuang jauh dari sisi," katanya dalam hantaran berkenaan.

Mohd Fakhrul Munir turut menyentuh aspek disiplin dan keakuran terhadap cuaca ekstrem yang sering menjadi pertikaian serta perdebatan pelbagai pihak setiap kali berlaku tragedi di gunung tinggi.

Usaha pencarian dan maklumat lanjut berhubung operasi menyelamat kedua-dua mangsa kini sedang dipantau rapat oleh pihak berkuasa tempatan serta pasukan penyelamat di kawasan berkenaan.


Tiada ulasan: