APA CARA
UNTUK BANTU ?
AMIN
BERI SENJATA
BELI MINYAK
KHALAS
Putin janji bantu Iran tamatkan perang Asia Barat
ASHGABAT (Turkmenistan): Presiden Russia, Vladimir Putin, berikrar akan melakukan "segala yang termampu" bagi membantu menamatkan perang di Asia Barat ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Masoud Pezeshkian, menjelang sidang kemuncak serantau, lapor media Russia.
Pemimpin kedua-dua negara yang paling banyak dikenakan sekatan di dunia itu bertemu selepas tiba di Turkmenistan bagi menghadiri sidang kemuncak Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS), yang bermula hari ini di Avaza, sebuah pusat peranginan di pesisir Laut Caspian.
"Kami bersedia melakukan segala yang termampu untuk menyumbang kepada penyelesaian situasi ini," kata Putin.
Beliau berkata, Iran melakukan "usaha sebenar untuk menamatkan perang" sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel bermula pada 28 Februari, menurut agensi berita Russia.
Putin turut menyatakan hubungan Iran-Russia menunjukkan "perkembangan positif".
Kedua-dua negara memperkukuh hubungan diplomatik dan ketenteraan sejak Russia melancarkan serangan di Ukraine pada Februari 2022, sekali gus semakin bergantung antara satu sama lain.
Kyiv dan negara Barat menuduh Iran membekalkan dron Shahed serta peluru berpandu jarak dekat kepada Russia untuk melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Ukraine.
Russia pula dituduh membekalkan maklumat kepada Iran bagi membantu serangan negara itu terhadap sasaran AS di Asia Barat.
Putin dan Pezeshkian turut bertemu di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Kyrgyzstan bulan lalu.
Dalam perbualan telefon pada Rabu, Putin memberitahu Pezeshkian bahawa beliau bersedia membantu menjadi pengantara dalam perang di Asia Barat, lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA.
Hubungan itu berlangsung ketika rundingan antara Iran dan AS dilihat menemui jalan buntu.
Pezeshkian berkata minggu ini bahawa rundingan dengan Washington adalah "tidak bermakna".
Usaha diplomatik untuk menyelesaikan serangan Russia di Ukraine juga kelihatan buntu, meskipun kedua-dua pihak meningkatkan serangan.
"Kami terbabit dalam dialog tetapi setiap kali kami berunding dengan Amerika Syarikat, mereka menyerang lagi," lapor media rasmi Iran memetik Pezeshkian sebagai berkata ketika pertemuan dengan Putin.
Presiden AS, Donald Trump, semalam menolak kemungkinan melancarkan serangan baharu terhadap Iran sebelum pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November, sambil berkata Washington sedang mengadakan "perbincangan yang produktif" dengan republik Islam itu.
Pezeshkian berkata, Tehran mahu melihat "kerangka akhir" bagi menamatkan perang.
Bagaimanapun, beliau menuduh AS "cuba memaksakan dasar dan pandangannya terhadap semua negara".
"Jika Amerika Syarikat berkeras meneruskan pendekatan unilateral, penyelesaian tidak akan dapat dicapai," katanya menurut media rasmi Iran.
Putin dan Pezeshkian akan menghadiri sidang kemuncak CIS, yang pada asalnya ditubuhkan sebagai gabungan negara bekas Kesatuan Soviet, bersama pemimpin Armenia, Azerbaijan, Belarus, Turkmenistan dan beberapa negara Asia Tengah lain.
Pembantu dasar luar Kremlin, Yuri Ushakov, berkata pertemuan Putin-Pezeshkian adalah antara beberapa rundingan dua hala yang dijadualkan berlangsung di luar sidang kemuncak itu.
CIS ditubuhkan pada 1991 bagi mengurangkan kesan keruntuhan Kesatuan Soviet dan mengekalkan hubungan antara bekas republiknya.
Beberapa negara sudah meninggalkan gabungan itu. Georgia menarik diri selepas perang dengan Russia pada 2008, Ukraine menghentikan penyertaannya selepas Moscow mengilhakkan Crimea pada 2014, manakala Moldova keluar pada 2023 ketika berusaha menjalinkan hubungan lebih erat dengan Kesatuan Eropah (EU). - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan