ADA LAPORAN
POLIS TERHADAP
PEGUAM NEGARA
AMIN
TEPAT JIKA
PEGUAM NEGARA
DIREHATKAN
DEMI KEADILAN
KHALAS
KUALA LUMPUR – Penilaian kertas siasatan terhadap Peguam Negara, Dusuki Mokhtar berhubung isu pelaksanaan perintah pengampunan Datuk Seri Najib Razak wajar dikendalikan oleh Peguam Cara Negara (SG) bagi mengelakkan konflik kepentingan.
Peguam, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, perkara itu selaras dengan peruntukan Seksyen 376(2) Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan SG menjalankan fungsi Pendakwa Raya apabila Peguam Negara tidak hadir atau tidak berupaya bertindak.
Menurutnya, persoalan timbul sekiranya polis membuka kertas siasatan terhadap Peguam Negara sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menentukan tindakan pendakwaan.
Beliau berkata, Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya mempunyai kuasa pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, termasuk menentukan individu yang perlu didakwa atau sebaliknya.
“Jika polis membuka kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk diputuskan, siapa yang akan menentukan pertuduhan terhadap Peguam Negara sendiri?” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau mengulas mengenai beberapa laporan polis terhadap Peguam Negara susulan isu pelaksanaan perintah pengampunan Najib.
Yusfarizal yang juga Ketua Penerangan Pas Selangor berkata, meskipun Seksyen 376(2) memperuntukkan kuasa kepada SG untuk menjalankan fungsi Pendakwa Raya, skop penggunaannya mungkin terhad kepada pengendalian prosiding mahkamah.
Malah, katanya, frasa ‘tidak berupaya bertindak’ dalam peruntukan berkenaan juga tidak mempunyai definisi yang jelas.
Mengulas amalan terdahulu, beliau berkata, isu sama pernah dibangkitkan pada 2016 apabila bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berpandangan SG boleh menentukan sama ada pertuduhan perlu dibuat sekiranya Peguam Negara disiasat.
Katanya, pada 2018 pula, bekas Presiden Majlis Peguam, George Varughese menegaskan Peguam Negara perlu menarik diri daripada sesuatu perkara sekiranya wujud konflik kepentingan, manakala SG mengambil alih tugas berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.
Bagaimanapun, Yusfarizal berpandangan situasi semasa berbeza daripada kes terdahulu kerana ia membabitkan laporan polis secara besar-besaran serta isu prerogatif pengampunan.
“Justeru, saya berhujah bahawa berdasarkan pedoman Seksyen 376(2) dan beberapa pandangan sebelum ini, penilaian kertas siasatan terhadap Peguam Negara perlu dikendalikan oleh SG,” katanya.
Dari sudut moral pula, beliau bersetuju dengan pandangan supaya Peguam Negara direhatkan daripada tugas atau meletakkan jawatan.
Menurutnya, langkah itu perlu bagi mengelakkan persepsi bahawa Peguam Negara boleh mempengaruhi keputusan siasatan terhadap dirinya sendiri.
Beliau menegaskan, laporan polis yang dibuat tidak bermakna seseorang itu sudah terbukti melakukan kesalahan, namun Peguam Negara perlu memastikan proses keadilan berjalan tanpa sebarang konflik kepentingan.
“Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan tanpa konflik kepentingan,” katanya. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan