PUTRAJAYA akan mengecualikan visa untuk pelancong dari India dan China berkuat kuasa 1 Januari 2020.
Berdasarkan dua warta Kerajaan Persekutuan berasingan yang disiarkan pada 26 Disember, pengecualian itu diberikan dalam tempoh setahun.
Mengikut pengecualian itu, seorang pelancong dari kedua-dua negara itu dibenarkan tinggal hanya 15 hari dan tidak boleh melanjutkan tempoh tinggal di negara ini.
Warta itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi pihak Menteri Dalam Negeri.
Warta itu menjelaskan pelancong dari negara terbabti perlu berdaftar menerusi sistem pendaftaran dan maklumat perjalanan elektronik.
Selain itu, pelancong perlu melakukan perjalanan ke Malaysia dalam tempoh tiga bulan selepas mendaftar dalam sistem itu.
Warta itu juga menyatakan bahawa pelancong perlu mempunyai tiket penerbangan pulang terus ke China atau ke mana-mana negara lain.
“Pelancong itu hendaklah, semasa ketibaan, mengemukakan bukti bahawa dia mempunyai wang poket yang mencukupi, kad kredit atau kad bandk dengan logo UnionPay, Allpay atau eWallet, dan mengemukakan jadual perjalanannya di Malaysia.
“Pelancongi itu dibenarkan untuk mendaftar semula bagi memasuki Malaysia selepas tempoh 45 hari dari tarikh dia meninggalkan negara ini,” jelas warta itu.
Pelancong dari negara itu hanya dibenarkan memasuki dan keluar Malaysia dari tujuh lokasi pos kawalan imigresen yang ditetapkan.
Lokasi pos kawalan imigresen itu adalah Bangunan Sultan Iskandar di Johor; Stesen Keretapi Johor Bahru di Johor; Pos Kawalan Imigresen Sulan Abu Bakar, Tanjung Kupang di Johor; Padang di Perlis; Bukit Kayu Hitam di Kedah, Sungai Tujuh di Sarawak atau Pos Kawalan Imigresen Tedungan di Sarawak. – 28 Disember, 2019.