Selasa, 30 Julai 2013

SURAT DARI SEORANG AYAH






KENYATAAN BERHUBUNG KEADAAN ANAK SAYA SRI SANJEEVAN A/L RAMAKRISHNAN

Dalam tempoh beberapa jam yang lalu saya mendapati adanya kenyataan-kenyataan berhubung keadaan anak saya Sri Sanjeevan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dan individu tertentu kepada pihak media. Walaubagaimanapun, ada di antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tersebut didapati tidak tepat dan mengelirukan.

Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada Sanjeevan dan kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang.

Saya dengan ini meminta supaya pihak media yang ingin mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan anak saya Sanjeevan untuk terus menghubungi saya atau kakak beliau, Cik Maygala Ramakrishnan dan tidak menerusi mana-mana pihak lain.

Saya juga meminta supaya pihak-pihak dan individu-individu yang tidak berkenaan untuk berhenti dari mengeluarkan apa jua kenyataan-kenyataan kepada media tentang keadaan Sanjeevan tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu.

Pada masa ini, anak saya sedang menerima rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban petang tadi. Keadaan beliau, seperti yang dimaklumkan oleh pihak Hospital Serdang kepada kami sebentar tadi adalah walaupun kritikal, tetapi lebih stabil.

Saya juga ingin mengambil peluang untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan doktor-doktor, pakar-pakar dan kakitangan perubatan di Hospital Jempol, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Serdang yang telah dan sedang bertungkus lumus berusaha untuk menyelamatkan anak saya Sanjeevan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia yang mengambil langkah berjaga-jaga dan memberi kawalan keselamatan penuh terhadap Sanjeevan sementara dia dirawat di hospital sekarang ini.

Saya dan keluarga turut menghargai ucapan simpati dan kata-kata sokongan dari keseluruhan rakyat Malaysia serta doa mereka untuk Sanjeevan.

Sekian, terima kasih.

EN RAMAKRISHNAN PERIANAN
(BAPA KEPADA SRI SANJEEVAN A/L RAMAKRISHNAN)

29 JULAI 2013



-----------

Tiada ulasan: