MASIH
DALAM INGATAN
Saya
masih ingat lagi kali pertama melihat
wajah Wan Azizah. Tempatnya dalam panggung DBKL di Jalan Ampang. Waktunya:
ketika menonton sandiwara Melayu yang bernama Lantai T Pinkie. Johan
Jaafar yang pada ketika itu penjaga imej
Anwar Ibrahim di Utusan telah meminta saya datang ke panggung. Pada hemat saya si Johan ini cuba menampakkan Si Anwar ini sebagai peminat
teater.
Sama
ada Anwar Ibrahim meminati teater atau tidak bukan congak saya. Ianya tak pernah masuk dalam kamus dan jadual saya.
Apa yang
saya nak labonkan disini ialah tentang Wan Azizah bukan tentang Anwar Ibrahim.
Biasanya,
kalau menonton sandiwara Melayu saya
suka mengambil kerusi paling belakang. Jika sandiwara membosankan saya akan akan
mencelah keluar dengan senyap-senyap. Sayangnya ketika menonton Lantai T Pinkie
saya gagal berbuat demikian kerana saya duduk betul-betul dihadapan Wan Azizah.
Maka saya tidak ada pilihan – saya terpaksa terus menonton hingga tamat.
Apa
yang menarik pada malam itu bukan sandiwara dipentas. Sandiwara yang amat menarik telah berlaku
diluar pentas. Kawan saya Halim Sabir
yang duduk disebelah saya telah terdengar Wan Azizah memanggil Anwar :
abang. Bila Halim berseloroh tentang
‘sandiwara’ ini kami berdua terbahak-bahak ketawa. Ini berlaku pada
ketika Anwar masih yakin dan percaya
kepada Ketuanan Melayu dalam United Malays National Organisation. Ini terjadi
dalam tahun 1997.
Kemudian
Anwar ditangkap. Saya melihat wajah Wan
Azizah dari jauh. Saya perhatikan bagaimana Parti Pas telah mengosong Wan Azizah
ke hulu ke hilir berkempen tentang ‘Abang Anwar’. Ini sebelum wujudnya Parti
Keadilan Nasional. Ini ketika anak muda sedang turun berdemo mendobrak dan menuntut Anak Lelaki Iskandar Kutty
meletak jawatan.
Kali
kedua saya melihat Wan Azizah di Hotel Federal. Ketika itu amat susah mendapatkan tempat atau dewan untuk berforum mendengar pendapat. Semua ruang kosong telah
ditutup oleh Anak Lelaki Iskandar Kutty. Dewan hotel mungkin boleh disewa
tetapi bukan semua hotel bersedia untuk dilanggan. Banyak tuan empunya hotel
diberi tekanan. Kezaliman United Malays National Organisation sedang mengganas.
Saya
ingat lagi pada malam itu – antara yang berucap ialah Mahfuz Omar. Si
Mahfuz yang ketika itu memimpin Pemuda Pas
telah berucapa dengan hebat.
Suasana politik ketika ini sedang
menggelora. Setiap hari Sabtu ribuan anak muda Melayu akan turun berdemo di
Jalan Tunku Andul Rahman. Pertemporan
sering berlaku. Polis semakin dilihat jelas sebagai jentera untuk
mempertahankan kezaliman United Malays National Organisation. Justeru ucapan
Mahfuz memang membakar.
Saya
ternanti-nanti untuk mendengar apa isi butir dan pandangan Wan Azizah. Wan Azizah penyampai ucapan terakhir. Cukup mengecewakan. Mengikut istilah
anak muda: ucapan Wan Azizah telah potong stim. Saya tidak ingat
langsung apa isi kandongan ucapan Wan Azzizh pada malam ini. Apa yang saya
ingat hanya... Abang Anwar ini..Abang Anwar itu .. Abang Anwar dan dan..
semuanya tentang Abang Anwar.
Walau
pun ucapan Wan Azizah amat-amat mengecewakan tetapi saya masih ingat bagaimana
Wan Azzizh telah turun dengan keretanya untuk memberikan tanda sokongan
terhadap gerakan jalan raya. Wan Azizzh telah mengharung Jalan Tunku Andul
Rahman ketikan ribuan anak muda Melayu sedang mengempur Anak Lelaki Iskandar Kutty. Imej Wan Azizah melambaikan tangan tanda
sokongan ke jalan raya ini memaksa saya memberi penilaian kedua kepada si Perempuan ini.
Dalam
PRU10 pada tahun 1999 Wan Azizah telah bertanding dan memenangi kerusi Pematang Pauh. Kemudian
Wan Azizah dipilih untuk menjadi Ketua
Pembangkang dalam Barisan Alternatif.
Diawal
zaman Refortmasi demo dijalan raya berlaku sepontan. Tidak ada
garis politik. Tidak jelas arah tuju.
Walau pun tanpa pimpinan yang jelas, demo jalan raya pada ketika ini
telah menjemput puluhan ribu anak muda ke jalan raya. Mereka turun ke jalan raya kerana melihat kezaliman telah
berlaku. Kesedaran anak anak muda semakin melonjak naik. Inilah zaman
kebangkitan dan kesedaran politik para mahsiswa dan pelajar sesudah Gerakan Baling
1974. Anak muda 1974 dan Anak Muda Reformasi mahu menggulingkan United Malays
National Organisation.
Lama
kelamaan Gerakan Reformasi turun ke
jalan raya semakin tersusun dan dirancang. Saya masih ingat lagi bagaimana
telah disusun berberapa perhimpunan besar-besaran untuk terus menghasut orang
ramai membenci United Malaya National Organisation. Hasilnya amat lumayan: Parti Ketuanan Melayu ini dilihat semakin sesak nafasnya. Wan Azizah ketika ini jelas
dilihat sebagai simbol penggerak Reformasi.
Saya
masih ingat lagi di Lebuh Raya Kesas. Di Perhimpunan Jalan Kebun Panglima Garang, Wan
Azizah telah datang dengan kereta roda. Dia
ditunda oleh Pembantu kerana kakinya cedera bersimin. Walau pun dikerusi roda tapi masih
gigih berdemo.
Pada
petang itu di Lebuh Raya Kesas dikabusi oleh asap tembakan gas pemedeh mata.
Ini tidak lagi menakut Wan Azizah. Kini gas pemedih mata dan pancutan air kimia
bukan satu yang baru untuk Wan Azizah. Wan Azizah berada di barsian
hadapan berarak dijalan raya di Lebuh
Raya Kesas. Kini Anwar Ibrahim bukan lagi Abang Anwar. Wan Azizah adalah suara
Anwar Ibrahim diluar penjara. Inilah sejarah perjuangan Wan Azizah yang
gigih berpolitik untuk menggulingkan United Malays National Organisation.
Ketika
Anwar dibicarakan saya melihat wajah Wan Azizah dimedia dalam negara dan luar
negara. Saya ternampak Sang Ibu ini
memimpin anak-anak untuk melihat Sang Ayah yang sedang dizalimi. Mahathir Muhamad menjadi ikon kezaliman bila mana rakyat dunia
melihat Wan Azizah dan keluarga yang diinyaya.
Pada
bulan April 2001 – saya bersama 9
Reformis telah ditangkap dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dua
bulan kemudian 6 orang kami dihantar ke Kamunting. Hubungan diluar putus. Dari
tembok penjara saya kadang-kadang dapat terbaca bagaimana Wan Azizah telah meneruskan perjuangan.
Dari tembok penjara saya merasakan Wan Azizah semakin mendewasa untuk memberi
harapan kami yang dalam penjara.
Beberapa
kali apabila Tian, Dr Badrul, Lokman Adam, Mat Ezam dan saya telah dibawa ke
Kuala Lumpur untuk bicara kes ‘ demonstrasi’. Ketika itu Mahkamah kami sebelah
Masjid Jamek. Sesekali di Mahkamah Wan
Azizah turun hadir. Saya hanya menganggukkan kepala tanda berterima kaseh kerana dia sanggup meluangkan
masa datang bersetiakawan ke mahkamah.
Kami dilarang berbual. Sesekali hanya
berupaya bertanya khabar tidak lebih dari itu.
Dari
tembok penjara saya mengikuti perbincangan Parti Keadilan Nasional dan Parti
Ralyat yang ingin bergabung. Saya bukan ahli mana-mana parti. Tetapi saya
menyokong pergabungan ini sebagai usaha untuk menggalang satu front perjuangan
yang luas. Pergabungan berlaku - Wan Azizah dinobatkan sebagai Presiden Parti
Keadilan Rakyat dan Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden Parti.
Saya
dibebaskan pada tahun 2003. Beberapa bulan kemudian saya dijemput untuk
berceramah di Kamunting. Untuk pertama kalinya saya dapat sapentas dengan Wan
Azizah. Kami berceramah di Markas Pas Kamunting. Sungguh ironi – markas Pas ini
tidak jauh dari pintu masuk ke kem Kamunting. Malah saya selalu melihat daerah
ini terutama apabila saya dibawa keluar
ke hospital Taiping atau keluar bicara.
Malam
itu Wan Azizah Yang Berhormat dari Permatang Pauh tidak menjadi peceramah
terakhir. Ini kerana Wan Azizah perlu bergerak awal dalam perjalanan ke Pualu
Pinang. Wan Azizah bertucap lebih awal dari saya. Aduh! Hari ini, saya masih ingat lagi nada ucapan pertama Wan Azizah di
Hotel Federal pada tahun 1998. Dan nada
ucapan di Markas Pas Kamunting pada tahun 2003.
Saya
mendengar ucapan Wan Azizah dengan penuih hormat. Saya memasang telinga untuk
mendengar hujah yang keluar dari mulut Dr Wan Azizah. Untuk saya apa yang keluar
dari mulut adalah tahap fikrah seseorang. Jelas pada malam di Kamunting itu ucapan
Wan Azizah penuh berisi. Penuh bersemangat. Mungkin tidak sahebat ucapan Mahfuz
Omar tetapi pada hemat saya Wan Azizah
kini telah mendewasa sebagai pemimpian
politik bertaraf antara bangsa. Sama setaraf dengan Megawati atau Curazon
Aquino.
Malah
dalam ceramah malam itu Wan Azizah secara bijak telah berjaya ‘menduku’ saya
kerana saya masih lagi belum mendaftar sebagai pengundi. Secara berseloroh dan
berjenaka dia bertanya kenapa saua msih belum mendaftar. Markas Pas Kamunting
terbarai ketawa pada malam itu. Sayangnya sesudah berucap Wan Azizah minta diri
untuk meneruskan perjalanan. Tanpa saya
berpeluang ‘ menduku’ kembali.
Hanya
itu sekali sahaja saya sapentas dengan Wan Azizah. Justeru saya masih lagi
belum dapat menerangkan kenapa hingga hari ini saya masih lagi belum mendaftar
sebagai poengundi.
Dua
hari dulu dunia diberitahu bahawa Wan Azizah akan bertanding di Kajang. Media
United Malays National Organisation cuba memperlekehkan Wan Azizah. Sikap United Malays National Organisation
cukup memgumbirakan saya. Saya berharap musuh politik Wan Azizah juga
memiliki pandangan yang sama.
Untuk sesiapa sahaja yang belum mengenali Wan
Azizah – saya ingatkan – jangan tersalah baca.
Yang bertanding ini bukan Wan Azizah Lantai T Pinkie. Bukan Wan Azizah Federal
Hotel. Ini Wan Azizah berhati cekal yang
telah melintasi dunia politik antarabangsa. Justeru, kepada anak semua bangsa,
terutama kepada warga Selangor bersedia untuk
memecah tradisi. Bersedia untuk merayakan MB Perempuan yang pertama. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar mingguan SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan sila pukul talipon
03-92-21-10-45
NOTA
kapal terbang dah bergerak
----------
4 ulasan:
REFORMASI! LAWAN TETAP LAWAN!!!
kalau Wan Azizah dah setaraf Megawati dan Corazon Aqiuno, Tuan TT sampai sekarang dah jadi macam siapa?Fidel Castro ka atau Robert Mugabe?Kah..kah..kah..
Takkanlah dah tua bangka masih tak dapat gelaran?kah...kah..kah..
Eloklah kita bagi gelaran Laksamana DOREMI pada Tuan TT untuk terbang mencari MH370 dari negeri Pasir Berdenggung negara ketuanan melayu!kah...kah..kah..
telah mmbaca tulisan ini tanpa tertinggal satu huruf pun..
lu sudah bikin gua nangis jer.. MB Wanita? Ini sudah cukup bagus..
Catat Ulasan