PERDANA MENTERI CAMPUR TANGAN DALAM URUSAN GERAN MOSTI, ANUGERAH RM100 JUTA KEPADA PROJEK KOMERSIL
Kenyataan Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Dr Abu Bakar Md Diah semalam yang menafikan berlakunya salahguna dalam pengurusan geran R&D MOSTI menunjukkan beliau sendiri tidak arif dengan perkara yang berlaku di bawah kementerian beliau.
Beliau turut dipetik sebagai berkata bahawa setiap geran R&D perlu melalui proses penilaian yang ketat. Proses itu turut melibatkan pembentangan kepada satu jawatankuasa yang dianggotai oleh kumpulan pakar.
Saya boleh mendedahkan bahawa salah satu geran yang terbesar pernah diberikan di bawah skim geran R&D MOSTI ini adalah hasil campur tangan Perdana Menteri, Najib Razak sendiri yang membayangkan ia tidak mengikuti prosedur yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri itu.
Saya sertakan surat kelulusan dari Dr Ewon Ebin, Menteri MOSTI kepada NSE Resources Corporation (M) Sdn Bhd yang secara terang-terangan menunjukkan bagaimana keputusan mengenai geran R&D dibuat dan diluluskan dengan arahan dan campur tangan Najib Razak.
Lebih dari itu, pemberian geran kepada syarikat ini adalah bagi sebuah projek komersil yang melibatkan dana awam sebanyak RM100 juta diberikan kepada satu syarikat sahaja. Ini bertentangan dengan prosedur dan tatacara biasa pemberian geran R&D di bawah MOSTI seperti berikut:
1. Geran R&D diberikan dalam jumlah yang kecil bagi satu projek/geran. Geran maksima yang dilaporkan bagi satu projek (mengikut Laporan Tahunan MOSTI) ialah sebanyak RM2 juta dibawah Technology Acquisition Fund (TAF)
2. Geran R&D diberikan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi, bukannya satu projek komersil yang melibatkan dana ratusan juta
Jika syarikat ini diberikan geran sedemikian rupa besarnya iaitu RM100 juta, apakah MOSTI bersedia mengumumkan bahawa syarikat-syarikat lain yang mengusahakan projek komersil seumpama itu atau terlibat di dalam industri teknologi juga boleh memohon geran untuk membiayai projek-projek mereka?
Oleh kerana jumlah RM100 juta yang diberika ini adalah dalam bentuk geran, maka NSE Resources Corporation (M) Sdn Bhd mungkin tidak perlu membayar balik satu sen pun kepada kerajaan. Kita telah menyaksikan bagaimana pinjaman mudah kepada NFC (bukannya geran) pun tidak dibayar balik kepada kerajaan, apatah lagi jumlah RM100 juta yang diberikan sebagai geran.
Ini hanyalah satu projek yang menunjukkan bagaimana Najib Razak campur tangan dengan memberi arahan kepada MOSTI agar geran RM100 juta diberikan kepada sebuah projek komersil. Kita tidak tahu berapa banyak lagi campur tangan dan arahan seperti ini yang dibuat oleh beliau selama ini kerana peruntukan geran R&D adalah besar iaitu sebanyak RM1.1 bilion.
Saya menunggu penerangan dan penafian dari Najib Razak dan Dr Ewon Ebin mengenai pemberian dana RM100 juta ini kerana saya ada dokumen-dokumen lain yang lebih lengkap.
RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
21 April 2014
------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan