Khamis, 22 Mei 2014

PERMULAAN POLITIK BARU








MEMULAKAN
POLITIK BARU
Rusuhan DUN P.Pinang: Ketua Polis 
Pulau Pinang Harus Ambil Tindakan
 Atau Letak Jawatan

Solidariti Anak Muda Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mencipta kekacauan dan merusuh di dalam Dewan Legislatif ketika Dewan sedang bersidang seperti yang berlaku di Pulau Pinang.

Insiden tersebut telah mencatat satu episod gelap dalam sejarah politik tanahair selain berpotensi menghakis kepercayaan rakyat terhadap amalan Demokrasi Berperlembagaan.

UMNO telah menunjukkan bahawa sememangnya mereka tidak pernah menghormati institusi Dewan Undangan Negeri dengan perlakuan biadap merusuh di dalam dewan legislatif negara. Adakah mereka ingin menunjukkan bahawa mereka adalah golongan yang mengatasi segala bentuk undang-undang?

Timbul persoalan mengapa Polis DiRaja Malaysia tidak mengambil tindakan tegas menghalang berlakunya perilaku rusuhan yang mengugat institusi demokrasi berperlembagaan negara. SAMM berasa amat kecewa dengan tindakan lemah pihak PDRM dalam berhadapan dengan konfrontasi daripada mereka-mereka yang punya hubungan dengan rejim UMNO/BN walaupun mereka itu sedang memijak kedaulatan negeri dan negara amnya.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini mendesak Polis DiRaja Malaysia segera menangkap semua pihak yang telah menceroboh dan mencetuskan rusuhan tersebut. Jika tiada tangkapan dalam tempoh 24 jam, maka Ketua Polis Negeri Pulau Pinang wajar melepaskan jawatan atas tidak kompeten dan hanya membiarkan mereka-mereka yang anti-demokrasi berperlembagaan dan ingin mencetuskan suasana huru hara dalam negara.

Insiden ini merupakan satu tindakan biadap yang tidak menghormati Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan juga satu cubaan memerangi kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dan juga Yang Dipertuan Agong.

SAMM melihat kelemahan pihak PDRM dalam mempertahankan keselamatan Dewan Negeri Pulau Pinang ini seolah-olah sedang mempersendakan maruah TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Dewan Negeri merupakan dewan legislatif yang dipayungi oleh Sultan, Raja atau TYT Yang Dipertua Negeri. Mengapa tindakan tidak bertamadun ini sengaja dibiarkan?

Mencipta kekacauan merusuh dalam dewan yang tertinggi dalam negeri yang menggubal undang-undang di peringkat negeri dan yang membawa rang undang-undang Parlimen untuk diimplementasikan di peringkat negeri adalah satu bentuk usaha memperlekeh ruang demokrasi dan kedaulatan negeri itu sendiri.

Sekali lagi, SAMM mendesak PDRM segera mengambil tindakan terhadap perusuh berdasarkan kepada aspirasi No One Is Above The Law dan juga demi menjaga prinsip Rukun Negara ketiga, Keluhuran Perlembagaan daripada terus dipermainkan oleh pihak-pihak yang sekadar ingin melakonkan drama politik semata-mata. 


Sekali lagi SAMM ingatkan, kegagalan mengambil tindakan akan menyebabkan institusi legislatif ini berpotensi menghakis kepercayaan rakyat terhadap prinsip amalan Demokrasi Berperlembagaan.

Che'Gubard
Pengasas SAMM

Zulkifli Haji Ibrahim
Penyelaras SAMM Kebangsaan
(Bekas Pegawai Khas YDP Dewan Undangan Negeri P.Pinang)




---------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

KALAU yang ceroboh dewan ni orang PKR ka PAS memang kena belangkung la dengan Polis.

jangan harap Polis nak berlembut. Tapi kalau malaon eeee ni buat karenah takpa. Semua kawtim.