KONSESI PENSWASTAAN UiTM JASIN DIBERIKAN KEPADA BEKAS-BEKAS WAKIL RAKYAT UMNO SELANGOR
Pemberian konsesi penswastaan UiTM Jasin yang diberikan kepada syarikat yang dikawal oleh dua orang bekas wakil rakyat Umno Selangor membuktikan bahawa keputusan lantikan syarikat pemegang konsesi dibuat secara rundingan terus. Malah, saya berpendapat bahawa keputusan untuk membina kampus-kampus cawanga UiTM ini lebih dipengaruhi kepada lobi dan rundingan dengan syarikat-syarikat pemegang konsesi, bukannya berdasarkan perancangan jangka panjang UiTM sendiri.
Konsesi penswastaan UiTM Jasin diberikan kepada YBK Usahasama Sdn Bhd yang dikawal oleh dua orang tokoh Umno Selangor yang juga bekas wakil rakyat iaitu:
1. Dato’ Zainal Abidin Sakom, bekas ADUN Batang Kali, dan
2. Dato’ Dr Hj Mat Yasir Ikhsan, bekas ADUN Sg Air Tawar, Sabak Bernam (1999-2004) dan bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam (2004-2008)
Sebelum ini, yayasan yang dikawal oleh Dato’ Zainal Abidin Sakom iaitu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) telah terlibat dalam satu kontroversi iaitu cadangan pembinaan UiTM Cawangan Serendah di atas tanah yang pernah dianugerahkan oleh pentadbiran Umno kepada yayasan tersebut. Tanah tersebut diambil balik oleh pentadbiran Pakatan Rakyat apabila YBK melanggar beberapa syarat yang ditetapkan Kerajaan Selangor.
Selepas kegagalan membina UiTM Cawangan Serendah, syarikat yang dikawal oleh kedua-dua mereka melalui YBK terlibat pula di dalam konsesi penswastaan UiTM Cawangan Jasin. YBK bukanlah sebuah entiti yang terlibat di dalam projek pembinaan dan pengurusan aset besar, malah pemegang konsesi iaitu YBK Usahasama Sdn Bhd hanya ditubuhkan dalam tahun 2010 iaitu selepas usaha membuka UiTM Cawangan Serendah gagal.
Ini memberi gambaran seolah-olah keputusan untuk memberikan satu konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM kepada kedua-dua tokoh ini dibuat terlebih dahulu sebelum keputusan membangunkan kampus-kampus cawangan UiTM.
Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa YBK Usahasama Sdn Bhd adalah sebuah syarikat milik penuh Serendah Heights Sdn Bhd. Serendah Heights Sdn Bhd pula dimiliki oleh 3 entiti iaitu Yayasan Basmi Kemiskinan, Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd dan Just Wisdom Sdn Bhd.
Dato’ Zainal Abidin Sakom adalah pengerusi YBK dan pengarah di dalam Serendah Heights Sdn Bhd dan Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd sementara Dato’ Dr Hj Mat Yasir Ikhsan adalah pengarah kepada Serendah Heights Sdn Bhd dan Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd.
Isteri kepada Dato’ Zainal Abidin Sakom iaitu Datin Hartini @ Gayah Osman juga adalah pengarah Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd dan ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK.
Susunatur pegangan syarikat-syarikat ini menunjukkan bagaimana YBK Usahama Sdn Bhd iaitu pemegang konsesi 23 tahun UiTM Cawangan Jasin yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion ini dikuasai dan dikawal oleh tokoh-tokoh Umno Selangor iaitu Dato’ Zainal Abidin Sakom dan Dato’ Dr Hj Mat Yasir Ikhsan.
Bukti-bukti yang saya tampilkan setakat ini sudah cukup menunjukkan bagaimana UiTM digunakan oleh Umno untuk menanggung bebanan bayaran kepada syarikat konsesi yang semuanya milik pimpinan Umno. Ini adalah bukti yang sudah nyata dan kenyataan Menteri Pendidikan II bahawa bukti yang saya kemukakan tidak lengkap (dan menyerang peribadi saya tanpa menyangkal bukti-bukti ini) menunjukkan bahawa Umno tidak bersedia untuk berdepan dengan isu ini.
RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
19 Jun 2014
---------
2 ulasan:
Tak pa ...la. mlyu jgak yg kaya. Hang x bgga ka?????
Bangga kepala otak hang. Depa kaya hang terus jadi barua umnongok.kah..kah..kah..
Catat Ulasan