.

Khamis, 30 Mac 2017

TAK PERLU SOSMA







ANGKATAN MUDA KEADILAN
KENYATAAN MEDIA : 29 MAC 2019


KES NOOR AISHAH, MANSUHKAN SOSMA, MALAYSIA TAK PERLUKAN UNDANG-UNDANG YANG MELAMPAUI KUASA MAHKAMAH.

Malaysiakini semalam melaporkan penangkapan kali ketiga Siti Noor Aishah di bawah undang-undang tahan tanpa bicara. (rujuk laporan Malaysiakini, 28 Mac 2017, “Bekas pelajar sarjana Siti Noor Aishah ditangkap, sekali lagi”). Pertama kali beliau ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (SOSMA) pada Mac 2016 kerana memiliki 12 buku yang disifatkan mengandungi unsur-unsur keganasan.

Beliau bagaimanapun dibebaskan pada September 2016 apabila Mahkamah Tinggi mendapati tiada Prima Facie tehadap pertuduhan. Bagaimanapun sebaik dibebaskan oleh Mahkamah, beliau ditahan semula oleh Polis menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama 60 hari. Selesai 60 hari tahanan, beliau ditempatkan di bawah Perintah Tahanan Rumah di Dungun dan beliau juga dipasangkan alat Peranti Pengawasan Elektronik.

Ditahan SOSMA Kali Kedua

Kini beliau ditahan semula di bawah SOSMA di bawah pertuduhan yang sama apabila Pendakwa Raya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membebaskan beliau. SOSMA merupakan undang-undang yang membenarkan pihak Polis menahan seseorang selama 28 hari untuk siasatan tanpa perlu memohon perintah reman. Sekiranya selepas tempoh 28 hari sesorang itu didakwa, maka individu tersebut tidak mempunyai hak untuk diikat Jamin. Ini bermakna dia akan ditahan sehingga perbicaraan selesai. Begitu juga dengan POCA yang memberi kuasa kepada pihak Polis untuk menahan sesorang selama 60 hari tanpa perlu mendapatkan reman mahkamah.  

Ditahan Lebih Setahun Tanpa Disabitkan Bersalah


Jika dihitung dengan mengambil kira Perintah Tahanan Rumah, Aishah telah ditahan lebih daripada 12 bulan tanpa disabitkan dengan apa-apa kesalahan. Malah lebih malang apabila beliau terpaksa melalui penahanan ini sedangkan Mahkamah mendapati beliau tidak bersalah. Jika mengambil kira proses kebiasaan mahkamah, Aishah mungkin terpaksa mendekam dalam tahanan sehingga September 2017 untuk menunggu perbicaraan selesai seperti yang dilaluinya semasa penahanan kali pertama. Tidakkah ini suatu ketidak adilan terhadap beliau ?. Sedangkan prinsip asas keadilan ialah seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh Mahkamah melalui perbicaraan yang terbuka dan adil.

Kuasa Polis Terlalu Besar

Ini jelas membuktikan bagaimana korupnya undang-undang drakonian yang memiliki elemen tahan tanpa bicara. Undang-undang ini memberi kuasa yang besar kepada Polis untuk membuat tafsiran kesalahan dan menjalankan tangkapan. Ini sudah pasti membuka ruang kepada penangkapan sesuka hati atau arbitrary arrest.


Menafikan Hak-Hak Orang Ditahan

SOSMA juga menafikan hak individu untuk bertemu peguam dalam masa 48 jam selepas ditahan. Ini sudah pasti menimbulkan kerisauan mengenai bagaimana proses soal siasat dijalankan. NGO Hak Asasi Manusia, SUARAM sebelum ini telah mendedahkan pelbagai isu berkenaan penahanan di bawah SOSMA seperti hak bertemu keluarga dinafikan, tahanan diminta mengaku kesalahan dan keadaan dalam tahanan yang teruk.


Undang-Undang Sedia Ada Memadai

AMK yakin undang-undang drakonian ini tidak diperlukan memandangkan negara kita sudah memiliki Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang cukup untuk mengendalikan keselamatan awam disamping memelihara hak-hak orang yang ditahan. Undang-undang tahan tanpa bicara ini juga seolah-olah memberi jalan pintas kepada Polis untuk membuat tangkapan tanpa siasatan yang sewajarnya. Sudah pasti undang-undang seperti tidak menaikkan kualiti siasatan Polis tetapi hanya menggadaikan prinsip Natural Justice

SOSMA, POCA adalah Evolusi Daripada ISA


AMK yakin SOSMA, POCA dan POTA adalah evolusi kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan pada tahun 2012 setelah mendapat tentangan berterusan bukan sahaja daripada rakyat malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa. Selagi Malaysia memiliki set undang-undang seperti ini, kedaulatan undang-undang negara akan terus berpotensi untuk dicemari atas kepentingan politik. AMK Khuatir, SOSMA, POCA dan POTA ini bakal menjadi alat politik seperti mana ISA digunakan untuk menghambat lebih daripada 10,000 aktivis dan ahli politik sepanjang 60 tahun kewujudannya.  

Oleh itu, AMK mendesak Menteri Dalam Negeri untuk segera memansuhkan semua undang-undang tahan tanpa bicara seperti SOSMA, POCA dan POTA. Segala salah laku yang pernah dilaporkan di bawah undang-undang ini juga perlu disiasat dan mangsa-mangsa akta ini perlu diberi keadilan sewajarnya.

Sekian. Terima Kasih

Ahmad Syukri bin Che Ab Razab

Setiausaha Pengelola
Angkatan Muda Keadilan





-----------------

Tiada ulasan: