Rabu, 20 Mei 2020

MERAKAM SEJARAH - DIKURUNG BERHARI RAYA



MERAKAM SEJARAH 

DIKURUNG BERHARI RAYA


Hari ini Senin 18 Mei 2020 kita telah berpuasa  selama 25 hari. Kita juga telah berkhalwat –  tunduk mengikut  Perentah Kawalan Pergerakan (PKP) ke tahap PKPB (BERSYARAT)    selama 62 hari. Pagi Senin ini juga   Parlimen Kerajaan Perikatan Nasional a.k.a kerajaan Muhyiddin Yassin bersidang untuk kali pertama. 

Saya menangguhkan sambungan tulisan mengenai xenophobia. Pada hemat saya hari baik bulan baik ini biar saya merakam sejarah tentang puasa dan hari raya. 

Untuk rakaman  ingatan kita semua  puasa dan hari raya tahun kini kita berkurung dirumah atas perentah  Majlis Keselamatan Negara.  Untuk pertama kalinya kita mengalami puasa dan hari raya dalam suasana yang amat amat berlainan. 

Untuk saya raya tahun ini   tak ada lemang, tak ada rendang daging, tak ada ketupat , tidak ada tapai,  tak ada letupan mercun, tidak memasang pelita minyak malah bunyi ledakan meriam buluh tidak kedengaran. 

Semua ini ialah ciri Islam Budaya yang saya anuti. Tapi  raya tanpa semua ini bukan satu yang baru untuk saya. 

Raya  senyap sunyi dan tidak sibuk tanpa tamu pasti satu pengalaman baru untuk majoriti ummah. Kesian kanak-kanak tahun ini duit raya pun tidak ada. Inilah yang saya panggil Raya Kobid. Amin.

Mengikut istilah warga Belgium saya ini dipanggil  célibataire a.k.a Jantan Bujang bukan Jantan Kobid. Jantan yang memilih gaya hidup membujang sebatang kara   tidak akan menghadapi kesunyian bersendirian.  Ini tepat sekali  untuk diri saya. Malah berpuasa dan dikurung ini telah saya lalui berkali kali.

Kali pertama saya ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap adalah dalam bulan puasa September 1974. Satu malam saya ditahan dalam  lokap bandar Johor Bahru.Kemudian atas arahan mahkamah saya dihantar satu minggu ke Penjara Ayer Molek. Saya bersama arwah Yunus Ali dikumpulkan dalam satu lokap dengan tiga orang anak muda Melayu. 

Kem Komandan Ayer Molek memberi arahan semua tahanan reman Islam dipisahkan dari yang bukan Islam kerana bulan puasa.  

Tahun 1974 saya masih muda. Justeru puasa atau tidak puasa bukan satu yang penting untuk saya saorang peganut mazhab Islam Budaya. Puasa di Ayer Molek pada bulan September itu dipaksakan keatas diri saya oleh arahan sistem penjara. Kalau bebas diluar besar kemungkinan saya tidak akan berpuasa.
  
Kemudian pada  10 April 2001 saya ditahan. Kali ini dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA).  Saya ditahan bersama sembilan yang lain. Dua bulan kemudian 4 orang dibebaskan. Tapi saya bersama 5  yang lain  dihantar ke Kem Tahanan Kamunting Taiping  (KEMTA) untuk ditahan selama dua tahun.

Ezam Mat Nor, Saari Sungip, Tian Chua dan saya sampai ke Taiping dahulu.  Ini satelah siasatan dua bulan kami selesai. Kemudian diikuti oleh Lokman Adam dan Ustad Dr Badrul Amin. 

Sesampai di Kamunting Hishamuddin Rais dikenali sebagai Tahanan 2504.  Panggilan nama diubah untuk memastikan kami tidak memiliki identiti diri. Hanya dikenali dengan angka.

Malam pertama Ezam Mat Noor, Saari Sungip, Tian dan saya dimasukkan ke dalam bilik yang sama. Kawasan ini  dipanggil Kawasan Blok 4B.  Bayangkan kegumbiraan satelah dipenjara  bersendirian seorang diri  selama dua bulan kini dapat berbual dengan manusia. Dan bebas dari  mendengar lebong dan maki hamun SB yang menyiasat kami.

Kegumbiraan tak sampai seminggu.  Arahan baru sampai.  Kami dipisahkan. Saari dan Ezam dipindah ke Blok  4A.  Tian Chua dan saya terus tinggal di Blok 4B. Lojiknya jika kami berkumpul maka kami akan merancang bagaimana hendak menjatuhkan Mahafiraun a.k.a Mahathir Muhamad.

Blok 4b ini  ada dua bangunan. Setiap  bangunan  seluas bilik darjah. Disetiap bangunan  ada lima   tandas dan kolah air  mandi. Ertinya dibuat untuk menahan ramai orang.  Bagitu juga blok sabelah - Blok A.    Keluasan blok ini rasa saya 4 kali padang badminton.  Tapi kami hanya empat orang. Ruang satu blok amat amat lumayan untuk dua penghuni.

Saya dikurung bersama Tian Chua.  Minggu pertama memang seronok.  Bersembang dan bertukar kesah soal siasat. Kemudian habis cerita. Habis pekara nak ditanya.  Kami tak ada pilihan wajib berhadapan memandang muka yang sama. 

Bayangkan : pada bulan pertama kami dikurung tidak  ada bahan bacaan. Ketika ini saya mula berkawan dengan semut. Memerhatikan  perjalanan semut masuk ke lubang. Memberi semut serpihan roti.  Melihat betapa kuatnya semut berupaya  mengangkat serpihan roti yang lebih besar dari badan sendiri.  

Empat bulan kemudian  17 November 2001  masuk bulan puasa.  Kali ini saya memang berniat hendak berpuasa. Rokok telah saya tinggalkan semenjak petang 10 April 2001 -  petang saya ditangkap.  Dengan berpuasa saya mahu membesihkan tubuh badan yang telah saya cemari. Untuk penganut Islam Budaya puasa ialah  proses detoksifikasi.

Untuk warga Blok 4A - Ezam dan Saari Sungip tak ada masaalah. Mereka berdua akan sama berpuasa. Tapi bagaimana saya dan Tian Chua. Ketika berpuasa dalam Penjara Ayer Molek  bulan September 1974  dahulu saya dikumpulkan dalam satu sel.

Bayangkan jika Ezam, Saari,  Lokman,  Badrul, Tian dan saya akan dimasukan ke dalam satu blok.  Ini mimpi basah yang dikhayalkan.  Tetapi  dikurung  di Kemta  Taiping mustahil mimpi basah ini akan  berlaku. Arahan Kementerian Dalam Negeri a.k.a Pak Lah - enam tahanan Reformis  wajib dikurung dalam tiga blok yang berasingan
Satu minggu sebelum puasa , satu  lubang telah ditebuk dipintu untuk membolehkan dulang makanan  masuk. Kami dikurung dalam bilik dari jam 7 pagi hingga 7 malam.  Kerana itu dulang sahur wajib  disorong  melalui lubang ini  jam 12.00 malam tanpa membuka pintu.

Untuk menyenangkan pengurusan makanan dalam blok saya,  Tian Chua mahu ikut berpuasa sama.   

Tian diminta  menulis surat resmi  kepada Komandan Kemta untuk berpuasa. Jangan ketawa  bila membaca babak ini.  Ketika dikurung nak  berpuasa pun wajib tulis surat. Inilah surah  berkurung dalam bulan puasa Kemta.

Permintaan Tian Chua ditolak. Tian Chua kapir. Mungkin  jika Tian berpuasa ini  akan  mengelirukan Si Malaikat yang menulis dosa dan pahala.  Tian  menulis surat rayuan. Ini  beberapa hari sebelum puasa bermula.

Akhirnya pihak Kemta meluluskan permintaan Tian. Saya gumbira kerana saya boleh tidur awal dan Tian boleh mengambil dulang sahur. Amin

Kemudian untuk melunakkan berpuasa ketika dikurung  kami membuat rayuan agar kami berenam dapat berbuka bersama-sama.  Kami memilih blok Ezam dan Saari. Awalnya permintaan ditolak. Selama tiga hari kami berpuasa di blok masing masing. Akhirnaya hati Pak Lah dan menantunya terbuka. Rayuan kami diterima. Kami boleh berbuka secara berkumpulan. 

Tapi ada syarat. Ini macam PKPB – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Syarat kami ialah  semua  ikut arahan. Kami akan dibawa ke Blok 4A  sebelum berbuka.  Lepas berbuka wajib pulang ke blok masing masing. Tidak lebih dari jam 9.00 malam kami wajib masuk ke sel.  

Disini saya rakamkan sejarah  - pada bulan puasa  November 2001 untuk pertama kalinya saya dapat bertemu dengan Ustad Badrul dan Lokman Adam. Mereka dikurung dalam Blok 3B yang amat jauh dari Blok4.

Juga dalam bulan puasa inilah  pertama kalinya saya baru dapat mengenali  dan berbual dengan Ustad Badrul dan Lokman Adam. Walau pun  dalam kenyataan media  Ketua Polis Negara Norian Mai  mengatakan bhawa kami ini dalam satu kumpulan sulit. 

Kumpulan Reformis ini dituduh  sedang merancang untuk membuat huru hara. Kami dituduh akan  menggunakan  bom, molotov cocktail dan bola besi untuk menjatuhkan Mahafiraun.

Puasa  ketika dikurung di Kemta   penuh  nikmat dan seronok untuk saya. Bukan nikmat makanan tapi nikmat dapat bertukar pandangan dan mendengar pendapat yang lain tentang ke arah mana  gerakan Reformasi ini akan dihala. 

Dalam bulan puasa tahun 2001 inilah kali pertama saya dapat bertanya secara  jujur tentang pengalaman Ezam sebagai  Setiausaha Politik Anwar Ibrahim. Saya cukup yakin  dan percaya kepada surah dan kejujuran sosok yang bernama Ezam Mat Noor.

Ketika dikurung dalam bulan puasa ini  Ezam  telah menyakinkan kami semua bahawa tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim hanya konspirasi Mahafirauan.
Setiap malam salepas  berbuka puasa ,  lepas sembahyang dan  sesudah makan malam kami akan menggunakan masa yang singkat untuk berbincang.

‘ Kalau Anwar gila nak jadi PM…  Anwar takan lawan  Mahathir….Anwar ikut sahaja apa kata Mahathir…Anwar boleh tunggu…’  Ayat ini saya dengar keluar dari mulut Ezam di Kamunting pada bulan puasa November 2001 di Blok 4A. 

Orang ramai juga sering  mendengar ayat yang sama  dalam ceramah  Ezam Mat Noor.

Pada hari baik bulan baik November 2001 - saya  telah  di yakinkan tentang kejujuran Anwar Ibrahim oleh Setiausha Politiknya. Tentang keimanan dan betapa waraknya sosok yang bernama Anwar Ibrahim. Dalam bulan puasa ini Ezam melupuskn semua was was  dan prasangka saya terhadap sosok yang bernama Anwar Ibrahim. Amin.

Tengah kami berbincag tetiba lampu picit datang  menyuluh. Setiap malam kami akan bertengkar dengan  Cik GU a.k.a  warder. Mereka  akan datang dengan lampu picit sebelum jam 9. Mereka akan meminta  kami  ikut arahan pulang ke blok masing masing.

Inilah tanda bukti budaya berkurung. Kami juga  sama saperti kawasan Pasar Borong Selayang  atau Selangor Mansion. Kami  di Kemta   dipagari kawat berduri. Ada tembok dan ada dinding zinc yang dibaluti oleh kawat berduri.  Kawat berduri  memagari kami bukan kerana Kobid tapi kerana fikrah kami.  

Satu minggu sebelum puasa tamat kami diberitahu   bahawa keluarga kami boleh datang membawa makanan pada pagi raya. Kami juga diberi tahu  bahawa Sembahyang Hari Raya akan diadakan di  kawasan tahanan jenayah.

Kami  mencuba nasib sekali lagi. Kami minta kebenaran  dari Kem Komandan untuk kami berenam bermalam di Blok 4A pada malam raya.  Permintaan kami diluluskan.

Pada petang 15 Disember 2001 Tian Chua  dan saya membawa bantal , kain selimut dan pakaian  kami untuk berpindah semalam ke bilik Ezam dan Saari di Blok 4A.

Pada malam raya itu kami cukup seronok. Esok hari  raya dan kami dapat bermalam bersama-sama kali pertama di Kemta.
Pagi esoknya  Cik Gu sampai dan kami diringi ke  kawasan tahanan banduan.  Kawasan amat luas. Dipagari oleh kebun sayur.  Kali pertama kami sampai  ke sini pada 31 Ogos 2001. Ini waktu Hari Sukan 31 Ogos. 

Dari kawasan ini kami dibawa ke satu bangunan kayu yang menjadi masjid kami. Yang membaca khutubah raya ialah Ustad Kemta. Saya tak ingat apa isi khutubah pada pagi itu. 

Mata saya merayau untuk mengenali  tahanan  dari blok lain.  Dibelakang  lilitan kawat berduri saya tahu ada tahanan  Mujahideen, tahanan Jamiah Islamiah, tahanan Al-maunah  dan tahanan Shiah.  

Selesai sembahyang kami bersalam salaman.   Tahanan politik dan banduan  semua tersenyum gumbira. Hati parah jiwa resah tanpa anak bini dan kaum keluarga dilupakan buat sementara. Kami tak sempat bercakap banyak. Cik Gu pengawal kami ingin bergerak. Mata-mata  terus memerhatikan kami dari jauh untuk memberi laporan kepada Pak Lah.

Dari Masjid Badrul dan Lokman pulang ke Blok 2B. Ezam, Saari dan  saya  ke Blok 4A. Tian Chua menunggu. Kemudian saya dan Tian  pulang ke tempat  asal kami Blok 4B.

Ahad ini kita berhari raya – Raya Kobid..  Bergumbiralah kerana  kita  selesai berpuasa.  Bergumbiralah kita masih selamat dari  Karona. Bergumbiralah kerana  semua ini satu pengalaman.  Hidup ini satu perjalanan. untuk sampai   bukan tujuan. Perjalanan itulah  kebahagian. Amin.  (TT)



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebok minta polis pantau hariraya apa kata pm tm.pm menteri2 menteri besar exco , yg baru dpt jawatan lantikan politik dan segala yg sewaktu denganya bertugas sepanjang bulan shawal ni gantikan polis tentera doktor nurse kakitangan sepital dan yg bertugas dibarisan hadapan sbb gaji n elaun dah dapat kerja belum sibok temasuk hisham aka tt

Tanpa Nama berkata...

masa kau terpaksa solat sunat hari raya tu kau baca apa tt? boleh ke lidah kau lafaz bait bait bahasa arab tu? kesian kat kau. tak patut laa kau disuruh solat raya, itu budaya arab. bukan penganut islam budaya macam kau.

Deenspeck berkata...

Penceritaan yg jujur.

Deenspeck berkata...

Jujur