Khamis, 4 Jun 2020

BENCI ORANG ASING





 BENCI ORANG ASING

Saya sambung kembali perbincangan kita tentang xenophobia . Perkataan Greek ini bermakna tidak suka pada orang asing. Tak suka yang lain – the other - yang bukan orang kita.  Takut pada orang  asing. Perasaan takut ini bertukar menjadi benci terhadap orang asing. Benci ini akhirnya menjadi fahaman anti-orang asing.

Di Malaysia benci kepada orang asing ini bukan satu pekara yang baru. Sikap ini sedia terpendam. Hakikatnya sikap ini telah lama wujud tapi terpedam.

Saya membuka perbincangan sikap tidak suka orang asing ini  kerana  sikap ini sedang terjulur keluar. Sikap ini  terjulur apabila kapal pelarian warga Rohingya cuba mendarat di Langkawi. Media  melaporkan pada 16 April 2020  yang lalu  tentera laut Malaysia dengan bantuan tentera udara  di Langkawi  telah berjaya menghalang kemasukan sebuah kapal Rohingya dengan 200 penumpang. Umum diberitahu bahawa Langkawi  bukan kali pertama  menjadi sasaran kapal pelarian Rohingya datang berlabuh.

Rohingya  ialah warga  Myamar yang kini dihalau keluar dari Rakhine bumi tanah tumpah darah mereka.   Dari data tahun 2016 ada lebih dari 1 juta Rohingya   tinggal di Myamar. Lebih DARI 1.3 juta menjadi orang pelarian di Bangladesh. Seramai 190,000 di Saudi Arabia dan 150,000 di Malaysia.  Data tahun 2018 menunjukkan kini hanya 400,000 yang masih tinggal di Rakhine. 

Rohingya beragama Islam. Manakala  Myamar adalah negara  majoriti Buddhist. Sekali lalu dilihat pertembungan  ini seolah-olah pertembongan tamadun Islam dengan  Buddhist – Clash Of Civilisation – mengikut  istilah garapan Samuel Huntington

Kes kesampaian kapal Rohingya ini membuka keluping kudis di Malaysia. Keluping kudis  tak suka kepada orang asing.  Keluping kudis ini   bernanah kerana dibantu oleh   suasana  perang anti virus Karona.  Imej warga Rohingya berkulit hitam  kurus kering  mata hitam puteh terbelik menakutkan  warga Malaysia. Imej orang pelarian tak cukup makan ini menimbul persoalan  apakah warga Rohingya – orang asing ini - ada  membawa virus Karona.

Virus Karona membawa persoalan.

Sikap benci orang asing ini terbuka mendadak ke persada arus perdana Malaysia. Kapal Rohingya  telah   berjaya melanggar pecah   tembok xenophobia yang selama ini terpendam.    Sikap xenophobia kini melimpah terbuka. 

Justeru saya akan cuba mencari punca dan  memahami asal usul, dari mana dan kenapa sikap xenophobia ini sampai. Apakah betul sikap benci pendatang asing ini bersangkut paut  dengan  virus Karona.

Wajib dihitam putehkan dan digaris merahkan bahawa  sikap benci orang asing ini bukan satu sikap yang hanya dimiliki oleh Bani Melayu. Sikap ini adalah sikap global, sikap sejagat yang dimiliki oleh anak semua  bangsa-bangsa dalam dunia ini.  

Sikap xenophobia ini ditakrif sebagai garis fahaman  idealoji  politik kanan. Dalam politik dunia hari ini  pandangan kanan dan ekstrim kanan sedang membiak, menular dan mengampoh. Media dunia tidak putus-putus melaporkan tentang fahaman kanan  yang sedang rebak menular.

Dunia pada ketika ini sedang berhadapan dan  mengenali tiga tokoh – tiga protoganis dunia yang sedang  menularkan sikap  fahaman kanan ini.

Di India kita ada Perdana Menteri Narendra Modi dari  Bharatiya Janata Party (BJP).  Dari Brazil kita ada Presiden Jair Bolsonaro dari  Social Liberal Party (PSL). Di Amerika Serekat kita ada  Presiden Donald Trump dari Parti Republican (GOP). Tiga watak ini adalah pemegang,  pemilik , penganjur dan pemuka politik fahaman kanan.
Tiga pemimpin ini dijadikan contoh  kerana mereka  pemimpin negara yang besar. Bancian 2019 menunjukkan Brazil memiliki  209 juta penduduk, Amerika dengan 328 juta dan India dengan 1.353 bilion penduduk. Negara-negara besar  ini sedang mengampoh dunia dengan fahaman garis politik kanan. 

Ada lagi negara yang dipimpin oleh garis politik kanan. Austria, Belgium, Cyprus dan Hungary. Manakala disetiap negara Eropah wujud parti  garis kanan dan ekstrem kanan. Di Peranchis ada National Front, di Slovakia dengan Kotleba -  Our Slovakia Party dan di Greece  Golden Dawn parti ekstreme militant kanan. Di German kini  berkembang ideloji kanan penyambung pandangan Hitler melalui  parti  AID – Party Alternatif German. Di Itali ada Lega Nord parti haluan kanan yang extreme.

Hakikatnya disetiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen atau sistem demokrasi undi mengundi kita akan bertemu dengan parti politik yang memperjuangkan  fahaman kanan. 

Ciri-ciri yang memuculkan garis kanan ini adalah sama.  Pertama semangat  wataniah,  semangat orang asal  yang menjurus kepada nasionalisma.   Semangat nasionalisma ini dipasak pula oleh sikap mahukan kestabilan negara,  mengagungkan  kuasa polis dan tentera. Dalam masa yang sama garis kanan ini  amat meluat dan  benci kepada elit politik yang selama ini memiliki kuasa dan mengaut harta kekayaan.

Semangat orang asal atau wataniah ini  amat jelas dalam slogan – Amerika First dan Make America Great Again. Slogan ini berjaya memenangkan Trump. Garis wataniah ini tidak dapat lari dari sikap utamakan rakyat asal – Sarawak untuk Sarawakian atau Malaysia untuk Malaysian.

Manifestasi pandangan dunia fahaman kanan yang paling jelas  ialah  tidak suka kepada  pedatang asing dan imigran.   Anti imigran, dan anti  pelarian perang - tidak suka kepada  orang bukan waris kita ini sedang berlaku dihadapan mata kita.

Di Malaysia iaya bermula dengan kapal Rohingya. Ini diikuti oleh kes kluster  Kobid di Pasar Borong Selayang. Ditakdirkan pasar ini juga wilayah Rohingya. Kemudian diikuti dengan kluster di  Selangor Mansion – juga wilayah imigran. Kemudian berita melaporkan  kluster baru di kem tahanan pendatang haram.  Semua serangan Karona menjurus kepada  pendatang. Pendatang haram dan halal dibaca sebagai sarang Karona.

Kemudian laporan dari Singapura yang  amat memeranjatkan.  Singapura dari wilayah selamat   zon hijau  tetiba menjadi wilayah zon  merah. Lebih dari 2000 didapati positif. Kluster baru ini  datang  dari  perumahan  pendatang buruh asing.

Semenjak Perentah Kawalan Pergerakan diumumkan kita semua merasa gerun terhadap musuh yang tidak dapat dilihat. Virus Karona ini telah menimbulkan rasa  takut bila kita berhadapan dengan sosok yang tidak kita kenali.  Malah dengan kenalan baik pun kita  merasa was was kerana kita tidak tahu Si Polan mana yang telah berjumpa kawan kita ini.

Kita merasa sangsi. Kita was was apakah sosok tercegat berdiri dihadapan kita ini  pembawa virus.  Perasaan takut ini melonjak tinggi  apabila  kita berhadapan dengan warga asing yang bukan  bercorak Melayu. Yang bukan  bercorak Malaysia. Kita merasa takut. Kita  bertambah takut apabila melihat  sosok   hitam kurus  mungkin Mat  Bangla, mungkin  Mat Rohingya atau  mungkin Mat Myamar.   Mungkin sosok ini  duduk di  Kawasan Kawalan Pergerakan Darurat (PKPD) di Selayang, di Selangor Mansion , di Pasar Pudu atau di Chow Kit. Kita menjadi gerun.

Apakah betul orang-orang asing ini pembawa virus?

Jawabanya betul lagi saheh.  Orang asing ini terbukti menjadi penyalur, penular dan pengembang Karona.  Masalah  orang asing membawa virus ini bukan hanya meledak di Selayang, di Pudu, di Selangor Mansion atau di  Singapura. Pekara yang sama juga  berlaku di German. Berlaku di Greece dan di Eropah.

Virus ini menyerang pendatang  yang  halal dan yang  haram. Ianya terjadi   adalah satu pekara yang amat lojik.  Ianya berlaku dan terbukti  berlaku secara saintifik. 

Di North Rhine-Westphalia German  150 dari 200 buruh asing di dapati positif Cobid 19 .Di Baden-Wurttemberg seramai 200 buruh asing juga didapati posiif. Buruh asing  German datang dari Rumania dan Bulgaria. Di Pulau Lesbos dan Athen ratusan pendatang haram dan orang pelarian didapati positif. Mereka ini pendatang haram dari Afrika dan Timur Tengah.

Selayang, Selangor Mansion, Pudu, Singapura, German, Athens – semuanya memiliki watak yang sama. Buruh asing ini duduk berasak-asak.  Sebuah flet kalau di Brickfeild mungkin diduduki antara  15 ke 20 orang. Mereka hidup berhimpit himpit. Flet hanya tempat tidur. Malah bilik ini  boleh mengisi ramai kerana – ada bekerja siang ada kerja malam.  Mereka tidur bertukar ganti.

Pendatang  asing ini duduk dalam wilayah miskin. Atau dalam kem refugee yang sempit tanpa asas kehidupan saperti tandas dan bilik mandi.  

Hakikatnya pendatang haram  pendatang  halal dan buruh asing ini  menjadi kluster Covid 19 bukan kerana mereka orang luar atau kerana mereka  kurus hitam dari Rakhine.  Virus tidak kenal Melayu China atau Bangla. Pendatang asing  diserang  Karona kerana cara hidup mereka amat subur untuk merebakkan dan menularkan  pelbagai bentuk virus dan penyakit.

Apa yang jelas  Karona  telah membuka mata kita untuk  kita berhadapan dengan satu pekara yang selama ini tidak diberi perhatian rapi. Kita bincangkan sambil lewa. 

Hakikatnya kebencian terhadap yang lain  – the other – yang bukan Melayu - yang bukan orang kita  telah sedia ada. Virus Karona hanya aji no moto  dan garam masala untuk menambah sedap kebencian yang sedia wujud.
Adalah fakta yang amat jelas semenjak  pandemic diumumkan oleh Badan  Kesehatan  Dunia (WHO) sikap benci terhadap pendatang asing ini makin melonjak. 

Parti politik garis kanan telah mengambil kesempatan. Langkah penutupan sempadan amat dialu-alukan. Menghalang pendatang haram berlabuh atau  nyuludup masuk menjadi ajenda besar. Polis, tentera  darat dan laut bersiap sedia mengawal sempadan dari ditembusi oleh pendatang haram yan berpotensi membawa  virus Karona.
Virus Karona ini telah membuka pekong xenophobia.  Ini bukan satu yang tidak baik. Untuk saya yang selalu menimbulkan persolan nasional saya mengalu-alukan terbukanya ajenda pendatang haram ini.  Ini bukan kerana saya dari mazhab kanan. Tetapi saya mahu ajenda pendatang ini dibuka luas, dibincang dan dijadikan perbualan harian negara..

Saya mahu anak semua bangsa terusik dengan ajenda pendatang.

Kita tidak boleh  lagi berdolak dalik  mengatakan bahawa  kita mengucapkan  ah lan was ah lan  kepada sesiapa yang ingin datang ke negara kita..  Kita tidak perlu bepura pura  suka warga Afrika tetapi mereka  jangan duduk dikawsan perumahan kita.  Kita suka Bangla tetapi dengan satu syarat mereka tidak dibenarkan merayau-rayau berkain sarong berpegang tangan di kawsan perumahan yang kita duduk. Jika mereka duduk di Selayang atau Chow Kit atau Pudu tak ada masaah. Tapi jangan di Bangsar atau Taman Tun atau di Bukit Tungku.

Saya mencadangkan kita menjadi matador. Kita hadapi lembu asing ini – kita pegang tanduk dan kita patahkan lehernya. Kita wajib memperkasa diri dan jujur  saperti Haji Hadi yang berhujah menolak warga Rohingya masuk ke Malaysia. Menurut Hadi  ada diantara Si Rohingya ini  yang cuba masuk untuk cari makan. 

Kiita wajib memiliki hujah dan pandangan dunia yang cerah dan tuntas. Pandangan dunia yang telah digobek lumat apabila  menghadapi pendatang  halal dan haram. Bahaya pendatang dalam era pasca Kobid. Apa hujahnya? Tunggu minggu hadapan. (TT)


Tiada ulasan: