Sabtu, 8 Ogos 2020

MAHATHIR PARTI BARU







MAHATHIR

PARTI BARU

KAMI sedar Malaysia sudah ada banyak parti politik, terutama dikalangan orang Melayu.

Bukanlah niat kami untuk menambah kepada bilangan yang sudah ada. Tetapi kami menghadapi masalah luar biasa.

Parti politik yang kami tubuh, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan tujuan menjatuh kerajaan kleptokrasi Najib Razak telah dihijack oleh presiden Bersatu.

Sekarang perjuangan parti yang dihijack sudah dialih dari menentang dan menghapuskan kerajaan kleptokrasi kepada bekerjasama dan menghidup semula kerajaan kleptokrasi.

Bahagian yang tidak dapat dihijack masih pegang kepada perjuangan asal.

Bahagian ini tidak akan dicalon oleh bahagian Bersatu yang dihijack dalam PRU15.

Untuk kami teruskan perjuangan asal kami, terpaksalah kami bebas diri atau menjadi ahli parti yang baru.

Adalah diharap ahli biasa yang pilih untuk bersama kami akan menjadi ahli dalam parti baru ini.

Perjuangan kami berasas semangat, bukan duit.

Parti ini akan berasas kepada perjuangan untuk orang Melayu dan Pribumi. Ini kerana parti-parti berasas kepada Melayu dan Pribumi yang wujud hari ini telah menggadai maruah bangsa, agama dan halatuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa.

Di dalam kegilaan mahu kekal berkuasa, perjuangan mereka adalah untuk menjaga kepentingan elit demi memastikan sokongan tidak hilang dan dapat kekal berkuasa.

Parti ini akan bersifat inklusif dan moderat dan akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip.

Dengan ini kami juga akan pastikan yang rakyat Malaysia dari kaum-kaum yang lain juga akan mendapat pembelaan dan layanan yang sewajarnya.

Parti ini juga bertujuan untuk menebus kembali maruah bangsa yang terpalit dengan sifat khianat, menipu, membohong, rasuah dan tamak akibat perbuatan pemimpin parti-parti Melayu yang lain.

Mereka telah menjadikan agama dan bangsa modal untuk mendapatkan sokongan sedangkan tindak tanduk dan perbuatan mereka melanggar ajaran agama dan bertentangan dengan nilai bangsa.

Kami juga mahu kembalikan kehormatan negara sebagai Harimau Asia.

Parti baru yang kami tubuh ini tidak akan terikat dengan mana-mana parti campuran – iaitu tidak bersama Pakatan Harapan dan tidak juga dengan Perikatan Nasional.

Asas perjuangan kami masih dengan menghapus rasuah dan kleptokrasi.

Ahli hendaklah pegang kepada perjuangan ini.

Tidak ada jaminan bagi sesiapa untuk jawatan tertentu dalam parti atau dalam kerajaan.

Ahli dan pegawai parti hendaklah terima dan amal peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan aturan peraturan parti.

Satu Jawatankuasa Disiplin akan ditubuh untuk tentukan undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan. – 7 Ogos, 2020.



SELAMAT

BERJUANG

Tiada ulasan: