Rabu, 16 Disember 2020

DENDAM DAN CINTA

 

DENDAM DAN CINTA 

Hingga ke hari ini aku ini belum berhenti dari mencari dunia yang di luar dunia kita ini.  Dalam pencarian ini aku juga bertanya - apakah benar ada  dunia  lain di luar dunia hakiki yang kita lalui  hari ini.   Ini satu pencarian yang tak berkesudahan. 

Hari ini pandangan dunia  aku  semakin tegar menuju ke arah rasionalis. Kalau di halusi mungkin tidak bertentangan dengan  cabang  mutazilah.  Kalau dizaman Khalifah Al Ma’mun ( 786 – 833 )  anak kepada Khalifah Harun Aminul Rasheed ( 766 - 809) aku akan di ah lan wa sahlan di Baghdad.

Di Baghdad dizaman itu - aku akan sentiasa nyaman  selesa menghirup kopi atau minum  secangkir air anggur sambil  mendengar puisi Abu Nawas (756-814). Jika bernasib baik aku terserempak pula dengan  Abu Nawas sendiri di tebing Sungai Dajlah ditengah kota Baghdad. 

Tapi pembudaayan ketika  aku membesar lahir dari jalur  suku Biduanda. Biduanda membawa makna   Bani Sakai. Ini  menjadikan  perjalanan  hidup aku ini  tidak selurus jambatan Pulau Pinang. Tapi tak sebengkok ular kena pukul. 

Wujudiah aku hari ini   adalah jumlah diri aku   yang terkumpul dari semalam , kelmarin dan hari-hari  itu.  Aku  yang semalam dan kelmarin adalah aku yang  membesar bersama dengan seribu satu macam  makhluk halus.

Semenjak kecil lagi dunia aku dipenuhi oleh cerita-cerita  bomoh , dukun , pawang , hantu dan jembalang.  Pari , orang bunyian , buluh perindu  dan nenek kebayan bersama-sama berganding bahu membesarkan aku. 

Aku di lahirkan di Kampong Tengah Tengkek  Jempol tapi  membesar di Jelebu. 


Ke Jelobak ke Jelobu

Tuai padi tigo tangkai

Kalau  kono komat Jelobo

Tak merano badan merasai

Ini pantun identiti orang Jelebu. Kalau ada warga Jelebu  dari suku apa pun yang tak tahu pantun ini  maka   aku cadangkan kepada Datuk Undang agar keJelebuannya wajib ditarik balik. Amin.

Orang luar selalu bertanya - apa itu komat. Komat itu ialah ilmu pengasih  sakai.   Pantun ini memberi ingatan terutama pada jantan luar yang datang  bertandang ke Jelebu. Awas berhati hati.  Jangan semberono dengan anak gadis atau  Mak Janda di Jelebu.   Awas komat Sakai Jelebu.

Jika terkena ilmu Sakai hidup akan merana. Jika tidak merana badan kita akan  merasai. Aduh ! Merasai ini bermakna kurus kering macam  kelongsong kepompong yang ibunya sudah  terbang menjadi rama-rama. 

Sabenarnya secara jujur aku katakan walau pun aku ini dari jalur mutazilah aku ada memiliki perasaan takut dengan orang asli.  Seharusnya aku tidak takut  kerana  dari segi salasilah aku juga berasal dari  Bani Sakai.  Rasa takut ini  telah ditanamkan ketika aku masih kanak-kanak lagi. 

Apa sahaja yang ditanamkan semasa kita kanak-kanak amat- amat  susah untuk di cabut.  Contohnya :sampai hari ini setiap kali aku lalu di hadapan Batu Caves aku akan teringat ini gua ini asalnya  ialah bahtera  Si Tenggang yang telah menjadi batu.  Bagaimana pasir  mengeras menjadi batu dari pandangan ilmu moden tidak aku dengar ketika Nenek aku bersurah  kesah Si Tenggang.

Rasa takut pada Sakai ini  lahir kerana aku tahu ada perkara yang aku tidak tahu.  Bani Sakai pula tahu ada perkara yang aku tidak tahu.

Di hujung kampung di setiap daerah di Negeri Sembilan  pasti akan ada  kampung orang asli.    Mereka tinggal  di wilayah tepi bukit di gigi hutan di hulu sungai. Ketika aku membesar Sakai  yang  tinggal dihujung kampung sentiasa aku lihat dengan penuh misteri.

Aku masih ingat lagi perkampungan orang asli di Guntur di hujung kampung Tengkek.  Di satu  petang Hasan Panjang telah membawa kawannya Gigah  memboceng naik basikal.  Sambil mengayuh keliling kampung Hasan Panjang telah melaungkan:

‘ Woit...woit...sapa nak nengok Sakai.. sapa nak nengok Sakai....’ Hasan menjaja kawannya di atas basikal.

Gigah orang asli  dari Kampong Guntur  telah bersuara dari belakang basikal, ‘... memang boto den Sakai... nak nengok apo...den memang Sakai ...’ Jawapan jujur dari saorang Sakai.

Hakikatnya hubungan Melayu dengan Orang Asli mesra. Pada  ketika itu Bani  Melayu masih belum menyamar  menjadi Arab. Justeru  agak susah  hendak dibezakan  Melayu dengan orang asli atau  Bani Sakai.

Orang Sakai dihujung kampung akan membawa barangan hutan – rotan, manau dan damar. Ini barang jualan mereka selain dari  durian, petai, jering dan kerdas yang datang bermusim-musim.  

Dari kecil lagi aku telah diberi ingatan jangan sesekali berludah di hadapan Sakai. Ini perbuatan kasar. Bahaya jika  disalah tafsir.  Awas -  beringat akan bahaya  komat  Sakai.

Komat  sakai yang paling ditakuti ialah busung. Siapa terkena busung maka perut akan mengelembung besar dan membawa maut.  Orang kampung  amat takut dengan busung Sakai. Malah orang Melayu ketika  bergaduh atau bertengkar akan terhambur  sumpah menyumpah  menggunakan busung  sebagai ancaman.

‘Mampoos kau kono busung Sakai...’

Tapi bukan semua ilmu Sakai ilmu hitam lagi gelap.  Dari zaman kanak-kanak lagi aku telah mendengar surah tentang buluh perindu dan minyak cenduai.

Dari apa yang aku dengar buluh perindu ini jika dibuat bangsi atau seruling  dan ditiupkan maka si pendengar akan jatuh hati. Tiupan dari buluh perindu ini akan morobek hati Dara yang sedang menanak nasi di dapur.  Tanpa menunggu nasi masak Dara akan bergegas  mencari Uda. 

Tiupan buluh perindu ini lebih hebat pukulannya dari pesanan SMS,  atau panggilan Nokia  atau wajah dari  Instagram.

Buluh jenis apa dan bagaimana seruling  buluh perindu  di buat – hingga ke hari ini aku tidak tahu. Malah  aku tidak yakin yang Silicon Valley akan dapat meniru membuatnya. Keilmuan ini hanya dimiliki oleh   Bani  Sakai. 

Bukan hanya hawa telinga untuk kekasih yang disayangi.  Bani Sakai juga menyediakan minyak cenduai untuk dicium.  Disurahkan minyak pengasih ini jika terusik, jika tercium jika terbau maka hati akan dilamun cinta berahi yang tidak berkesudahan. 

Aduh! Bayangkan jika Sultan Mahmud memiliki sebotol minyak cenduai. Tidak perlu air mata anak  dara. Tidak perlu hati kuman. Tak perlu jambatan emas sebagai hantaran. Setitik minyak cenduai ini akan membawa turun Puteri Gunung Ledang masuk ke dalam kelambu  Sultan Melaka.

Pernah aku dengar bahawa bunga cenduai  ini hidup dipergunungan yang berbatu batu. Bunga ini  tumbuh di celah batu. Ianya tidak mengarah ke matahari tapi  berkembang ke arah bumi. Bunga cenduai ini  amat susah  hendak ditemui. Ianya diperlukan  untuk  menjadi ramuan membuat  minyak pengasih. Disurahkan bunga ini berkembang hanya pada malam bulan purnama.  Bunga yang susah lagi persusahkan.

Awalnya masa kanak-kanak aku hanya  mengenal ayam jantan dan ayam betina. Sesudah  mengenal ayam  aku mula mengenal kucing jantan dan kucing betina. Rupa-rupanya dalam hidup ini ada jantan dan betina. Antara jantan dengan betina ini ada rahsia yang aku sendiri sampai hari ini tidak tahu.

Masuk sekolah darjah satu   kesedaran jantan betina ini mula bercabang.  Aku mula mencari rahsia jantan dan rahsia betina. Alangkah indahnya  hidup ini  jika aku  memiliki   buluh perindu atau  minyak cenduai.  Akan aku pinang anak  Tok Penghulu yang satu kelas dengan aku. Aku akan tahu rahsia jantan dan rahsia betina.  Aku akan berSultan di mata dan berRaja di katil. Tepok dada tanya seluar.

Sayangnya buluh perindu dan minyak cenduai hanya dimiliki oleh Bani Sakai. Cinta berahi aku tinggal angan-angan.

Cinta kasih sayang  jangan di permain-mainkan.   Aku selalu menulis  bahawa cinta yang agung itu adalah cinta yang gagal.   Wajib aku jelaskan disini.  Cinta itu menjadi agung kerana cinta  itu dihalang. Dua kekasih yang bercinta ini dihalang dan  dipisahkan. 

Aku telah merakamkan cinta Kamal dengan Saddar dihalang kerana Kamal Sunni dan Saddar Shia.  Usman Awang telah menulis bagaimana cinta Uda dan Dara terhalang kerana Uda budak kampung dan Dara anak tuan tanah.  Shakespears menerangkan cinta Romeo dan Juliet dihalang kerana mereka dari puak dan suku yang berlainan. Cinta Ali dan Nino  mengikut Korban Said dihalang kerana Ali Muslim  dan Nino Kristian.  

Semua ini cinta suci. Cinta mereka merentas kelas , merentas agama,  merentas  suku dan puak. Justeru  bila cinta mereka digagalkan maka ianya menjadi cinta agung.

Awas! Ada satu lagi kesah cinta. Ini kesah cinta ditolak.  Cinta yang tidak diterima. Cinta yang tidak berbalas.  Aku adalah saksi kepada cinta yang ditolak dengan penuh dendam.

Kesah cinta ini  berlaku di kampung tanah pusaka aku di Kampong Chenor. Dari fakta sejarah -  Datuk Manaf  ayah kepada Rais   adalah sosok yang membuka kampung ini. Datuk aku ini  berasal dari Chenor Pahang. Apabila dia membuka  kawasan baru ini dia memanggil nama kampung asalnya. Kemudian dia menjemput adik beradik sepupu sepapatnya datang ke Kampung Chenor yang baru dibuka. Maka  di  Tanah Melayu ada dua Chenor – di Jelebu dan di Temerloh Pahang. 

Seingat aku  sebelum aku masuk sekolah lagi – setiap kali aku datang ke  Chenor aku akan terjumpa  sosok bernama Alias. Ketika itu umur Alias  mungkin baru masuk dua  puluhan. Jantan bujang yang  segak. Alias nama penuhnya. Kami budak kampung panggil dia Lieh. 

Lieh ini sosok yang istimewa untuk Kampung Chenor.  Kampong kami tidak besar -  tak sampai 20 buah rumah. Jadi semua orang Chenor kenal dengan Lieh. Orang luar yang  tak pernah  bertandang ke Kampung Chenor akan terperanjat apabila melihat  Alias.

Lieh kotor  dan comot.  Rambutnya tidak panjang tapi kusut masai.  Biasanya dia memakai seluar pendek dengan  kemeja lengan pendek. Semua yang dipakai  kusam dan kotor. Ini kerana Lieh  tidur di bawah pokok manggis dalam belukar bunga keladi di tepi rumah Kak Siah – kakak kepada Alias. 

Aku tahu tempat tidur Lieh. Sesekali bila aku melintas  ke rumah Kak Siah aku menjengok ke bawah pokok manggis.  Saja menghulur kepala.  Kadang Lieh ada.  Selalunya Lieh tak ada.  Entah ke mana Lieh menghilang. Bila hujan mungkin dia tidur di bawah rumah Kak Siah.

Sekali pandang pasti  ramai akan menganggap Lieh  ini orang gila.  Dalam istilah moden Alias ini   dipanggil ‘village idiot’ – budak kampung yang bodoh. Di setiap kampung kita akan bertemu dengan watak  seperti Alias ini.

Lieh dari Kampung Chenor untuk aku bukan orang gila.  Bukan juga budak bodoh.  Aku masih ingat lagi  sejelas malam bulan purnama di rumah Mak Long aku. Kami  sekeluarga bertandang ke rumah Mak Long. Kami  sedang   menjamu selera makan makan. Tertiba Mak Long aku bersuara.

‘ Lieh... naik.. naik... sini..’

Mak Long aku mengisi nasi lauk dan sayur ke dalam satu pinggan. Mak Long akan membuka pintu.  Dan aku nampak tangan Lieh mengambil pinggan. Kemudian  Lieh menghilang dalam gelap.

Lieh memang kerap datang minta makan dari Mak Long aku. Aku rasa Lieh tahu bila rumah Mak Long bising  ertinya ramai tamu maknanya ada rezeki. 

Alias ada abang namanya Rosli yang bekerja sebagai anggota polis.  Bila Abang Rosli pulang ke kampung maka Alias akan dimandikan. Bersih  bersabun. Rambut dicukur. Alias juga   mendapat pakaian baru. 

Aku pernah ternampak Alias yang baru lepas mandi. Sah Alias   lelaki kacak. Tapi amat susah hendak melihat mukanya dengan penuh. Lieh akan setiasa menutup mukanya dengan tangan. Alias jantan muda  berambut botak yang baru lepas mandi ini amat  pemalu. Lieh akan  sentiasa menyorokkan mukanya.

Kami kanak-kanak  menerima Alias sebagai  warga asal kampung kami. Kami tidak pernah  mengganggu Lieh. Tidak anggap Lieh  gila. Malah  kami  budak budak kampung Chenor  tidak pernah takut dengan Alias.

Bila aku masuk sekolah maka  aku terdengar lagi kesah kesah  si Alias ini.   Dari apa yang aku dengar pada satu masa dahulu Alias ini dilatih untuk menjadi guru sekolah. Jika aku tidak silap Alias belajar  di maktab perguruan  di Kuala Lumpur.

Dari  surah  yang aku dengar Alias jantan kacak ini  telah diminati oleh seorang perempuan.  Dari apa yang aku dengar perempuan  ini janda. Perempuan  ini juga  pemilik rumah tempat Alias menyewa bilik ketika belajar. 

Apa yang saheh yang aku dengar ialah  cinta perempuan ini telah ditolak oleh Alias.

Mengikut surah yang aku dengar Si Perempuan ini  telah menggunakan ilmu  Sakai.  Alias telah diberi makan hati kongkang. Ilmu buatan  orang ini telah  menjadikan  Alias berperangai seperti kongkang. Kongkang binatang pemalu di siang  hari. Alias juga malu dan sentiasa menutup  muka.

Pasti Alias telah berubat. Tapi dari apa yang aku tahu  ilmu sakai ini gagal dikalahkan.

Hari berjalan. Zaman beredar.  Keluarga kami mendirikan rumah kami di sebelah rumah Kak Siah  - kakak kepada Alias dan Rosli. Kami menjadi jiran sebelah nyebelah. 

Ketika aku belajar di Kuala Kangsar bila pulang bercuti aku selalu ternampak Leih. Ketika aku di universiti Malaya aku amat jarang pulang ke  Kampung Chenor.  Jarang aku ternampak Lieh. Pada tahun 1974 aku menghilangkan diri.

Dua puluh  tahun kemudian aku pulang ke Kampung Chenor. Aku ingat lagi sambutan saudara mara , kawan kawan dan kenalan. Rumah aku berkenduri pada hari aku sampai. Belut pulang ke lumpur. Isham pulang ke  Kampung Chenor.

Tiga hari  sesudah aku  pulang ke  Kampung aku ditahan di bawah ISA selama dua minggu.

Bila kes aku  selesai dengan Kementerian Dalam Negeri  aku menjengok Kampung Chenor. Lalu aku bertanya kepada adik aku Anis Rais.

‘Lieh... kek mano ... tak nampak..’ Aku selamba bertanya.

‘ Acik...Lieh  dah mati Cik... maso mati dio muntah muntah ... dio muntah hati kongkang...’ Adik aku memberi penjelasan yang aku terima sebagai  fakta pencarian  aku  terhadap dunia yang di luar  dunia kita.

Esoknya aku menjengok rumah jiran. Pokok manggis dimana Alias tidur telah tidak ada lagi. Hutan bunga keladi pun telah tidak wujud.

Aku masih lagi mencari dunia di luar dunia ini.  Apa yang aku fahami sekarang ia lah cinta dan dendam ini garis pemisahnya  amat tipis. Mana cinta mana sayang mana benci mana dendam - semuanya ikat berikat.

Mungkin buluh perindu dan minyak cenduai dapat meleraikan. 

EPILOK

Disatu malam ditakdirkan saekor kongkang memanjat tali leterik disebelah rumah kampong kami.  Tiang leterik ini kami goyang. Kongkang ini jatuh dan aku tangkap.

Wow.Memang cantik binatang kongkang ini. Kakinya bergetah. Bulunya  tebal macam baldu yang amat lembut.

Dua hari kemudian aku lepaskan kongkang ini  ke dalam hutan Genting Perah.

Bila aku pulang ke  Kuala Lumpur aku buka cerita bagaimana aku berjumpa kongkang.

‘ Mana.. mana kongkang itu... woit...susah nak dapat..Sakai selalu cari...mahal kalau dijual untuk buat ubat...’   Kata-kata dari  kenalan baru yang tak faham apa makna kongkang dalam hidup aku.   (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL 
MAMAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2020/12/16/dendam-cinta/


3 ulasan:

capt salai berkata...

Den ghaso kalao kau bg abg non mkn ati kongkang sekilo pun bolom tontu dio jd mcm lieh..kulit muko dio toba mcm kulit..ah maleh la den nk ckp kulit apo..ekau pn tau

panglimo potaseh berkata...

Timo kasey tt ..akhirnye rahasio alam tobongka ..cinto potamo tt berakhir dongan kematiang ..suchey boto cinto kau ..sampai ari ni tak kawing. Bobezo dgn Abam yang tau nutoh jo walau pong dah ado binik.

Unknown berkata...

Zaman sekolah dulu aku ada sorang kawan.. budak pendiam hensem blaja pun pandai pastu anak orang kaya plak.. cukup pakej. Lpas spm dia masuk kolej buat persediaan untuk gi obersi. Setahun kat kolej mara banting tiba tiba kawan kawan duk becerita dia kene hantar balik sebab sakit. Dia jadi tak becakap dengan orang asyik mengelamun kat tepi dinding.. berminggu minggu duk macam tu. katanya ada sorang awek dah bagi guna guna kat dia. Bila dah wat balik scan punya scan rupanya bukan sebab guna guna tapi penangan pil kuda...