Rabu, 30 Disember 2020

KAHWIN NAHU TANDA DAN MAKNA

 

KAHWIN 

NAHU TANDA

 DAN MAKNA


Satu ketika  dahulu aku  selalu berjalan di permatang ini. Satu ketika dulu aku   selalu berjalan  di lorong ini. Satu ketika dulu aku selalu merentas di denai ini. Hari ini aku kembali ke  permatang, ke denai dan ke lorong yang sama.   Rumput telah melalang. Belukar telah menghutan. Lorong telah terkambus.  Yang  ada pada aku hanya ingat ingatan.

Ingatan aku masih segar  tentang kenduri kahwin di kampung. Kenapa tidak – ketika aku membesar kenduri kahwin adalah hari dan  tarikh yang menjadi tumpuan.

Aku telah  menulis  tentang makna sawah dan kahwin. Tentang adat  kahwin di kampung aku.  Tentang bagaimana Uda bertemu Dara. 

Adat sepanjang jalan

Cupak sepanjang betung

Adat periuk berkerak

Adat lesung berdekak

Adat di isi

Lembaga di tuang


Hidup di kandung adat

Mati di kandung tanah

Indah kata-kata tentang adat yang ditinggalkan oleh datuk nenek moyang kita. Pemerhatian dan  pengumpulan pengalaman mereka kini jadi rujukan kita. Tapi jangan lupa:

Adat pasang berturun naik.

Lain padang lain belalang

Sekali air bah

Sekali pasir berubah

Semuanya berubah.  Semuanya beralih. Yang tetap hanya perubahan. Dulu, kelmarin  dan semalam tidak sama dengan  hari ini. Hari ini yang akan menjadi esok juga  tak akan serupa dengan minggu depan. Minggu depan tak serupa dengan bulan depan. Tahun ini mustahil akan sama dengan tahun depan.  Inilah hakikat perjalanan hidup.

Awas – bila aku menulis ini   bukan aku terperangkap dengan semalam.  Jangan silap faham.  Semalam yang  telah berlepas  adalah semalam yang telah berlalu. Apa  yang aku tulis ini ialah semalam yang membawa aku ke hari  ini. Tanpa semalam tanpa kelmarin tanpa tahun lalu   aku tidak akan sampai ke sini untuk menjadi  aku yang menggarap tulisan ini.

Lalu ingatan aku kembali ke majlis perkahwinan sepupu aku : Zainon Binti Hitam dengan Khalid bin Oteng. Ini berlaku ketika aku di sekolah rendah.

Kak Cik Ainon  satu satunya anak perempuan kepada Mak Mok aku. Mak Mok aku ialah  kakak  kepada emak aku. Suami Mak Mok panggil  Hitam aku panggil  Pak Rek. Orang kampung mengangkat  dia menjadi Tok Ompek  - kepala kampung di Kampung Tengah. 

Bila Kak Cik aku nak kahwin – Mk Mok nak berolek – kerana anak perempuan  hanya seorang maka kenduri diatur  seperti  Mak Mok dan Pak Rek Itam aku hanya ada anak seorang walhal mereka ada dua lagi anak lelaki – Kassim dan Zakaria.

Bakal suaminya Khalid – orang kampung  panggil Udo Roled.  Kami sekampung.  Melintasi dua rumah dari pagar rumah aku ialah rumah Udo Roled.  Dekat sekali rumah kami.  Malah sesekali  aku  akan datang ‘mencuri’ mandi di pergi Tok Oteng.  Mencuri mandi ini adalah perbuatan yang amat radikal ketika aku berumur empat tahun. Hebat aku ketika itu kerana  berani  masuk  mencuri mandi di perigi orang. 

Perigi  Tok Oteng ini menarik kerana  agak luas – macam kolam kecil. Airnya jernih dan mata airnya besar. Airnya  perigi ini sentiasa melimpah keluar menjadi anak air menuju ke jinjang sawah.  Maka  amat senang aku  mencebok  mandi dengan  tempurung kelapa. Perigi rumah  aku agak dalam. Perlu  ada  timba yang bertali.

Tapi aku juga wajib berawas ketika masuk ke perkarangan rumah Tok Oteng. Ini kerana Tok Oteng  ada memilihara saekor berok.  Ini berok pencen. Dulu masa muda  berok ini bekerja memanjat kelapa. Sekarang duduk berehat. Dalam Kampung Tengah  semua orang  tahu  Berok Tok Oteng. Berok ini   adalah sebahagian dari lejen kampung kami.

Aku pernah ternampak dua biji telor berok ini terjuntai besar. Buntutnya merah. Berok  ini dilihat gagah  sado terikat dengan rantai  besi di batang buluh yang  disandarkan ke pokok manggis. Kalau mengikut  budaya berok maka Berok Tok Oteng telah menjadi Berok Tunggal. Kalau dia hidup meliar berok Tok Oteng ini pasti  menjadi pemimpin.

Untuk budak-budak Kampung Tengah  Berok Tok Oteng memang  satu tarikan.  Setiap kali aku melintasi depan rumah Tok Oteng aku akan menjengok  di bawah pokok manggis. Aku melihat  berok ini dengan  perasaan berani dan perasaan takut. 

Ada satu petang  berita  tersebar  tentang Berok Tok Oteng terlepas bebas.  Berok Tok Oteng putus rantai dan merayau dalam kampung. 

Malah ibu ayah  dalam Kampung Tengah  kalau nak menakutkan anak anak  agar  jangan bermain jauh-jauh akan menggunakan Berok Tok Oteng sebagai sebab.

‘ Jago jago....borok Tok Oteng.. putus rantai terlopeh lari .... naik ke rumah..’ 

Aduh! Takut kepada berok putus tali adalah  takut yang paling menakutkan ketika aku membesar sebelum masuk ke sekolah.  Takut jenis ini  ada pada aku sebelum aku pindah ke Jelebu. Sebelum aku  dapat melihat pekan, lampu leterik dan kereta. Ini sebelum aku ternampak  Bengali yang berserban dan berjanggut. Sebelum  aku tahu apa itu Rumah Pasung.  Sebelum aku tahu apa itu Mata-mata. 

Ketika membesar dunia aku hanya ada satu bahaya besar yang boleh mengancam aku di kampung :  Berok Tok Oteng  yang putus rantai.

Bila Kak Cik Ainon aku  hendak berkahwin dengan Uda Roled   aku jadi gembira. Aku gembira kerana Berok  Tok Oteng ini akan menjadi  suku sakat kaum kerabat keluarga  aku. Ini lojik aku ketika itu. Amin.

Dua  minggu   sebelum hari perkahwinan   di rumah Mak Mok  ada pesta kacau mengacau. Ini hari membuat  dodol dan kuih wajid. Kuih wajid  yang telah dimasak akan dibungkus dalam upeh pinang. Penganan dodol pula  akan dimasukkan ke dalam  tempurung  kelapa yang dicantumkan kembali  untuk menjadi sebiji kelapa.  Dua kuih Melayu ini amat penting dalam upacara selepas kahwin.

Tiga hari  sebelum kenduri kahwin ramai ahli keluarga  telah datang berkumpul di rumah Mak Mok.  Keluarga terapat sepupu sepapat  semua datang. Ada yang telah datang  lebih awal. Membantu apa yang boleh dibantu. Membuat apa yang boleh dibuat.

Dua hari  sebelum  kenduri berita buruk sampai. Lembu yang nak disembelih masih belum dapat ditangkap.  Orang kampung telah gagal menjerat lembu ini.  Pak Rek aku memilihara banyak lembu. Lembu-lembu ini dilepaskan hidup liar dalam Hutan Kering. Ini  wilayah  tanah kebun getah yang dimiliki oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. 

‘ Lombu  duduk dalam tanah  gotah kobon rajo..’

Tanah raja ini agak jauh dari kawasan sawah.  Lembu dalam hutan ini bukan hanya ada satu dua pemilik. Banyak orang kampung melepaskan lembu di sini. Lembu-lembu ini hidup liar tidak berkandang.

‘ Ini tanah rajo kito...’

Bila lembu  jantan itu gagal ditangkap maka keputusan dibuat. Lembu ini akan ditembak untuk disembelih. Pak Rek aku sebagai Tok Ompek ada memiliki senapang. Maka sehari sebelum  kenduri lembu ini ditembak. Aku tidak melihat apa yang berlaku di Hutan Kering. Hanya  peha  dan daging yang telah dikuliti dibawa pulang untuk dimasak.

Malam sebelum  kahwin ialah malam berinai. Kak Cik  Ainon diinaikan  jari tangan dan jari kaki. Malah ketika malam berinai ini akan ramai anak anak  dara jiran tetangga yang lain akan berinai sama. Ada juga Mak Cik dan Kakak berinai sama untuk merayakan bakal pengantin. Untuk anak dara mereka berinai sambil menyimpan harapan  moga-moga tahun depan mereka pula akan di inaikan.  

Di pagi hari  kahwin  Mak Andam telah datang awal. Dari surah yang aku dengar  Mak Adam ini memiliki ‘ ilmu dalam’  yang akan memaniskan muka Kak Cik aku. Dia memberi Kak Cik aku makan sirih pemanis yang telah  ‘di ayat’  untuk menambahkan seri muka. 

Rumah Mak Mok aku tidak besar. Rumah  tradisional Negeri Sembilan. Di anjung dipasang  pelamin. Pengantin tidak  duduk atas kerusi tapi atas  tilam pandak.  Disini juga akad nikah akan dijalankan. 

Di tepi halaman rumah ada satu lagi pelamin. Buluh, daun kelapa dan  bunga kertas yang telah dianyam mengindahkan pelamin agar    dilihat cantik. Dua kerusi rotan tersedia untuk pengantin.

Di anjung ini juga tempat tamu lelaki, di tengah rumah dan di dapur tempat tamu perempuan. Orang lelaki yang lain duduk di bawah rumah di balai atau di penanggah.

Ingatan aku masih cerah. Aku ternampak hadiah yang dibawa oleh jiran tetangga untuk Kak Cik Ainon aku. Beberapa gemal padi.  Dua pasang ayam jantan  dan betina yang ekornya telah dipotong.   Beberapa biji kelapa. Ada dua  butir kelapa yang telah bercambah. Semuanya diletakan di tepi tangga. 

Ketika itu aku tidak faham akan tanda dan makna hadiah -hadiah ini. Sekarang aku sedar bahawa inilah  nahu dan bahasa pengucapan harapan dan doa orang kampung kepada pengantin yang akan memulakan penghidupan baru.  Kelapa    untuk ditanam. Padi untuk disemai. Dan ayam untuk diternak. Aduh! Indahnya budi bahasa  ketika itu.

Kemudian aku terdengar bunyi  tetawak, kompang dan rebana di pukul.  Rombongan Pak Uda Roled datang  dari kampung ilir. Ramai tamu yang  datang  aku  kenal. Semua jiran tetangga. Aku juga tamu yang aku tak pernah lihat mungkin jiran dari kampung lain.

Uda Roled naik ke  rumah. Aku ingat lagi Uda Roled memakai Baju Melayu biru muda, berkain samping  songket hitam , siap dengan  tanjak dan keris.  Kak Cik Ainon aku pun dengan kebaya labuh biru. Rambut telah didandan cantik.  Muka berbedak bergincu.  Kain selendang berlingkar di bahu.

Kak Cik aku duduk berselimpoh di rumah tengah  di sebelah  katil pengantin.  Dia dikipas oleh Mak Andam.  Kemudian Kak Cik aku ditanya setuju menerima Uda Roled atau tidak sebagai suami.  Pastilah bersetuju kerana sesudah  mendengar jawapan  dari pengantin perempuan barulah upacara ijab kabul di jalankan. Pak Rek aku menjadi wali. Aku tak dengar dan tak melihat semua upacara ini kerana aku di bawah rumah. Amin

Kemudian   jamuan makan bermula.  Kami budak dan kanak-kanak duduk bersila di atas tikar mengkuang.  Kami diberi makan lebih awal  sedikit  dari  orang  dewasa. 

Kenduri kahwin memang hari istimewa. Ada gulai ayam. Ada gulai itik. Ada gulai lembu. Untuk sayur ada gulai labu. Untuk aku selain dari gulai daging - yang paling menarik ialah gulai lemak umbut kelapa  muda. Inilah menu  jamuan makan  yang aku ingati bila ada  kenduri kahwin di kampung.   Masak lemak gulai umbut memang tidak pernah aku lupakan. Bon appetit – selamat makan.

Selesai  jamuan makan kedua pengantin akan dibawa turun ke bawah untuk bersanding. Ketika bersanding   upacara menepong tawar dijalankan.


Renjis renjis dipilis

Ditepungi  di tawar

Beras kunyit ditabur

Disiram air mawar

Uda Roled dan Kak Cik Ainon duduk diatas kerusi rotan.  Kaum keluarga  dan para tamu berdiri  mengelilingi hadapan pelamin.   Saudara  yang rapat – Mak saudara dan Bapak saudara  akan merenjis bunga air mawar dan tepong tawar. 

Duduk muda sejoli

Atas pelamin berseri

Dihias intan baiduri

Sebagai raja sehari


Lepas duduk bersanding

Duduk rapat berganding 

Salam salam keliling 

Sambil mata menjeling

Sebelum  bersalaman ada satu lagi upacara dijalankan. Ini upacara bersilat.  Dalam setiap kampung pasti ada tukang silat yang  hebat dan diminati ramai. Ketika ini juga anak anak muda kampung akan diminta masuk ke dalam gelanggang untuk bersilat sambil menunjukkan bakat.  Ini bersilat bersendirian. Kadang kala ada yang berpasangan.

Ketika  aku ralit mengenang  kembali  upacara   menepung tawar dan bersilat  aku kini sedar bahawa apa yang sedang   aku saksikan di Kampung Tengah 60 tahun dahulu  kini dari Paris dan London  perkara ini ditakrif  sebagai  ‘performing art ‘ atau seni persembahan. 

Untuk aku pencak silat adalah budaya asli Melayu. Bukan bersilat untuk bergaduh tapi  membuat persembahan dalam kenduri kahwin. Untuk kami budak budak kampung selain dari makanan enak  bersilat juga menjadi tarikan dalam kenduri kahwin.

Pada tahun 1968  aku pernah belajar bersilat dari  Tok Guru Basir dari Kampung Gagu. Sekolah aku telah diminta oleh Tok Penghulu menghantar satu pasukan  silat untuk mengambil bahagian dalam upacara Pertabalan Datuk Undang Jelebu yang baru dilantik. 

Aku masih ingat pada  malam pertama sebelum kami diajar membuka langkah   Tok Guru  Basir telah membakar  kemenyan.  Ini upacara membuka gelanggang di tepi tanah lapang di sebelah bagunan sekolah kami.

Aku juga masih ingat lagi  satu malam upacara  bersemah dijalankan.  

Beberapa hari sesudah   mula belajar secara tidak di sengaja kaki aku telah berdarah tertikam pisau yang kami gunakan untuk berlatih. Maka  Tok Guru memberhentikan  kelas. Esoknya  dia membawa seekor ayam jantan. Kami  - lapan anak murid yang belajar bersilat diminta  berdiri  rapat membuat bulatan.  Tok Guru Basir menyembelih ayam jantan ini kemudian menitiskan darah ke atas kaki kami. 

‘ Ado pulak orang mintak darah.. kito kono bagi dio  darah...’ Tok Guru Basir memberi penerangan apa maknanya upacara bersemah yang telah kami jalankan.

Ketika Kak Cik Ainon aku kahwin aku belum belajar bersilat lagi. Jadi aku  hanya menjadi penonton.  Aku ingat lagi petang itu tukang silat  yang paling diminati oleh orang kampung ialah Pak Cik Amoi. Rumah dia di sebelah rumah aku. Pak Cik Amoi ini  bersilat dengan bunga-bunga dan pecahan silat yang amat menarik. 

Lepas  upacara bersilat pengantin dibawa naik ke rumah. Majlis  nikah kahwin  telah langsung.   Jemputan beransur pulang. Sanak saudara bersalaman.  Semua  tamu  yang datang mendapat bunga telor untuk dibawa pulang. Bunga telor adalah tanda resmi kenduri kahwin.

Tapi Mak Mok aku masih ada kerja lagi. Hakikatnya adat menerima  menantu ini bukan enteng.

Seminggu kemudian akan ada kenduri kecil. Ayam akan disembelih lagi. Doa akan dibaca. Ini upacara berbesan. Kenduri berbesan  dijalankan di rumah pengantin perempuan.  

Dalam Adat Perpatih   Pengantin  Lelaki  menjadi ‘orang semenda’ – pendatang masuk ke   dalam keluarga perempuan. Maka berbesan  ini ialah  ‘ucapan  selamat Tok Oteng  dan Mak Oteng kepada anak lelakinya Uda Roled yang akan   menyemenda dan  terus menetap  di rumah Mak Mok aku.   Kenduri berbesan ini amat  itim. Ini pengikatan  keluarga  melalui perkahwinan. 

Untuk aku keluarga baru ini  termasuklah   Berok Tok Oteng yang terikat sama.

Beberapa hari kemudian ada lagi satu upacara. Upacara akhir ini dipanggil ‘menyembah’ .  Dalam adat Negeri Sembilan si lelaki yang menjadi orang  semenda dalam  Adat Perpatih akan dipekenalkan  kepada sanak saudara sebelah perempuan.  Memperkenalkan orang semenda ini  dipanggil istiadat menyembah.

Pengantin baru akan bertandang dari rumah ke rumah kaum kerabat – Mak Saudara dan Pak Saudara  sebelah pihak pengantin perempuan.

Inilah ketikanya kuih wajid  dan dodol  akan memainkan peranan.  Kak Cik Ainon dan Uda Roled akan membawa kuih ini sebagai buah tangan.  Buah tangan ini akan mendapat balasan dalam bentuk duit  atau hadiah. Amin

EPILOK

Aku pulang ke  Tanah Melayu satelah dua puluh tahun berkelana. Kawan  aku Mizuan -  dari zaman Universiti Malaya  -   datang dengan kereta mengambil aku dari lapangan terbang Subang untuk membawa aku  pulang ke  Kampung Chenor Jelebu.

Aku kembali melintasi Bukit Tangga. Aku kembali melihat Jeram Toi. Di kaki  Bukit Tangga  aku terperanjat kerana  lembah sawah  Jelebu telah kering. Sawah padi di setiap kampung yang aku lalui telah lesap.

Tanah sawah telah membelukar. Jelebu yang dulunya dihijaukan dan dikuningkan oleh padi kini tidak wujud lagi.  Sungai yang  penuh dengan air  dahulu telah cetek berpasir. Jauh di bukit aku ternampak hutan dara Jelebu telah ditarah.

Beberapa bulan  satelah aku mengenap di Kuala Lumpur aku mendapat jemputan kenduri kahwin.  Kenduri kahwin pertama  yang aku hadiri memeranjat aku.  Jamuan makan menggunakan katering.  Budaya gotong royong telah lenyap. 

Semua menjadi pelik lagi memelikkan kerana aku tidak kenal  siapakah gerangan orang  yang duduk berhadapan di meja aku.  

Aku hanya datang untuk makan. Tidak lebih dari itu. Bertepung tawar dan bersilat tidak aku temui lagi. Bunga telor telah berganti dengan macam macam. 

Suasana bertambah pelik bila aku ternampak  di YouTube  ada  Cik Gu Moral yang cuba melarang adat bersanding. Cik Gu Moral ini tidak faham tanda, nahu, bahasa dan makna  ritual persandingan.  Cik Gu moral  mahu Melayu jadi Arab. Mahu mempadang pasirkan bumi tropikal. Kami Melayu bukan Arab.

Bila sawah diganti dengan sawit dan sawit dikerjakan  oleh Mat Indon atau Mat Bangla maka gotong royong  digantikan  dengan katering. Untuk aku bila Melayu hilang sawah hilang gotong royong maka hilanglah Melayunya. (TT)


TULISAN INI JUGA
MUNCUL DALAM PORTAL
 MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2020/12/30/tanda-dan-makna-perkahwinan/



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hati² berbasikal dilorong² dijalanraya, kelak terperosok dalam lobang tiada siapa peduli, lainlah kalau tahap menteri siap ada puak minta maaf lagi.kahkahlahkah, yang mati dan cedera gara² jalanraya rosak selama ini nak buat apa.lawaklah

Tanpa Nama berkata...

Dah semua orang nak jadi minah karan kerja kilang
TT pon dan lari ke ingeris
Budak budak pon dah ta nak main selut
Sapa yg nak diharapkan kerjakan sawah
Impot bangla la buat kebun sawit