Khamis, 3 Disember 2020

 


PUKUL TALIPON

019-261-59-99

RAKYAT

TLONG RAKYAT

Kesihatan mental musim pandemik 

“GILA”, “senteng”, “biul” dan “sewel”, ini adalah kata-kata yang sering dilemparkan kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Kata-kata sebegini sebenarnya menyukarkan mereka yang menghadapi masalah mental untuk mendapatkan bantuan daripada pihak profesional.

Sedangkan, masalah kesihatan mental telah ditakrifkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai “keadaan kesejahteraan yang mana individu menyedari keupayaan sendiri, dapat mengatasi tekanan normal kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat, dan mampu memberi sumbagan kepada komuniti”.

Masalah mental merupakan isu yang semakin membimbangkan. Lebih membimbangkan apabila kajian menunjukkan pada tahun 2020, masalah kesihatan mental merupakan masalah kedua terbesar yang akan membunuh rakyat Malaysia selepas penyakit jantung dan kini kita sudah berada di penghujung tahun 2020.

Menurut Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), CP Ramli Din, secara purata lebih 30 orang yang membunuh diri dalam sebulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, sejak 18 Mac sehingga 30 Oktober 2020 dengan 266 kes keseluruhan.

Tambah beliau lagi, 78 peratus dicatatkan dalam tindakan membunuh diri adalah lelaki manakala wanita mencatatkan sebanyak 22 peratus. Jumlah data yang dikeluarkan ini membuktikan bahawa masalah kesihatan mental semakin serius dan perlu dibendung segera.

Keadaan pandemik yang masih belum kelihatan penghujungnya boleh menjadi faktor terjejasnya kesihatan mental seseorang seperti kehilangan pekerjaan, terputus sumber rezeki, masalah keluarga di rumah dan masalah kewangan.

Akibat daripada penularan wabak Covid-19, seramai 800,000 orang hilang pekerjaan dan jumlahnya dijangka akan meningkat. Menurut kajian yang dijalankan oleh EMIR Research, sebanyak 85 peratus responden menyatakan kebimbangan hilang pekerjaan akibat daripada wabak Covid-19.

Antara simptom yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah apabila rutin harian mereka terjejas untuk jangka masa yang agak panjang. Walau bagaimanapun, perkara ini boleh dikawal jika tindakan yang perlu dapat dilakukan dengan segera.

Justeru itu, penting untuk seseorang yang mengalami atau merasakan dirinya mengalami masalah kesihatan mental untuk mendapatkan pertolongan daripada pihak profesional dengan segera.

Sepanjang pandemik ini, terdapat beberapa agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah menawarkan perkhidmatan mereka bagi membantu golongan yang terjejas akibat daripada Covid-19.

Talian Sokongan Psikososial KKM diwujudkan bersama MERCY dan agensi-agensi lain untuk menangani masalah kesihatan mental berkaitan pandemik Covid-19. Antara agensi-agensi yang terlibat adalah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Talian Kasih juga telah diwujudkan oleh KPWKM bagi membantu mereka yang mengalami masalah tersebut dan untuk memberikan sokongan psikologi kepada mereka.Telekaunseling ini boleh dicapai melalui nombor Talian Kasih iaitu 15999 atau Whatsapp Talian Kasih, 019-2615999 dan beroperasi selama 24 jam sehari.

Isu dan masalah kesihatan mental seharusnya diambil berat oleh semua pihak. Hal ini kerana, ia boleh menjejaskan sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina.

Masyarakat perlu faham bahawa masalah kesihatan ini sama sahaja seperti penyakit-penyakit kronik lain, contohnya kanser dan sakit jantung. Bezanya, masalah kesihatan mental ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun ia tetap sejenis penyakit.

Menjadi sebuah tanggungjawab setiap individu untuk cakna akan isu kesihatan mental agar stigma terhadap mereka yang mengalaminya dapat dikurangkan.

Pada musim pandemik ini, marilah kita bersama-sama mengmbil berat akan keadaan mereka yang berada di sekeliling kita dan saling membantu bagi mereka yang memerlukan. Terapkan dalam diri kita dengan tema kemerdekaan yang dipilih pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin. – 2 Disember, 2020.



KITA

BANTU

KITA

Tiada ulasan: