Jumaat, 4 Disember 2020

SATU JALAN KELUAR DARI HUTAN YANG MENYESATKAN



SATU JALAN

KELUAR DARI

HUTAN POLITIK

YANG MENYESATKAN

KITA SEKRANG


Fikir melepasi 

pimpinan negara yang ada,

 cadang Kadir Jasin



DALAM tampalan Facebook saya pada 16 November dan 2 Disember, saya membangkitkan persoalan mengenai sama ada kita bersedia melihat melepasi barisan pemimpin yang ada hari ini dan apakah kita mempunyai barisan pemimpin pengganti yang berpotensi.
 

Persoalan-persoalan ini adalah mengenai keperluan memberi peluang kepada barisan pewaris dan bukan mengenepikan “old guards” dengan sewenang-wenangnya. Mereka yang baik dan tidak terpalit dengan jenayah boleh menjadi pengasuh dan pengapit. 

Tampalan 16 November Facebook saya itu berbunyi: “Apakah kita bersedia berfikir melepasi Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Mohd Yassin dan Anwar Ibrahim? Kalau jawapannya “ya”, siapakah yang kita harapkan?” Perbahasan mengenainya menghasilkan 211 komen.

Pada 2 Disember pula, saya bertanya: “Adakah di Malaysia tidak ada wajah-wajah baru seperti Sanna Marin, Justin Trudeau dan Jacinda Arden?” Tampalan saya itu mencetuskan lebih 160 respons.

Marin, seorang wanita muda berusia 35 tahun adalah Perdana Menteri Finland; Arden, juga seorang wanita adalah Perdana Menteri New Zealand berusia 40 tahun dan Trudeau Perdana Menteri Kanada berusia 48 tahun.

Apakah pandangan saya sendiri mengenai isu perwarisan ini? 

Bagi persoalan (poser) pertama, jawapan saya adalah kita wajib bersedia berfikir melepasi pemimpin-pemimpin yang saya sebutkan itu. 

Untuk soalan kedua, jawapannya bukan ada atau tidak barisan pemimpin pewaris yang berwibawa, tetapi sama ada kita bersedia atau tidak memberi peluang dan kepercayaan kepada mereka. 

Adalah tidak masuk akal kita mengikat diri kita kepada mana-mana satu generasi atau individu sedangkan kita tahu bahawa kesinambungan sesebuah negara bergantung kepada perwarisan yang terancang dan tersusun. 

Kita tidak ada pilihan selain menerima kesementaraan hidup dan berpegang kepada hukum bahawa yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. 

Saya amat yakin jika dipaksa oleh keadaan dan kita tidak panik, kita akan memperoleh pengganti dalam apa keadaan sekali pun. 

Saya mohon berkongsi pengalaman peribadi saya sebagai pemerhati politik negara sejak saya mula mengenali dan memahami politik bertitik-tolak daripada pembacaan saya mengenai Gamal Abdel Nasser, Mao Tse Tong (Mao Zedong), Soekarno (Sukarno), Marshall Joseph Broz Tito, Kwane Nkrumah, Jomo Kenyatta, Fidel Castro, Ho Chi Minh dan banyak lagi nasional pasca-Perang Dunia Kedua. Tidak ketinggalan romantisme tentang keperwiraan Ernesto “Che” Guevara.

Saya disekolahkan mengenai pengetahuan am, politik, sejarah dan ilmu alam (geografi) oleh Utusan Melayu (jawi), Warta Negara (jawi), The Straits Times, The Straits Echo, Mastika, Dian dan banyak lagi penerbitan serius dan berkualiti tahun 1950-an dan 60-an.

Pengalaman Peralihan

Saya ingat lagi nenek saya dan generasinya menangis tersedu-sedan apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra didesak dan diasak agar meletakkan jawatan pada tahun 1970 manakala generasi ayah saya bergembira menerima Almarhum Tun Abdul Razak Hussein sebagai pengganti.

Seorang doktor perubatan dari Alor Star yang baru hilang kerusi Parlimen Kota Setar Selatan (kini Pendang) dalam Pilihan Raya Umum 1969, Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut sebagai “protagonist” yang instrumental terhadap kejatuhan Tunku.

Ketika itu Abdul Razak berusia 48 tahun dan Dr Mahathir 45 tahun. Bersama-sama mereka mengubah sejarah dan hala tuju negara. Tidak kedengaran pula bantahan atau cemuhan mengatakan mereka terlalu muda.

Tunku mengambil alih Umno daripada Almarhum Datuk Onn Jaafar pada tahun 1951 ketika berusia 48 tahun dan menjadi Perdana Menteri Malaya Merdeka pada usia 54 tahun. Pun tidak kedengaran bantahan atau cemuhan mengatakan beliau terlalu muda.

Almarhum Tun Hussein Onn pun menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Dr Mahathir 56 (pusingan pertama), Tun Abdullah Ahmad Badawi 64 tahun dan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak 56. 

Hari ini, ramai pemimpin yang menanti sama adalah dalam lingkungan usia 60-an atau 70-an seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (73 tahun). Realitinya kepemimpinan peringkat tertinggi kita semakin hari semakin tua sedangkan demografi kita semakin hari semakin muda. Mulai PRU ke-15 ini, warganegara semuda 18 tahun sudah boleh mengundi.

Facebook saya 2 Disember
 
Kalau dulu sistem pewarisan politik kita boleh memberi peluang kepada pemimpin muda seperti yang berlaku kepada Tunku, Abdul Razak, Hussein, Dr Mahathir dan Mohd Najib, tentunya peluang yang sama boleh diberi kepada pemimpin muda hari ini!

Apakah di kalangan generasi muda hari ini tidak ada yang cemerlang seperti Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi Pengerusi pengasas Petronas pada usia 37 tahun dan Menteri Kewangan pada usia 39 tahun atau yang berani seperti Anwar yang menggoncangkan “establishment” dengan protes-protes jalanannya ketika bersusia 27 tahun? 

Atau macam Tun Daim Zainuddin yang menggabungkan kepintaran dalam bidang undang-undang, ekonomi, perniagaan dan politik untuk menjadi strategis dan pelaksanana kelas dunia
 
Apakah nama-nama dalam dunia politik dan bukan politik yang disebutkan oleh pembahas, seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Nurul Izzah Anwar, Khairy Jamaluddin, Dr Muhammed Abdul Khalid, Darell Leiking, Razifi Ramli, Hannah Yeoh, Fahmi Fadzil, Liew Chin Tong, Dr Mazlee Malik, Ebit Irawan Lew, Yeo Bee Yin, Adly Zahari, Mukhriz Mahathir dan banyak lagi, pada usia mereka sekarang, “inferior” kepada pemimpin barisan hadapan masa kini ketika mereka muda dulu? 

Kita mempunyai bilangan pemimpin dalam lingkungan usia 40-an, 50-an dan 60-an yang cukup besar untuk ditapis dan dipilih. Mereka sudah cukup lama bergiat dalam politik, dipilih menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undang Negeri dan dilantik menjadi Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri. Jadi, soal tidak ada calon tidak timbul.
Atau adakah kita sudah menjadi mangsa pukau dan rasuah politik ala “the scheme of things” dan “cash is king” sehingga tidak boleh lagi melihat ke hadapan, melepasi barisan pemimpin kanan yang ada hari ini? 

Adakah kita hendak membiarkan politik kita terus berpecah-belah, beracun dan berundur semata-mata atas dasar suka dan benci, nostalgia dan emosi sehingga negara kita semakin hari semakin hilang arah tujuan.

Pilihan terbaik adalah menggabungkan kebijaksanaan dan pengalaman pemimpin veteran dengan idealisme dan kecergasan pemimpin muda seperti yang dieksperimen oleh Pakatan Harapan (PH) ketika pemerintahannya. 

Bahaya menunggu terlalu lama adalah kepemimpinan yang ada sekarang akan terus bercakaran sehingga tidak ada apa-apa lagi yang hendak diwariskan kepada barisan pengganti. 

Maka jadilah politik Malaysia padang jarak, padang tekukur; kalah jadi abu, menang jadi arang. Dan kita akan dikutuk oleh anak cucu kita sebagai manusia tamak dan gila kuasa yang menjahanamkan negara. 

Wallahuaklam. Terima kasih.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cadangam ini akan ditentang abis abisan oleh nuwar dan ku li.
Woii kadir! Gang lama aku semua sudah jadi piyem paklah najib madey dua kali muyidin. Hoi! Celakak punya kadir, time aku belum lagi jadi piyem ko pandaey pandey ko buat cadangam ni! Krohkrohkroh!