Khamis, 23 Disember 2021

JAILHOUSE ROCK


JAILHOUSE ROCK


Aku ingat lagi ketika aku  dalam darjah tiga tahun 1959 aku mula kenal baik dengan Majid Ali. Anak Cik Gu Ali ini  empat  tahun lebih tua dari aku. Adiknya bernama Hamzah yang satu kelas darjah lima dengan abang aku Anuar Rais. 

Cik Gu Ali sudah pencen.  Pernah menjadi guru di Sekolah Umum Batu Serambai sebelum Inggeris balik kampung. Sesudah pencen keluarga Ali membuat  kampung  - memelihara lembu , ayam dan itik  yang tidak jauh dari Sekolah Umum Batu Serambai. Ertinya tidak jauh dari  rumah guru sekolah di mana aku tinggal.

Majid  anak sulung Cik Gu Ali  belajar di Goverment English School ( GES) Kuala Klawang.  Majid ada basikal. Dia ke sekolah dengan  basikal. Apa yang menarik tentang Majid selain dari basikalnya ialah ‘ remus’ fesyen rambutnya. Majid menyikat rambutnya sama seperti rambut Elvis Presley ( 1935-1977).

Aku mengenal nama Elvis ini juga dari Majid. Aku melihat gambar Elvis ini dari Majalah Filem. Setiap bulan Majid akan membeli Majalah Filem. Aku akan menumpang membaca Majalah Filem ini di rumah Cik Gu Ali.

Awalnya aku tidak kenal siapa dia Elvis ini.  Kemudian Majid memberi tahu bahawa Elvis ini seorang  penyanyi rock and roll dari Amerika.  Aku juga tak tahu apa bendanya rock and rolI ini. Tapi aku tahu  remus Majid hampir sama dengan remus Elvis. 

Budak-budak  kampung Batu Serambai semua kenal dengan Majid.  Majid menjadi ikutan bila dia berbasikal dan  memakai kepala  tali pinggang hitam yang bertulis  rock n roll dengan remus Elvis

Aku tak ada modal justeru aku hanya memerhatikan  Majid dan basikalnya. Aku juga memberahikan  basikal. Satu hari nanti aku juga ingin memiliki sebuah basikal aku sendiri.  Di rumah ada basikal  jenis Releigh tapi ini bukan milik aku. Ini Abah aku yang punya.

Pekan Kuala Klawang ada panggung Ruby Theatre. Panggung ini hanya menayangkan filem-filem dari  syarikat filem Cathay. Dari panggung Ruby aku mengenali pelakon Nordin Ahmad, Latifah Omar, Rose Yatimah,  Mustafa Maarof,  Muhamd Jun, Wahid Satay dan Aman Belon. 

Aku tak dibesarkan  menuntun filem Melayu keluaran Syarikat Shaw Brothers. Justeru aku tidak melihat filem  P. Ramlee ( 1929-1973)  dan filem-filem lakonan Zaiton, Normadiah,  Jins Shamsudin, Aziz Jaafar,  S.Kadrisman, Omar Rojik, Saadiah, Ibrahim Pendek  atau Wak Mustarjo. 
 
Dengan membaca Majalah Filem  milik Majid aku boleh  mengikuti perkembangan filem-filem Melayu terbitan Shaws Brothers dan Cathay Keris. Sesekali aku baca juga berita  filem Orang Putih.

Aku rasa pada tahun 1964 berita tersebar sebuah panggung akan dibuka di Petaling. Panggung Rex ini akan menayangkan filem-filem dari Shaw Brothers. Ini satu perkembangan baru yang amat menarik.  Warga Jelebu peminat filem Melayu kini ada peluang untuk menuntun filem garapan dan lakonan  P. Ramlee. 

Petaling ini pekan kecil. Dua deret  rumah  kayu  Orang China di kiri kanan jalan utama ke Kampung Baru Titi. Pekan Petaling  di simpang tiga   jalan hendak masuk ke  Kampung Gagu. Pekan Petaling ini hanya ada tiga buah kedai runcit, sebuah kedai kopi dan dua buah kedai membeli getah. 

Tapi semua orang  Jelebu akan sampai  ke Petaling bukan untuk ‘ shopping’ atau bercanda-canda.  Di atas bukit pekan Petaling ini  letaknya Hospital Petaling - Hospital Besar Jelebu. Hospital menjadikan pekan kecil  Petaling penting.

Bila Panggung Rex  didirikan ianya  menjadi satu lagi tarikan kepada  warga Jelebu untuk datang ke Petaling.

Panggung  papan  ini  berlantaikan tanah ini ,  beratap kanvas dan zink. Bila hujan turun -  bunyi guguran hujan ini  boleh mengganggu  penonton. Jika hujan lebat ada kemungkinan air  meleleh masuk ke dalam panggung. Kerusinya Rex tidak semolek panggung Ruby. Ini kerusi tangan ke dua yang berkemungkinan ada pijat.

Dengan terdirinya panggung  Rex ini pada  Hari Raya  – warga Jelebu ada pilihan. Boleh  menuntun  Nordin Ahmad dan Latifah Omar di Ruby atau menuntun P.Ramlee  dan Saadiah di Rex. 

Di panggung Rex inilah pertama kalinya aku menuntun filem Antara Dua Darjat (1960). Filem ini  garapan dan lakonan P. Ramlee. Aku kagum dengan filem walau pun filem yang telah lima tahun diterbitkan.

Satu hari  Majid memberi tahu aku filem Elvis Presley  Jailhouse Rock  (1957) akan sampai ke Petaling. Aku  ada juga menuntun filem Inggeris – filem perang atau filem koboi. 

Aku hanya bijak  melihat gambar bergerak.  Tak tahu apa buah butir kata-kata dari para pelakon. Yang aku kenal ialah Hero dan Orang  Jahat. Watak-watak ini wajib dikenal awal. Wajib dikenal juga  Minah bergetah  kekasih Hero. Bila sudah kenal semua watak-watak  ini maka tidak susah untuk aku mengikuti aksi tembak menembak atau  bunuh membunuh.

‘   Jailhouse Rock ... ini filem apa.. ‘ Aku bertanya pada  Majid. 

‘ Cerita Elvis dalam jil...dia masuk jil dalam lokap... aku dah tengok dulu di Seremban...’ Majid bercerita dengan bangga.

‘ Filem koboi ke..’ Aku bertanya lagi.

‘ Filem rock n roll...’  Majid menjawab sambil menggoyangkan  pinggul dan badannya. 

Aku merasa pelik. Aku belum pernah mendengar filem rock n roll.

‘ Pergilah tengok rock n roll Elvis....aku pun nak tengok sekali lagi.....’ Majid  meyakin aku.

Ketika itu tiket paling murah harganya 40 sen. Aku wajib ada 50 sen.   Duit tiket  dan modal untuk mengunyah  kuaci dan gula-gula. Agak mustahil juga nak mencari 50 sen dengan sekelip mata.

Petang itu aku  terjumpa Ayen yang setahun lebih tua dari aku.  Nama penuh Raja Ibrahim anak kepada  Raja Husin – tukang main silap mata yang tersohor di Negeri Sembilan. 

‘ Majid kata filem Elvis sampai ke Petaling... nak gi...’ Aku membuat cadangan.

‘ Bila ...   Elvis rock n roll tu ke ...penyanyi tu... dia berlakon juga ke ?...’ Ayen pun tahu siapa Elvis ini.

‘ Malam lusa... kau ada basikal...kalau  ada kita naik berdua...’ Aku memberi cadangan.

‘ Kalau jumpa Towkay Lim... dia boleh beri kita masuk free.. dia  kenal Pak Engku...dulu Pak Engku rekomen dia  dapat JP ...’ Ayen bersurah bagaimana  Tuan Panggung telah   dianugerahkan pingat  (JP) Jaksa Pendamai dari Yam Tuan Besar Negeri Sembilan. Pak Engku Raja Husin ayah Ayen yang  melobi.

Hari  tayangan sampai. Petang itu aku hanya ada 40 sen. Cukup untuk beli tiket. Tapi kalau Towkay Lim ada aku yakin kami dapat masuk percuma.

Ayen berjaya mendapatkan satu lagi basikal untuk aku. Maknanya aku tak perlu  membonceng. Ini basikal tua tapi masih boleh dikayuh.

Kami sampai ke Petaling pukul lapan lebih. Filem pusingan pertama sedang diputar. Kami menunggu  tayangan ke dua.  Bakal penonton tidak ramai. Sementara menunggu aku melihat poster dan gambar filem yang sedang dan  filem-filem yang akan ditayang.

Aku lihat  gambar iklan wayang  - Now Showing -  Elvis berdiri memakai baju penjara. Elvis dalam lokap. Aku lihat juga  gambar  filem China – Coming Soon.  Gambar-gambar ini penting untuk menarik bakal penonton.
Bosan juga menunggu tayangan tamat. Lalu aku mengintai dicelah  dinding  papan panggung yang retak. Mata aku memerhati. Aku  nampak Elvis berkata-kata kemudian  dia main gitar dan ramai orang  yang ikut dia menari seperti Majid menggoyangkan pinggulnya. Hebat Elvis ini. AkU jadi berahi. Aku tak sabar nak menuntun.

Tayangan pertama selesai. Kami menunggu pintu tiket dibuka. Hanya ada lapan orang bakal penonton yang menunggu tayangan ke dua.

Tertiba penjual tiket muncul dari dalam bilik tiket dan berkata : Tak ada tayangan ke dua... orang tak ramai. Khalas.

Bayangkan betapa kecewanya hati aku malam itu. Lima batu aku mengayuh basikal dengan niat yang suci  untuk menuntun Elvis Presley bermain gitar, menyanyi dan bertandak. Tayangan Jail House Rock dibatalkan.

Ramai juga penonton yang keluar dari panggung. Mereka kelihatan senyum gembira terhibur oleh Elvis bukan seperti aku yang kecewa.

Ayen dan aku mengheret basikal  mengekori penonton yang keluar.  Ramai juga penonton yang berbasikal pulang. Aku nampak beberapa Abang-Abang dari Kampung Ulu Jelebu dari Kampung Sarin. Berapa anak muda dari Kampung Chenor yang muka  pernah aku lihat.

Jalan raya kosong tidak berkereta.  Ada yang memasang lampu basikal  dan ada  yang tidak.  Malam agak terang.  Mungkin bulan purnama telah berlalu empat lima malam yang lau. Cahaya bulan masih ada. Basikal lama aku tidak ada dinamo untuk lampu basikal. Untuk selamat aku mengekor basikal Ayen.

Tertiba hampir sebatu untuk sampai ke pekan Kuala Klawang aku ternampak beberapa  sosok sedang mengheret basikal. Aku tak tau apa yang berlaku.

Tertiba bila aku sampai rupa-rupanya dua  mata-mata telah menahan tiga penunggang  basikal yang tidak berlampu. Ayen dan aku sampai di hadapan mata-mata. 

‘ Turun.. turun... tak ada lampu...’ Mata-mata memberi arahan. 

Dengan takut aku turun dari basikal. Ayen  terus mengayuh kerana basikal dia berlampu.

‘ Tok... bulan torang Tok...buek apo pasang  lampu... ado lampu tuhan ....den pakai lampu  tuhan.....’ Suara salah seorang dari kami  Orang Kena Tahan  (OKT) yang mengheret basikal.

‘Jangan banyak cakap... semua pergi balai..’ Arahan mata-mata.

Lima OKT  mengheret basikal – satu batu -  menuju ke  Rumah Pasung di tepi pekan Kuala Klawang.

Bila kami sampai ke Rumah Pasung  aku nampak Ayen dan dua anak muda dari Kampung Chenor dan Sarin sedia menunggu kami.

Kami OKT  dibawa masuk ke bilik lokap kecil. Bilik lokap ini berjaring besi. Aku boleh  nampak apa yang berlaku di luar.  Kami berlima - empat lelaki dewasa dan aku seorang kanak-kanak – duduk di atas  kerusi panjang. Di luar aku perhatikan mata-mata sedang membuat kerja.

Aku merasa gentar juga bila ditangkap.  Sapa pun jika di tangkap mata-mata pasti takut. Bila masuk lokap aku lagi gentar. Tapi dengan Abang-Abang yang ada bersama  dalam lokap menjadikan ketakutan aku tidak memuncak.

‘ Kao takut ko jang...’ Abang dari Kampung Sarin bersuara.  

‘ Sampai bilo kita disini...’ Aku bertanya tanpa dapat jawapan.

Kemudian aku dengar suara mata-mata di luar lokap.

‘ Ada penjamin disini...pergi cari Mak Bapak untuk jamin budak ni... .’ Aku terdengar suara mata-mata memberi arahan kepada Ayen dan kawan-kawan di luar yang sedang  menunggu.

Ayen beredar. Kami  dalam lokap duduk menanti penjamin.  Hampir satu jam kemudian seorang lelaki sampai untuk menjamin Abang  Kampung Sarin. Seorang OKT  keluar. Tinggal  kami berempat menunggu

‘ Tadi  kito negok cerito Elvis dalam jil... ni kito pulak kono masuk jil...’ Abang dari Ulu Jelebu membuat  lawak.

‘ Jang kau tak sekolah ko ..’  Dia bertanya pada aku.

‘ Sekolah.... esok pagi sekolah...’ Aku memberi jawapan.

‘ Ekao minat  Elvis ko  ni... tadi dio main gitar dalam lokap... den kok ada gitar pun malam ni den pun  boleh main....’  Abang Ulu Jelebu ini  bangun bergaya  memetik gitar dan menggoyang-goyang pinggul sama seperti yang dilakukan oleh Majid.

Kami semua ketawa terhibur.

‘ Dalam jil pun Elvis tak takut.. den pun samo.. den tak takut kito bukan pencuri...... basika den tak do lampu..’ Dia  memberi penjelasan.

Aku berfikir Ayen akan mengayuh cepat. Dia akan ke rumah aku. Keluarga aku pasti semua dah tidur. Pasti  mereka terperanjat mendengar berita  aku kena tangkap.

 Aku  tahu Abah aku akan datang menjamin. Tapi aku juga takut apa yang akan dilakukan kepada aku. Apakah aku akan kena rotan. Ini merisaukan juga.

Dua penjamin sampai. Dua OKT bebas. Tinggal aku dengan  Abang  Ulu Jelebu. Kami berpandangan. Aku hairan kenapa tak ada siapa datang menjamin dia. Ulu Jelebu tidak jauh  berbanding dengan  kampung aku di Batu Serambai.  

‘Cilako... tak berlampu pun salah...’  Abang yang berumur dua puluhan ini  bangun sambil membetulkan rambutnya. Kemudian dia menggoyangkan pinggulnya seperti Elvis.

Kami sesama terbarai  ketawa.

‘ Den jadi Elvis dalam lokap... esok Abang tak motong gotah laaa..malam ni tido disini ..’ Dia terus duduk.

Hampir jam 2 pagi Abah aku sampai. Dia berurus dengan mata-mata. Kemudian aku keluar dari lokap.   Yang aku tinggalkan dalam lokap seorang diri  Abang Ulu Jelebu.

‘ Kemana tadi ...’ Abah  bertanya.

‘ Nengok wayang dengan Ayen...’ 

‘Basikal sapa ni..’ Abah bertanya pendek.

‘ Pinjam dari Ayen..’ Abah aku  menghulurkan  sebiji  lampu picit untuk memastikan aku tidak sekali lagi di tangkap mata-mata.

‘Bulan depan kena bicara...’ Abah aku menerangkan ringkas.

Kami  mengayuh  tiga batu untuk sampai ke rumah. Inilah perjalanan basikal paling sunyi untuk aku.

Esok paginya aku masih sempat mengambil bas ke sekolah. Dalam kelas  aku bercerita pada Jamaludin kawan sebelah bangku tentang  aku kena tangkap  kerana basikal tak berlampu. Berita ini merebak.  Semua nak tahu apa yang telah terjadi.

‘ Kau tengok Jailhouse Rock ke...’  Zul bertanya.

‘ Tak jadi tayang...’

‘ Kena tangkap ... ada bicara ke...’  Jamal  bertanya.

‘  Bulan depan...court Klawang...’ Aku memberi penjelasan.

Lepas rehat jam 10 aku merasa letih. Bila masuk  ke jam 12.00 letih dan ngantuk terkumpul. Aku tak cukup  tidur. Dalam kelas Bahasa Inggeris Mister Lee aku  menangkup muka ke atas meja. Kemudian aku tertidur.

Tertiba aku terdengar  suara ’ Sir.. sir police catched him  sir..last nite..... bicycle  no lamp..’  Aku terperanjat dan terus terjaga.  

Aku ingatkan Tuan Hakim di depan aku. Salah. Mister Lee berdiri di tepi meja aku. Mister Lee memandang muka aku kemudian  beredar tanpa  melakukan apa-apa. 

Aku menjadi segar kembali sehingga loceng akhir berbunyi untuk  bersurai pulang. (TT)



TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM LAMAN PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/12/23/jailhouse-rock/


2 ulasan:

Quantum Metal Consultant berkata...

Moral of the story.. anak kuli buat salah masuk lokap, bukan tangguh hukuman.

Den hitler berkata...

Jang tt...cerito ni den gomar. Banyakkan laie cerito cam ni...ni ekou cerito pantek..pantek...aji-aji..lobai-lobai. Dah !!!jangan buek cerito koto laie..paham!!!!