Khamis, 23 Disember 2021

SEBELUM KE PILIHAN RAYA - TURUN KE JALAN RAYA

 



Kerjasama Warisan, Muda tenaga baharu pembangkang, kata pemimpin parti

KERJASAMA dibentuk dengan Warisan sebagai satu usaha untuk mengukuhkan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Strategi Muda Luqman Long.

Luqman berkata parti pembangkang juga tidak seharusnya melihat kerjasama kedua-dua parti itu sebagai musuh dan ancaman antara satu sama lain.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, kerjasama itu sebaliknya perlu dianggap sebagai sinergi dan tenaga baharu untuk pembangkang.

“Bila Warisan turun (semenanjung), pembangkang dan juga Warisan tak boleh melihat ini agenda untuk pecah-belahkan pembangkang.

“Tapi kita kena anggap ini platform baru, arena yang dibuka lebih luas untuk pembangkang sertai, duduk semeja dan kukuhkan (kedudukan di) semenanjung,” kata Luqman.

Warisan yang dipimpin presidennya Shafie Apdal bertapak secara rasmi di semenanjung dengan pelancaran parti itu di peringkat nasional pada 17 Disember.

Pada masa sama, Warisan turut mengumumkan kerjasama rasmi bersama Muda, parti yang dipimpin Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Luqman berkata langkah tersebut adalah permulaan kepada usaha mewujudkan gabungan dan kerjasama antara semua parti pembangkang di negara ini.

“Muda bersiap sedia untuk pembangkang duduk semeja, itu yang belum berlaku. Warisan, Muda, DAP, PKR, dan Pejuang, itu lebih utama berbanding Muda dan Warisan.

“Warisan walaupun partinya besar di Sabah, di semenanjung ia baru sahaja dilancarkan. Sekiranya hanya Muda dan Warisan sahaja juga memang tak boleh pergi jauh,” katanya.

Beliau berkata hanya kerjasama antara parti pembangkang akan memberikan mereka peluang dalam PRU15 dalam berdepan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Semua sepatutnya berada dalam satu kumpulan. Kita tahu kalau BN menang suku, PN menang suku tiada masalah untuk mereka bergabung untuk bentuk kerajaan.

“Tapi (bergabung) dengan PH tak boleh, dengan Muda tak boleh. Jadi, pembangkang tinggal pembangkang,” katanya.

Luqman juga mengharapkan para pemimpin pembangkang akan lebih terbuka menerima idea kerjasama berkenaan.

Oleh itu, beliau mencadangkan parti pembangkang mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) bagi membolehkan ahli dan akar umbi jelas dengan matlamat dan tujuan mereka.

“Harapan paling besar bila Warisan sertai dan lebar sayap ke semenanjung, ia membuka lebih banyak ruang perbincangan dalam kalangan pembangkang, kerjasama dengan PKR dan DAP. Dialog selalu kita buat. Ia positif, cuma ia perlu dimeterai dengan lebih baik.

“Moleknya ada MoU, supaya pemimpin dan akar umbi lebih jelas. Kita nak pembangkang bersatu dan duduk semeja serta fokus buang benda yang salah daripada politik negara.

“Kalau pembangkang berpecah itu sangat bermasalah, memang kena banyak duduk semeja berbincang,” kata Luqman.

Ketua Wira Warisan Mohd Azis Jamman pula menegaskan perbincangan yang diharapkan di kalangan pembangkang harus berlandaskan prinsip yang jelas.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata perbincangan dengan niat tersembunyi tidak akan membuahkan hasil terbaik seperti yang diharapkan.

“Apabila duduk berbincang kena berlandaskan prinsip, nilai yang kita ingin bawa dan sajikan kepada rakyat perlu jelas.

“Jangan di sebelah kanan kita kata tak setuju, tapi di sebelah kiri, dari satu segi lain pula kita tandatangan MoU… Akhirnya rakyat keliru.

“Warisan dan Muda keikhlasannya jelas. Ada perkara yang ada garisan merah yang kita tolak secara jelas, bila duduk berbincang kejelasan kena ada,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azis berkata Warisan juga tidak menolak untuk berbincang dengan parti politik pembangkang lain sekiranya ada yang berminat dengan kerjasama tersebut.

“Kita tidak menutup perbincangan (dengan pembangkang). Buat masa ini kita dengan Muda, pintu perbincangan juga masih terbuka,” katanya.

Aziz berkata kerjasama kedua-dua parti itu untuk memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan dalam pilihan raya.

Beliau juga sedar bukan laluan mudah untuk Warisan yang merupakan parti berbilang kaum untuk bertapak di semenanjung, yang cenderung dengan politik berasaskan kaum dan agama.

“Mungkin PRU15 kita boleh saksikan kebangkitan satu wadah perjuangan yang mungkin disebut agak radikal tapi siapa tahu?” katanya.

Beliau selesa dengan idea seperti dibangkitkan pemimpin Muda seperti Syed Saddiq yang sering menyebut mengenai budaya memperkasa kepelbagaian kaum.

Tambahnya, ia selari dengan Warisan yang menolak politik perpecahan.

“Kalau tak lakukan sesuatu sampai bila kita mahu mulakan, apa pun perkara kita lakukan ia bermula dengan satu.

“Anggap ini langkah pertama kita untuk melebarkan sayap untuk memperkenalkan pendekatan yang baik untuk negara kita.

“Mungkin bukan sekarang, mungkin lima, enam tahun akan datang baru dapat hasil,” katanya. – 23 Disember, 2021.


UNTUK 

MEMBUKTIKAN

KEUNGGULAN

PARTI

AMIN

UNTUK MELIHAT

SOKONGAN

ANAK MUDA

AMIN

SEBELUM 

KE PILIHAN RAYA

WAJIB

TURUN 

KE JALAN RAYA

AMIN 

HANYA JALAN RAYA MEMBAWA ARUS

 KE PILIHAN RAYA

KHALAS

Tiada ulasan: