Kluster mahkamah tiada kaitan dengan PRN Johor, kata Mohamad
PELUANG Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi tiada kaitan dengan pertuduhan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi segelintir pemimpin parti, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Peluang BN tidak terjejas semata-mata kerana pembangkang memainkan sentimen berkaitan pemimpin yang dilabel sebagai kluster mahkamah, katanya.
“Saya tidak yakin kluster mahkamah akan menjadi masalah dalam PRN Johor, bagi saya (parti lawan) tidak ada modal lain untuk mempengaruhi rakyat, itu sahaja lagu yang enak didengar maka mereka nyanyikan beramai-ramai,” katanya pada sidang media selepas bertemu jentera BN di Machap, hari ini.
Mohamad berkata, menang atau kalah BN di Johor tiada kaitan dengan pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana bukan mereka yang bertanding.
“Kalau pun kita menang di Johor apa kena mengena dengan kluster mahkamah, mereka bertanding ke? Tidak. Apakah hakim akan terpukau dengan menang di Johor? Tak ada.
“Menang besar di Melaka, Najib kena juga, Zahid pun kena membela diri,” katanya.
Jelasnya, pembangkang tiada modal lain dan kerana itulah mereka terus melagukan kempen kluster mahkamah.
Kluster mahkamah merujuk kepada pimpinan Umno yang disabitkan kesalahan di mahkamah atas pertuduhan salah guna kuasa.
Antara mereka yang dikaitkan dengan kluster mahkamah adalah seperti Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Beliau sedang merayu kesnya di Mahkamah Persekutuan.
Ahmad Zahid pula dipanggil membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. Beliau juga berhadapan 40 pertuduhan jenayah lain. – 28 Februari, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan