Tempoh singkat berkempen sulitkan pembangkang, kata penganalisis
PARTI pembangkang mungkin meraih sedikit kelebihan sekiranya tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melebihi tempoh dua minggu seperti yang ditetapkan, kata penganalisis politik.
Aktivis sosial dan politik terkenal Vincent Thock Kiah Wah memberitahu The Malaysian Insight tempoh yang lebih lama sebelum mengundi akan memberi Pakatan Harapan (PH) masa yang diperlukan untuk merapatkan jurang sokongan dengan Barisan Nasional (BN).
PH akan mempunyai masa untuk membincang dan menyelaras strategi dalam kalangan tiga partinya – PKR, DAP dan Amanah – dan mungkin mengadakan kerjasama dengan parti lain menjelang PRU15, katanya.
“Ia mungkin tidak banyak mengubah pandangan umum. Di atas kertas BN nampaknya pilihan utama untuk menang tetapi tempoh kempen yang lebih panjang mungkin mengurangkan kelebihan mereka.”
Thock berkata, pangkalan sokongan PH, tidak seperti BN, kebanyakannya di bandar dan dalam kalangan pekerja asing, termasuk mereka yang bekerja di luar negara.
Jika mereka sukar untuk pulang, pengundi luar negara pasti keberatan untuk berbuat demikian, jelas Thock.
Pangkalan sokongan BN, khususnya Umno, sebaliknya katanya, adalah di kawasan luar bandar dan mereka ini sanggup keluar mengundi tidak kira hujan atau sebaliknya.
“Ini pasti menyukarkan PH jika mereka tidak mempunyai masa untuk menanganinya.”
Thock berkata, satu perkara yang boleh dilakukan PH untuk menangani kekurangan itu adalah mempunyai manifesto yang menjelaskan mengapa penting bagi penyokong mereka pulang dan mengundi.
“Pembuangan undi pada 19 November, hari Sabtu, sepatutnya satu kelebihan kepada PH kerana ini akan memudahkan penyokong mereka untuk pulang ke rumah pada hujung minggu dan menjalankan tanggungjawab mereka.”
Walaupun hari pengundian pada Sabtu, Thock meramalkan peratusan keluar mengundi pada PRU15 tidak akan melebihi peratusan pilihan raya sebelum ini.
“Jumlah keluar mengundi akan tinggi tetapi sudah tentu tidak lebih tinggi berbanding pilihan raya umum lalu. Mungkin antara 70 dan 75%.
“Pilihan raya umum 2018 seperti satu kebangkitan rakyat,” katanya merujuk kepada semangat untuk menyingkirkan bekas perdana menteri Najib Razak dan kleptokrat BN daripada kuasa.
Liew Wui Chern, pensyarah komunikasi massa di Universiti Tun Abdul Razak, berkata parti politik tidak begitu terkejut dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober kerana mereka sudah bersiap sedia sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, persediaan awal banyak membantu parti pembangkang seperti PH.
Liew berkata malah sebelum pembubaran dan tarikh PRU15 ditetapkan, parti pembangkang sudah pun mengusahakan apa yang dipanggil “kawasan pilihan raya kelabu”, terutamanya yang mempunyai majoriti antara 1,000 dan 2,000 undi.
“Mereka mempunyai masa yang panjang untuk merangka manifesto dan mengaktifkan jentera kempen pilihan raya – mengusahakan penggunaan sumber mereka dan mencetak poster, sepanduk, bunting dan bendera.”
Mengenai peratusan keluar mengundi, Liew bersetuju dengan Thock peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini tidak akan sebagus 2018.
“Hari pengundian pada hujung minggu boleh menyebabkan peratusan keluar mengundi yang tinggi tetapi ia tidak akan mengatasi catatan angka 2018.”
Seperti Thock, Liew berkata beliau juga percaya peratusan keluar mengundi pada PRU15 adalah antara 70 dan 75%, yang pada pandangannya “sudah sangat baik”.
Liew lebih terkejut dengan tempoh berkempen selama 14 hari, kerana beliau menjangkakan tempoh yang lebih singkat.
Namun begitu, beliau mengalu-alukannya serta menyifatkannya sebagai “munasabah”.
Tang Ah Chai, seorang pengulas terkemuka mengenai masyarakat Cina Malaysia, berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan respons kurang baik orang Cina terhadap pilihan raya akan datang.
Beliau mengaitkan respons itu berpunca daripada kebimbangan mereka dengan kemungkinan ancaman banjir dan apa yang perlu mereka lakukan untuk mengelakkan kerugian besar.
“Pada masa ini, nampaknya hanya ahli politik yang bersemangat mengenainya.”
Tan berkata pada PRU 2018, situasinya juga agak suam-suam kuku pada awalnya.
“Namun, apabila kekecewaan rakyat terhadap kegagalan menukar kerajaan pada pilihan raya umum 2013 semakin memuncak, suasana mula menjadi panas.
“Saya percaya ia sama dengan pilihan raya umum kali ini. Ia secara perlahan-lahan akan menjadi panas juga.”
Tan berkata ia bagaimanapun bergantung kepada cara parti pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil memainkan isu hangat. – 25 Oktober, 2022.
3 ulasan:
PH tetap tidak akan menang pru walaupun dgn khemah besar disbkan SPR..lembaga daulah..pengerusi spr adalah org lama yg menangkan najib..mana mungkin pegawai2 tinggi kerajaan mahu PH menang..PH menang, mereka ke penjara..SPR sedang menyorok tanpa diundang oleh media utk membicarakan mengenai banjir..tak caya, cuba org media jemput prof undang2 UM tu..asak dgn soklan2 berat..
Pakatan menang kecuali Anwar banyak songeh. Terima kasih.
Hanya politikus yang merungut tak cukup masa kempen. Wakil rakyat yang sahih tak ambil pot kerana 365 hari x 5 tahun berkhidmat rakyat. 1825 hari berkhidmat, 1825 hari berkempen.
Catat Ulasan