DAP harapkan undi Melayu untuk tawan Bentong, kata penganalisis
DAP bersungguh-sungguh mahu memenangi undi Melayu terutama golongan atas pagar dan cuba mengekalkan sokongan pengundi Cina untuk memenangi kerusi Parlimen Bentong di Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata penganalisis.
Kata mereka, calon DAP Young Syefura Othman merupakan ADUN Pahang yang dikenali dan mungkin boleh mempengaruhi pengundi Melayu muda di Bentong.
Namun penganalisis juga memberi amaran tentang langkah ini yang mungkin memakan diri sekiranya penyandang Parlimen Bentong Wong Tack kekal bertanding sebagai calon Bebas di kerusi itu yang bakal memecahkan undi Cina.
Minggu lalu, Wong Tack mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi itu pada PRU15 sebagai calon Bebas.
Pengumuman itu dibuat selepas DAP mengesahkan bekas ADUN Ketari Young Syefura sebagai calon PH di kerusi Parlimen Bentong.
Aktivis itu memberitahu beliau dimaklumkan DAP yang dirinya tidak sesuai dengan strategi besar parti untuk pilihan raya kali ini.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata DAP mahu memenangi undi Melayu di Bentong sementara mengharapkan kaum Cina terus menyokong Pakatan Harapan (PH).
“Kerusi itu tidak selamat untuk DAP. Kali ini mereka perlu menang undi Melayu terutama pengundi atas pagar dan pengundi baharu. Sebelum ini Wong Tack menang dengan majoriti hanya 2,000 undi dan 2,000 undi itu tidak terlalu meyakinkan.
“DAP juga berharap kaum Cina akan terus menyokong namun Liow Tiong Lai adalah nama besar yang juga bekas ahli Parlimen di situ sebelum kalah pada 2018.
“Agak menarik untuk melihat Young Syefura melawan muka lama seperti Tiong Lai. Orang Melayu yang sokong Umno akan undi BN, kita akan lihat siapa plihan pengundi baharu,” kata Azmi.
Tiong Lai, bekas menteri kesihatan dan pengangkutan merupakan ahli Parlimen Bentong dari tahun 1999 hingga 2018 disebut-sebut bakal dicalonkan sekali lagi di kerusi itu pada PRU kali ini. Pada PRU lalu beliau tewas kepada Wong Tack dari DAP dengan majoriti 2,000 undi.
Tiada jaminan kaum Cina akan undi
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata tiada jaminan pengundi Cina akan mengundi DAP kerana sentimen parti.
“Kadang-kadang corak pengundi akan lebih pilih kaum daripada parti. Macam pilihan raya kecil Teluk Intan, DAP letak calon Melayu lawan Mah Siew Keong dari MCA tapi calon Melayu DAP Dyana Sofya Mohd Daud kalah.
“Ia tidaklah soal sentimen parti sangat terutama di kawasan seperti Bentong di mana pengaruh Tiong Lai besar dan boleh dikatakan ahli politik yang bersih,” kata Mazlan.
Namun Mazlan bersetuju DAP akan cuba mendapatkan sokongan Melayu.
“Akan jadi persaingan sengit. Young Syefura dikenali dan dia ada kedudukan dalam DAP. Pengundi Cina mungkin akan pertimbangkan itu. Lebih-lebih lagi kerusi DUN dia di Ketari berada di bawah Bentong. Dia mungkin kenal orang dan orang kenal dia sebab kerja dia.
“Saya rasa BN dan PH ada peluang 50/50 untuk menang tapi kalau saya yang buat keputusan, saya akan letakkan calon Cina DAP di Bentong,” tambahnya.
Sementara itu Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata MCA mungkin mengharapkan kejayaan di Johor dan Melaka berulang di mana pengundi Cina dilihat kembali menyokong BN.
Katanya, imej Wong Tack sebagai aktivis alam sekitar mungkin agak terjejas susulan isu Lynas di situ masih berlaku sedangkan DAP sudah berada dalam kerajaan dan mempunyai menteri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar sebelum ini.
“Kawasan Wong Tack membuka ruang untuk penambahbaikan dan Young Syefura dilihat ada daya tarikan jadi wajar jika DAP pilih dia berbanding Wong Tack.
“Memandangkan sesetengah pengundi Cina seperti sudah kembali menyokong MCA yang diterjemahkan dalam PRN Melaka dan Johor, lebih-lebih lagi kembalinya sokongan besar pengundi Melayu terhadap Umno jadi Tiong Lai dilihat masih ada peluang,” katanya. – 31 Oktober, 2022.
3 ulasan:
Tak kira calon lawa atau tidak, yang penting kita nak masa depan macam mana ? Nak penyamun atau beri peluang kepada orang lain, semua sudah kenal siapa penyamun, pencuri tetapi calon baru tak kira parti apa penting untuk masa depan negara, jangan otak singkat, orang kampung pasti pilih penyamun sebab penyamun selalu bagi hulur bantuan, tetapi orang kampung tak tahu, mereka hanya dapat sedikit dari hasil curian parti penyamun Dan kena tanggung hutang billion untuk anak cucu mereka, message kena sampai dekat orang kampung supaya mereka sedar Amin, kah kah kah
dulu cun la.. skang kureng sikit... kah kah kah..
Memang poster dah ada untuk modal, modal apa terpulang pada pengundi, pilih mana satu nak, nak cantik, nak elok, nak menawan, nak buruk, lepas pilih tak ada patah balik, tarak u turn selama 5 tahun, percaya atau tidak, nasib pengundi berakhir di kertas undi dan harapan semua mereka mengundi parti yang baik baik kah kah kah
Catat Ulasan