Ahad, 2 Oktober 2022

PRU 15 SEKARANG !

 

Cuaca buruk, pembangkang lemah bantu Umno pada PRU15, kata pemerhati


UMNO tidak boleh menunggu lebih lama bagi mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan kerana sebarang kelewatan mungkin akan memberi masa kepada pembangkang untuk bersatu dan mengumpulkan kekuatan, kata pemerhati politik.

Mereka juga berkata Umno percaya peratusan keluar mengundi yang rendah, terutamanya pada musim tengkujuh ini, akan membantu mereka merampas semula Putrajaya selepas kalah dalam pilihan raya umum pada 2018.

Umno masih menggunakan rentak kemenangan dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor sebagai contoh di mana peratusan keluar mengundi yang rendah membantu parti itu merampas dua negeri itu daripada Pakatan Harapan.

Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar berkata peratusan keluar mengundi yang rendah membantu BN di Johor dan Melaka sambil menambah gabungan itu berharap senario yang sama akan berulang jika pilihan raya diadakan tahun ini.

Hisomuddin berkata faktor lain yang dipertimbangkan Umno ialah rasa tidak puas hati di kalangan parti pembangkang.

“Umno menggunakan teori yang sama, dengan mengadakan pilihan raya secepat mungkin terutama pada musim tengkujuh, di mana parti itu boleh menang seperti apa yang berlaku di Melaka dan Johor.

“Pengundi pada masa itu tidak peduli dengan politik kerana mereka sudah penat dengan situasi politik.

“Mereka tidak keluar mengundi dan Umno menang kerana peratusan keluar mengundi yang rendah.

“Selain itu, Umno tahu pembangkang lemah. Mereka tidak boleh membiarkan mereka bersatu semula dan mengumpulkan kekuatan. Lebih lama mereka menunggu, lebih banyak masalah yang mereka akan hadapi dan lebih sukar untuk mereka menang,” katanya.

Hisomuddin menambah pembangkang sukar untuk membuat persediaan sekiranya pilihan raya diadakan tahun ini kerana banyak perkara lain yang perlu diselaraskan.

“PH masih berunding dengan Muda. Bersatu dan PAS juga belum jelas mengenai pembahagian kerusi. PH dan PN memerlukan lebih masa untuk meyakinkan pengundi terutama yang mengundi PH pada 2020,” katanya.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, Malaysia akan mengadakan PRU15 sebaik sahaja Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan pembubaran Parlimen dijangka berlaku pada pertengahan Oktober dengan PRU15 berkemungkinan diadakan pada November.

Mesyuarat Parlimen dijadualkan bermula esok hingga 29 November, dengan Bajet 2023 akan dibentangkan pada Jumaat. Namun, desas-desus mengatakan Parlimen akan dibubarkan seawal 12 Oktober.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata ketika ada yang mungkin mengatakan Umno boleh kalah jika pilihan raya diadakan semasa banjir, namun risiko parti itu kalah adalah minimum kerana pengundi mungkin memboikot.

“Mereka masih beranggapan rakyat tidak berminat dengan politik seperti yang berlaku di Melaka dan Johor. Sebab itu mereka mendesak pilihan raya tahun ini tanpa mengira cuaca. Semakin lama mereka menunggu, semakin kecil peluang mereka untuk menang.”

Mereka perlu melakukannya sekarang apabila segala-galanya menunjukkan parti itu akan menang. Bukan kerana pembangkang tidak kuat, tetapi mereka tidak bersatu dan pengundi mungkin tidak mengundi jika cuaca buruk.

“Mereka tidak akan mengundi sebagai tanda protes terhadap BN tetapi mereka hanya akan memboikot pilihan raya secara keseluruhan yang merupakan kelebihan kepada BN,” kata Mazlan.

Minggu lalu, ketua pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengadakan PRU15 tahun depan bagi memastikan ia tidak membebankan orang ramai.

Presiden PKR itu berkata, beliau bimbang dengan kemungkinan banjir akan menjejaskan pilihan raya jika ia diadakan tahun ini, sambil menambah PRU15 perlu diadakan apabila semuanya terkawal.

Ulasan Anwar itu dibuat selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan keikhlasan pembangkang yang membangkitkan kebimbangan mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh.

Zahid berkata keadaan banjir yang tidak menentu adalah alasan yang baik untuk mengadakan PRU15 sekarang supaya kebajikan rakyat dapat dijaga kerajaan yang lebih kuat dan stabil. – 2 Oktober, 2022.

 AWAS

GEROMBOLAN

AKAN MENANG

BESAR

AMIN

PEGUAM NEGARA

KETUA HAKIM

PERSEMPADAN

SEMULA

SEMUA INI BOLEH

DISUSUN

KEMBALI

AMIN

KEMAH KOCIK

BAWA BALA

KEMAH BOSA

TOLAK BALA

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: