Pengundi teruja DAP umum Young Syefura tanding Bentong
RATA-RATA pengundi Bentong teruja kerana DAP mengumumkan penyandang kerusi DUN Ketari Young Syefura Othman sebagai calon kawasan itu bagi pilihan raya umum 19 November.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, ia menepati citarasa mereka yang berharap dapat memilih calon baharu yang diyakini boleh menjaga kebajikan mereka di kawasan itu.
Bekas pesuruhjaya sumpah, Ow Wan Sang, 75, berkata calon muda seperti Young Syefura Othman antara tokoh yang mendapat perhatian pengundi sekarang.
“Young yang juga kami panggil sebagai YB Rara ini bukan sahaja muda, tetapi rajin. Sejak beliau menjadi Adun, beliau sudah buktikan yang dia boleh diharap.
“Beliau rajin turun padang, tidak kira kebakaran, banjir, masalah longkang tersumbat memang dia akan turun padang dan bantu selesaikan dengan segera,” kata anak jati Bentong itu.
Ow yang berpengalaman melihat mutu perkhidmatan BN sejak sekian lama berkata beliau dapat memerhatikan perbezaan apabila DAP merampas kerusi tersebut pada penggal lalu.
Beliau berharap Young Syefura dapat berkhidmat lebih baik berbanding penyandang kerusi itu, Wong Tack yang menurutnya jarang dapat ditemui.
“(Penyandang kerusi) Bentong, Wong Tack jarang dilihat di pejabatnya selain jarang bersuara di parlimen. Rakyat sudah lama memerhati tetapi YB Rara ini memang selalu kelihatan di pejabatnya.
“Pengalaman diri sendiri, saya mendapat bantuan yang diberikan kerajaan pusat dengan cepat disebabkan bantuan pemimpin muda itu.
“Disebabkan itu, saya lebih mahukan pemimpin muda seperti YB Rara untuk menjadi ahli parlimen Bentong ini,” katanya.
Seorang pengundi kali pertama, pekerja kedai serbaneka Nur Alia Abdullah, 21, berkata pemimpin muda seperti Rara merupakan calon kegemaran pengundi muda sepertinya.
“Pengundi muda seperti saya semestinya mahukan muka baru, ini bukan sahaja di Bentong tetapi juga kehendak ramai rakan-rakan sebaya dengan saya.
“Saya teruja juga apabila Rara dicalonkan sebagai wakil DAP untuk parlimen Bentong.
“Dia cantik, rajin, pantas beri bantuan malah masalah longkang tersumbat diselesaikannya dengan segera. Sebelum itu kami buat aduan selama tiga kali pun tidak selesai,” katanya.
Kata Nur Alia, pemimpin muda diyakini lebih bertenaga dan kurang terdedah kepada jenayah rasuah selain boleh membawa pembaharuan kepada parlimen Bentong.
Keperibadian calon lebih penting
Seorang pemilik kedai basikal di pekan Bentong, Kong Moon Sin pula berkata, beliau lebih tertarik kepada keperibadian Young Syefura berbanding Wong walau kedua-duanya mewakili DAP.
“Sebagai contoh bekas ahli parlimen, Wong Tack dan Rara adalah daripada parti yang sama tetapi dari segi keperibadian yang senang didekati rakyat, Rara akan menjadi pilihan saya.
“Calon yang mempunyai akhlak baik, bebas rasuah, mesra rakyat dan rajin semestinya pilihan kami, tidak kira dia dari parti yang sama,” kata Kong, 50.
Pendapat yang sama dikongsi pengundi muda, Phoon Zsi Kei, 19, yang mahu calon yang dipilih dapat melaksana manifesto dan janji parti.
“Siapa yang akan melaksanakannya di kawasan masing-masing? Calon itu sendiri demi kebaikan dan kebajikan rakyat yang memilihnya.
“Jadi, calon yang bersih (bebas rasuah) dan jika boleh muda diperlukan,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan bersama keluarganya.
Kata Phoon, ahli Parlimen baru yang akan memenangi kerusi perlu diyakini dapat membawa pembaharuan dan kemajuan ke kawasan itu.
Suri rumah, Masdira Rasuhaidi, 25, turut berharap pemimpin yang mengambil berat kebajikan pengundi akan menjadi pilihannya tidak kira dari mana-mana parti yang diwakilinya.
“Bagi saya, pemimpin itu perlu ambil berat kepada kebajikan rakyat kawasan ini. Tidak kira DAP, Barisan Nasional, bebas mahupun PAS.
“Kalau rakyat ada masalah kena laju turun padang, terutamanya ketika musibah seperti banjir dan kebakaran.
“Selain itu, pemimpin itu perlu rajin menjalankan aktiviti bersama rakyat bagi menjalin silaturrahim dan lebih mesra didekati rakyat,” katanya.
Pemimpin bawa kemajuan
Seorang lagi pengundi, Mohd Syahriman Sa’ari, 36, pula melihat langkah DAP menampilkan Young Syefura akan memberi kelebihan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya pengundi Melayu.
Data PRU14 menunjukkan pengundi Melayu membentuk kumpulan pemilih terbesar, kira-kira 46% dari sejumlah lebih 67,000 pengundi Bentong, diikuti Cina 42% dan India kira-kira 9%.
Angka itu dijangka berubah dalam PRU kali ini selepas mengambil kira pengundi yang didaftarkan secara automatik berusia 18 tahun.
Mengulas lanjut, pekerja hotel itu juga berharap calon muda tersebut tidak akan mempermainkan janjinya pada mereka kelak.
“Calon baru tidak semestinya muka yang tidak dikenali, seperti Rara memang dikenali sebagai Adun Ketari tetapi baru untuk parlimen Bentong.
“Orang sepertinya diyakini akan membawa kemajuan di sini. Saya yakin pemimpin muda akan menarik pengundi baru dan juga veteran yang sudah malas dengan pemimpin kuat main wayang.”
Ketika ditanya mengenai pembangunan yang diharapkan, Mohd Syahriman berkata Bentong yang kini menjadi lokasi tarikan pelancong perlu dimajukan seiring dengan bandar-bandar lain.
“Kami masih ada pusat beli belah yang terbengkalai di dalam pekan, cawangan restoran makanan segera perlu dipelbagaikan dan tempat letak kereta perlu ditambah di pekan ini.
“Apabila ada banyak kemudahan baru, lebih banyak entiti perniagaan akan membuka cawangan di sini selain penambahan peluang pekerjaan kepada rakyat Bentong sendiri,” katanya.
Pencalonan Young Syefura untuk kerusi Bentong diumumkan setiausaha agung yang menyifatkannya langkah strategik untuk menjamin masa depan DAP sebagai parti pelbagai bangsa.
Young Syefura dijangka bertembung bekas presiden MCA, Liow Tiong Lai yang juga bekas menteri sebagai calon BN di kerusi terbabit.
Liow dan seorang calon dari PAS ditewaskan Wong dengan majoriti kira-kira 2,000 undi dalam PRU14.
Wong yang digugurkan dari kerusi tersebut ditawarkan bertanding di kerusi Cameron Highlands tetapi menolak dan dilaporkan akan terus bertanding sebagai calon Bebas di Bentong. – 4 November, 2022.
2 ulasan:
Gwa tak penah ngundi ..gwa ingat ini kali gwa nak ke BENTONG ..ngundi kat sana ..
amboi lu tt
dah 2x gwa perati lu asyik puji puja yb rara ni.
hang kena ingat tt yang hang presiden gagalist. yb rara pula naib presiden.
puja puji berlebihan akan menyebabkan hang ditendang keluar daripada senarai gagalist.
amin.
Catat Ulasan