Rabu, 21 Disember 2022

MANGSA DI TEMUI LAGI

Satu lagi mayat ditemukan, jumlah korban tanah runtuh kini 26

SATU lagi mayat mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali ditemukan hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat tragedi itu kini adalah 26. 

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam kenyataan di laman Facebook yang memetik sumber Pusat Pengurusan Operasi JBPM berkata satu mayat lelaki dewasa ditemukan pada pukul 11.16 pagi di sektor B (kem Farmview).

Kenderaan yang membawa mayat itu dilihat keluar dari lokasi pencarian pada kira-kira pukul 11.57 pagi.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang adalah tujuh, manakala 61 selamat, daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat lepas.

JBPM hari ini memaklumkan pasukan mencari dan penyelamat akan membuat penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa di kawasan kejadian selepas mengambil kira penemuan mangsa ke-25 semalam yang dijumpai pada kedalaman “luar jangkaan” iaitu kira-kira 17 meter di sektor C (Riverside).

Dalam sidang media di lokasi kejadian, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira satu setengah meter dalam keadaan berpelukan bersama seekor anjing di sektor berkenaan.

Pasukan penyelamat turut menemukan seekor lagi anjing berhampiran kawasan itu. 

“Kemungkinan besar dia (mangsa) berkhemah di sektor A (Hillview), dibawa oleh tanah runtuh itu pergi ke sektor B (Farmview).

“Maknanya kawasan Sektor B ini saya percaya semua mangsa sudah tiada di situ, jadi kita akan tumpu kepada sektor C dan A, “ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Dua ekor anjing (bangkai) ditemukan bersama mayat berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya. – Bernama, 21 Disember, 2022.

AL-FATIHAH

AMIN

Tiada ulasan: