KENTUT DAN
BERAK LEMBU
Jangan ketawa kalau saya nyatakan disini bahawa kentut, sendawa dan berak lembu adalah salah satu penyebab pemanasan global.
Bunyinya lawak tapi ini adalah fakta.
Saya faham kenapa apa yang saya tulis ini dibaca lawak. Pertama jika memandang di keliling kampung kita nampak 7 ekor lembu milik Lebai Ramli merayau dalam sawah. Atau atau 5 ekor lembu Gurbak Singh yang susunya di jual untuk orang sekampung.
Apakah kentut lembu-lembu ini mengakibatkan dunia semakin panas , cuaca berubah dan mengakibat Taman Seri Muda di landa banjir.
Jawabnya ada betul ada salah.
Lembu-lembu dalam kampung di negara kita ini amat kecil jumlahnya. Ianya tidak ramai berbanding dengan ladang lembu daging di Argentina. Di Argentina ada ratusan ribu lembu meragut dalam satu padang rumput.
Atau, ada ribuan lembu susu di Australia, New Zealand atau di Belanda atau di United Kingdom. Lembu ini bukan sekandang. Ini bukan 5 ekor lembu susu Gurbak Singh. Ini kilang susu untuk pasaran dunia.
Lembu seperti kambing dan zirafah mengunyah daun dan rumput. Proses penghadaman rumput yang dikunyah oleh lembu ini melahirkan gas karbon dan methane.
Fakta kajian menunjukkan industri lembu – kentut dan berak lembu - menyumbang 14.5% jumlah gas yang mewujudkan kepanasan rumah hijau. Gas ini lebih 25% lebih kuat dalam hal pemanasan dari karbon dioksida.
Satu lagi penyumbang kepada gas pemanasan global ialah penanaman padi di Asia Tenggara. Ini termasuk juga Jelapang Padi Malaysia di Kedah. Industri padi menyumbang 10% pengeluaran methane dunia.
Pembakaran jerami dan sekam padi mengeluarkan gas. Cara pembajaan yang menggunakan baja nitrogen mengeluarkan gas nitrous oxide yang masuk ke ruang udara.
Hari ini 50 bilion tan karbon masuk ke atmosfera semenjak 50 tahun ini.
Secara natural karbon muncul dari tumbuhan. Proses fotosintesis di mana cahaya mata hari, karbon dan air mewujudkan oxygen untuk menjadi bahan makan kepada tumbuhan. Bahan-bahan dari tumbuhan ini menjadi makanan untuk umat manusia.
Dari mana tertiba datang 50 bilion tan karbon hingga merosakkan imbangan karbon di dunia ini ? Bagaimana karbon bertambah ?
Hutan ditebang untuk pertanian. Ini pemusnahan gudang oxygen. Proses fotosintesis tidak lagi seimbang bila hutan berkurangan.
Matahari membakar permukaan bumi yang kini tanpa pokok dan hutan. Laut jadi panas dan berwap. Air laut yang panas mencairkan salji.
Dua ratus tahun dahulu sebelum Revolusi Industri bermula salji di Kutub Utara, Selatan dan di pergunungan berperanan menerima pancaran sinar dan menyerap cahaya matahari. Proses ini berjalan dengan baik dan seimbang.
Satu ketika dulu permafrost – lapisan air beku yang nipis wujud di Siberia, di Greenland, di Canada dan di Alaska. Kini telah cair dan lupus.
Ganggu gugat ini pertama datang bila kereta sampai. Asap kereta muncul hasil dari pembakaran minyak. Pembakaran tenaga fosil – ini memanaskan lagi atmosfera.
Asap kereta naik ke atmosfera. Bayangkan berapa bilion kereta bergerak saban hari. Bayangkan berapa tan gas naik ke udara setiap hari tanpa henti-henti.
Manakala di udara pembakaran minyak kapal terbang menambah lagi jumlah karbon.
Untuk menjana kuasa elektrik arang batu telah di bakar. Arang batu adalah tenaga fosil. Minyak petrol ialah tenaga fosil yang cair manakala arang batu adalah tenaga fosil yang beku.
Pembakaran tenaga fosil ini menyumbang 2/3 dari 50 bilion tan gas karbon.
Saya perlu mengulang menulis perkara yang sama beberapa kali. Saya terus berleter menyatakan dampak atau kesan dari perubahan iklim ini kepada pembaca.
Air laut naik, pulau tenggelam, panas terik boleh membakar hutan, malapetaka banjir datang melanda. Ini semua hasil pemanasan global.
Lihat pengalaman banjir tahun lalu di Pakistan. Air belum surut dan belum kering tertiba Pakistan di serang penyakit cholera. Ribuan mati kerana tenggelam dan puluhan mati kerana air minuman kotor.
Kita sendiri telah menyaksikan Taman Sri Muda Tenggelam. Kita telah melihat mayat diangkat keluar dari tanah runtuh di Batang Kali. Semua ini adalah kesan perubahan iklim yang wajib dijadikan pengajaran.
Dari kajian para saintis karbon yang diwujudkan sekarang hasil dari tindak tanduk manusia adalah 250 kali ganda lebih cepat berbanding dari zaman air batu 25,000 tahun dahulu.
Selain dari banjir dan runtuh rantah – ianya juga akan menimbulkan masalah kekurangan makanan. Sawah padi atau ladang gandum tenggelam bila banjir melanda.
Bila kemarau sampai panen gagal. Makanan tidak cukup. Bila makanan tidak cukup masalah politik dan sosial muncul. Kerajaan jatuh. Masyarakat kacau bilau.
Banjir dan kemarau menimbulkan keadaan socio-politik yang menakutkan.
Somalia, Sudan dan Ethiopia adalah contoh terbaik di mana pemanasan global dan perubahan iklim menimbulkan masalah sosial dan politik.
Di wilayah-wilayah dalam negara Afrika ini kumpulan ekstremis agama lahir. Kelaparan dan kebuluran menjadi tangguk yang baik untuk merekrut tenaga untuk melakukan keganasan.
Saya telah menulis penyebab pemanasan global. Saya telah menulis kesan perubahan iklim terhadap kita semua,. Saya telah menulis bahawa kita dalam keadaan amat bahaya.
Dalam masa 3 tahun ini jika kita tidak melakukan atau dapat menahan kenaikan 2C suhu bumi ini maka kita akan menjuju kiamat.
Ini tajuk berita dari laporan Associated Press pada 16/2/2023 : Rising seas are a ‘death sentence’ for some nations and will shake ‘mega-cities on every continent,’ UN chief says.
“Our world is hurtling past the 1.5-degree warming limit that a livable future requires, ...........” Guterres said. The consequences are unthinkable, Guterres said.
Ini isi berita : ‘ Dunia kita semakin melepasi had pemanasan 1.5 darjah yang diperlukan oleh masa depan yang membolehkan manusia hidup dalam dunia , dan dengan dasar semasa, semakin meningkat ke arah 2.8 darjah - hukuman mati bagi negara yang terdedah," Akibatnya tidak dapat difikirkan, kata Guterres
Ini amaran Antonio Guterres Setia Usaha Agong Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). Ini bukan kali pertama Guterres berkata perkara yang sama.
Dalam Perdiangan COP26 di Sham el-Sheikh di Mesir pada 6-18 November 2022 yang lalu Ketua PBB ini telah memberi amaran yang sama
Sama seperti saya Setia Usaha PBB ini terus mengulang ingatan dan memberi amaran agar kita semua – umat manusia - sedar bahawa dari sekarang kita wajib bertindak dan melakukan sesuatu.
Kata-kata bijak berfalsafah dari Chief Seattle ( 1766-1866) suku bangsa Suquamish Dayak Amerika wajib menjadi pegangan kita.
Chief Seattle berkata : Kita bukan mewarisi bumi ini – kita meminjam dari anak cucuk kita.
Hishamuddin Rais ingin menambah : Kita hanya ada satu bumi yang kita pinjam justeru jagalah baik-baik.
Saya menulis dan menggambarkan perubahan iklim ini yang akan membawa dunia ke alam yang maha gelap.
Banjir dan kemarau disana sini. Binatang ternakan mati, ayam lembu itik mati tak cukup air. Tumbuhan , kayu kayan, ulat serangga makin pupus. Kebakaran dan keruntuhan di sana sini. Penyakit berjangkit merebak luas kerana air kotor atau kerana tidak berair.
Kota, pekan , kampung dan pulau mula tenggelam. Projek seperti menambak pantai di Pulau Pinang dan projek Forest City di Johor akan tenggelam.
Apakah tidak ada jalan keluar ?
Untuk saya pasti ada jalan keluar kerana kita manusia. Manusia ada fikiran. Sebelum berfikir untuk bertindak perlu ada pencerahan. Perlu faham apa yang sedang dihadapi.
Apa yang sedang saya lakukan ini ialah memberi pencerahan. Memberi kesedaran kepada seramai yang mungkin. Tujuannya untuk meminta pembaca sedar agar mengambil tindakan.
Pertama : ganti bal lampu biasa rumah kita ke lampu kalimantang yang canggih. Ini menyelamat 150 pound karbon setahun.
Ke dua : kurangkan berkereta. Mana boleh naik bas kita naik bas atau LRT. Budayakan penggunaan pengangkutan awam. Pengangkutan awam bas, LRT bukan hanya untuk Bangla.
Jika boleh berbasikal kita berbasikal. Mengurang karbon dan menambah sihat.
Ketiga : selalu pastikan tayar kereta kita dalam keadaan baik. Tayar yang baik mengurangkan pembakaran petrol.
Ke empat : Kurangkan mandi air panas. Mandi air sejuk. Kurang pembakaran gas.
Ke lima : Kurangkan mengguna beg plastik. Ke pasar bawa beg sendiri. Bawa mangkuk tingkat sendiri. Bawa uncang sendiri.
Ke enam : Nampak tanah lapang tanam pokok. Bila melintas kawasan hutan taburkan benih durian, rambutan atau benih apa saja di tepi jalan raya ketika memandu pulang ke kampung dan agar pokok-pokok tumbuh.
Apa yang saya tulis ini mungkin dilihat romantik. Membaling biji ke hutan akan dianggap kurang akal.
Kalau Hishamuddin Rais menyembah pokok besar di tepi jalan seorang diri saya akan dianggap gila. Tapi kalau ribuan dan jutaan orang berbuat sama maka ianya dipanggil agama.
Apakah ini sahaja akan dapat menyelesaikan masalah perubahan iklim. Kalau ini sahaja semua boleh kau tim – sap sap sui. Enteng dan mudah.
Sabar dulu ini hanya permulaan. Ini kuliah 101. Ada lagi tahap yang lebih tinggi. Tahap kolektif kita sesama kita. Sila tunggu. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/428584
Tiada ulasan:
Catat Ulasan