Rabu, 22 Mac 2023

PETI PERANG


PETI PERANG

 
Apa itu perang ? Perang berlaku  apabila dua kumpulan  yang bertelagah duduk di meja berunding dan berbincang  untuk mencari jalan penyelesaian tapi  gagal. 

Perang sebenarnya ialah penerusan perbincangan melalui penggunaan senjata.
 
Vladimir  Putin  seawal  2008 telah  berkata: NATO jangan sampai  ke hadapan pintu rumah Rusia.  Ukraine jangan jadi anggota NATO ini mengancam keselamatan Rusia.
 
Ini keluar dari mulut Putin. Ucapan dan kata-kata Presiden Rusia ini telah  didengar oleh  Presiden Amerika  -  Barack Obama, Trump dan Biden . Kesemua mereka tidak ambil peduli dengan  kata-kata Putin ini. Akhirnya perang pecah di Ukraine.
 
Perang memerlukan dana. Untuk membuat bom, senapang, peluru, meriam atau jet pejuang atau membayar gaji  soldadu memerlukan dana.
 
Kos perang amat mahal. Dibayar dengan  darah, nyawa dan wang ringgit.
 
Pilihan raya juga adalah perang. Pilihan raya juga berniat untuk merampas kuasa.  Menjatuhkan yang lama dan mendirikan yang baru.
 
Perang PRU  tanpa  menggunakan senjata. Tidak ada yang mati dan tidak ada letupan bom. Yang kalah perang PRU jatuh miskin, susah dan merana.

Silap hari bulan jika kalah perang PRU boleh berjumpa Najib di Kajang.
 
Justeru ketika PRU berjalan kita terbaca tajuk berita : Perang  Poster atau Perang Kain Rentang  atau Perang Sarap. Unsur dan ciri perang bersenjata wujud dalam perang PRU.
 
Sama seperti perang senjata perang pilihanraya juga memerlukan dana. Untuk menang perang bersenjata memerlukan dana yang banyak. Untuk menang perang pilihan raya juga memerlukan dana yang lumayan
 
Dari dua genre  perang ini maka  timbul konsep war chest atau peti perang. War chest atau peti perang ini adalah simpanan pengumpulan dana.  Dalam peti perang ada  duit, emas, dinar, ringgit dan dolar  yang diperlukan untuk berperang
 
Pendakwaan Muhyidin, pendakwaan Wan Saiful dan penahanan  kali ke dua Datuk Roy oleh SPRM semuanya  bersangkutan dengan peti perang.
 
Dari apa yang umum membaca kita diberitahu bagaimana dana untuk parti  di cari dan dana ini di salur untuk masuk ke  dalam peti perang.
 
Dana untuk parti ini bertujuan untuk persediaan perang.  Parti politik tanpa dana tidak mungkin akan memenangi kerusi Adun atau Parlimen.  Parti-parti kecil tanpa modal amat susah dan hampir mustahil untuk menang.
 
Pada awal tahun 1955 - sebelum  Inggeris menyerahkan kuasa pada United Malays National Organisation parti politik berjuang tanpa dana yang  lumayan. Malah ketika  ini pemimpin nasionalis  anti Inggeris menjalankan dasar perang rakyat.

Perang rakyat perang yang popular yang mendapat sokongan orang ramai. Dalam perjuangan anti Inggeris ini dana datang dari saku  rakyat.
 
Semangat perjuangan perang rakyat ini telah memungkinkan  ada dana sokongan sampai ke  Parti Rakyat, Parti Buruh dan ke PMIP ( Parti Islam). Ini membolehkan parti-parti ini memenangi beberapa kerusi DUN dan Parlimen dalam PRU 1 , 2. 3 dan 4. 

Malah calon bebas juga ada yang menang.
 
Manakala United Malays National Organisation  dapat juga  sokongan rakyat tapi di belakang parti ini ialah kuasa  kolonial , kuasa feudal dan dana dari para cukong.
 
Hakikatnya budaya peti perang telah wujud seawal tahun 1955.
 
Masa dan kuasa membawa perubahan. Sedikit demi sedikit  budaya  politik pasca-kolonial berubah.  Dari PRU1 sehingga ke PRU15 kelihatan peti perang memainkan peranan yang amat penting.  Saban tahun dana untuk peti perang wajib di per besarkan.

Mengumpul dana peti perang dirancang lebih awal. Pengalaman telah mendidik  aktivis dan pemimpin  parti : 
Takda fulus semua tak lulus.
Takda duit berkempen perit.
 
Sering kita dengar politikus berkata : Berkempen dengan air liur tidak mencukupi dan tidak membawa undi.
 
Hakikatnya dalam budaya politik pilihan raya hari ini  mana-mana  parti politik tanpa peti perang jangan nak hidu bau kerusi  Dun atau Parlimen.
 
Ini  budaya  politik baru pasca zaman penjajahan. Ini budaya politik elektoral atau politik mengundi. Inilah amalan  budaya politik kita sekarang.
 
Apa yang kita baca bersangkutan dengan kes Muhyidin ini bukan satu yang baru atau  pelik. Cara parti politik mengisi parti perang ini telah diketahui umum.
 
PRU adalah peperangan untuk mendapat kuasa.  Untuk mendapat kuasa perlu dana. Tanpa dana dalam elektoral politik  kuasa tidak akan tercapai.

Untuk parti politik  seperti United Malays National Organisation dan gabungan dalam Barisan Nasional perkara dana cukup senang. Sebagai parti yang berkuasa  ramai sosok, ahli perniagaan, syarikat perniagaan dan para cukong datang menghulur dana.

Mustahil Tuan Haji Hadi tidak mengetahui hal ini. Mustahil Anwar dan Muhyidin tidak pernah mendengar perkara ini.

Jika tiga sosok ini mengatakan bahawa mereka tidak tahu menahu cara  mengumpul peti perang ini  maka ertinya  Bik Mama masih anak dara dan Lady Diana masih hidup.

Cara mengumpul dana ini amat senang. Sebagai contoh : Usahawan  Ah Kong beri dana  pada   Zahid Presiden United  Malays National Organisation. Dana ini bukan masuk ke bank akaun Zahid tapi masuk ke dalam  Yayasan Budi Pekerti.

Sebagai contoh : Swee Chin Wan pemilik syarikat Empat Ekor beri duit kepada  PKR. Duit tidak masuk ke akaun Anwar. Masuk ke Yayasan Gerak Berbakti. 

Sebagai contoh : Cukong Tan Kai Koon beri dana kepada Muhyidin. Bukan masuk ke akaun Muhyidin tapi masuk ke akaun Bersatu. 

Sebagai Contoh : Tuan Haji Hadi terima duit dari Lim Cho Tong  peniaga  dari Singapura. Duit ini untuk Parti Pas.  Tidak masuk ke akaun Hadi tapi masuk ke Yayasan Al- Kopiah.

Dana yang diberi kepada parti politik ini  semuanya pelaburan. Sebagai pelaburan dari syarikat atau towkay , usahawan atau para cukong – pelaburan wajib bawa keuntungan.  Modal pelaburan mereka wajib membawa laba berganda. Jika tidak – tidak  ada guna melabur.  

Kaum pemodal mencari untung. Di mana  boleh dapat untung disana mereka berhimpun. Ini hukum budaya kapitalis. 

Zahid yang ada  berkuasa dengan baik hati meluluskan kontrak Bank VISA kepada Ah Kong. 

Muhyidin juga dengan bermurah  hati memberi Tan Kai  Koon  kontrak 7G  untuk membuat pembetung air.

Anwar Ibrahim pula melulus lesen import  telor masin dari India kepada Swee Chin Wan

Hadi dengan hati terbuka memberi ban balak di Kelantan kepada syarikat balak milik Lim Cho Tong dari Singapura.

Semua ini adalah contoh. Semua ini  hanya misalan. Contoh-contoh ini bukan benar berlaku. Yang benar, yang betul dan yang sahih  apabila kita mendengar Zahid, Hadi, Anwar atau Muhyidin di tangkap dan di dakwa di mahkamah.

Seyogia diingatkan  bukan semua dana ini masuk melalui bank. Banyak juga duit masuk secara tunai.

Pada 23/5/2018 portal MStar melaporkan:  Hampir RM120 juta ditemui selepas pasukan penyiasat selesai mengira wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dirampas dari Pavilion Residences pada minggu lalu.

Jumlah 120 juta yang dijumpai di rumah Najib boleh dikatakan kecil. Peti perang wajib di isi lebih dari  120 juta ringgit.

Justeru kita jangan terperanjat apabila Muhyidin dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima duit untuk Bersatu. Duit ini untuk peti perang.

Kita juga jangan terperanjat apabila  Hamzah atau Muhyidin mahu akaun PKR dan akaun United Malays National Organisation di pereka sama. 

Kenyataan dari pemimpin Bersatu ini  membuktikan  bahawa mereka juga tahu  bahawa duit  ada  masuk ke dalam peti perang parti Zahid dan parti Anwar.

Malah kita juga jangan lupa sejarah Si Muhyidin, Si Anwar, Si Hamzah – semuanya mengeram dan menetas dari parti pengamal rasuah numero uno di Malaysia i.e Parti Ketuanan. Melayu yang menggunakan   nama Inggeris -  United Malays National  Organisation.

Mereka berasal usul dari kepok yang sama.

Peti perang ini akan terus wujud. Ini sistem dan budaya elektoral politik.  Kalau tidak ada dana jangan masuk perang PRU.

Dari desas desus yang di dengar dana yang diperlukan dalam perang PRU ini bukan lagi ribu ribu, bukan lagi juta juta – kini dah masuk bilion bilion ringgit.

Poster, bendera,  kayu bendera,  duit kenduri makan minum, duit upah pekerja, duit minyak – semua perlu dana. Semua bala tentera perlu upah. 

Dalam masa yang sama di beberapa kampung  undi perlu di beli. Pengundi perlu disogok dengan beras , susu, kasut ban baju sekolah,  gula dan sardin. Tidak cukup dengan ini wajib  ada duit poket untuk tambang dan duit minyak.

Ketika berkempen penyalur propaganda bukan lagi Tv3, RTM, Utusan, The Star atau  Sinar Harian. Dunia Internet membawa penyalur baru. Portal berita  menjadi penting.

Portal berita memerlukan dana.   

Malah dalam perang   PRU 15 yang lalu memunculkan satu rejimen baru – askar siber – cytro  atau cybertropper.  Askar  dari rejimen ini akan berperang  dengan musuh di alam siber.

Para cytro – soldadu siber akan  berperang di Tik Tok, di Instagrm, di Twitter, di Telegrm atau di Facebook.

Perang siber juga memerlukan dana.

Justeru apabila  Muhyidin di dakwa umum sedar bahawa ini jelas penyambungan perang PRU15  yang belum selesai.  Malah perang  PRU15 ini akan berpanjangan. 

Kes pemimpin Bersatu dan PAS  yang  umum baca, lihat dan dengar ini adalah gendang perang untuk PRN (Pilihan Raya Negeri ). Dalam bulan Mei,  Jun atau Julai perang enam negeri akan bermula.

Sebelum musuh dapat mengisi peti perang adalah bijak jika Jeneral dan Leftenan musuh didakwa dahulu. 

Peti perang musuh wajib dimusnahkan terlebih dahulu.   Amin. (TT)



TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/434159

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

patutla tanah melayu banyak bank. pelik tiap tiap tahun ratib ekonomi meleset, ekonomi jatuh bank makin banyak.