Jumaat, 5 Mei 2023

AMPUN KE TAK AMPUN


AMPUN KE 

TAK AMPUN


Heboh tentang hal pengampunan  Najib Razak. Pengampunan  Najib menjadi  perbualan nasional di Musim Raya.  Najib Razak yang telah dijatuhkan hukum 12 tahun penjara dalam  kes SRC  tahun lalu. 

Kini Najib seorang banduan dalam penjara Kajang. Berita tersebar sebelum bulan puasa malah  bila saja Najib masuk ke Kajang  berita dan desas desus banduan Najib ini  akan meminta ampun  telah tersebar.

Berita sebelum bulan puasa melaporkan Najib minta ampun  melalui usaha yang diurus oleh  United Malaya National Organisation. Maklumat dari laporan media ini merebak luas.

Berita ditambah dengan garam masala rempah ratus dan aji no moto. Pemerhati politik genre  bas mini dan genre  tik tok mula heboh memberi pandangan.

Malah ada berita yang melaporkan bahawa Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone    ini akan berhari raya di Jalan Duta bukan dalam sel  di Kajang. Amin.

Minta ampun ini bukan sesuatu yang baru. Najib bukan sosok pertama minta ampun. Dan Najib juga bukan sosok terakhir yang akan meminta ampun.

Ada beberapa perkara yang perlu di jelaskan kepada umum. Rakyat dan orang ramai kecil besar tua muda wajib mendapat pencerahan tentang : APA DIA PENGAMPUNAN.

Pada ketika ini perkara pengampunan ini dilihat kabur dan tidak jelas.  Justeru rakyat wajib di beri pencerahan tentang pengampunan.

Rakyat dan orang ramai  memiliki kepentingan untuk tahu seluk belok pengampunan. Pada ketika ini  agenda  pengampunan ini  seperti gerakan kongsi gelap.  Bergerak senyap-senyap  dengan tersusun  dan  tertiba meledak membawa berita.

Sistem pengampunan untuk pada banduan seperti Najib ini  bukan hanya wujud di Malaysia. Pelbagai negara dalam dunia ini  ada mengamalkan sistem pengampunan. Selagi ada hukuman, selagi ada pencuri,  selagi ada penjara – pengampunan akan  wujud.

Kesalahan telah dibuktikan di mahkamah. Hukuman telah ditetapkan oleh Tuan Hakim. Badan telah dimasukkan ke dalam penjara. Maka di sinilah muncul konsep minta ampun atas kesalahan yang telah di lakukan.

Badan yang salah minta  ampun dari pihak yang menghantar badan masuk ke penjara.

Dalam kes  sunglap  42 juta ringgit duit SRC  badan  itu ialah badan Najib Razak. 

Dalam sistem demokrasi Amerika dunia di beri tahu di akhir pentadbiran  sebuah pentadbiran  sama ada Republikan atau Demokrat  Sang Presiden berhak untuk memberi pengampunan.

Pengampunan di Amerika ada pelbagai bentuk.  Dari hukum mati jadi hukum penjara. Dari penjara panjang jadi penjara singkat. Dari penjara singkat boleh terus  ke perole.

Justeru kita membaca berita tentang  soldadu Chelsea Manning yang diampunkan oleh  Obama.  Soldadu ini didapati bersalah kerana membocorkan maklumat   sulit Perang Iraq kepada  Julian Assange pengendali Wikileaks.

Chelsea Manning di penjara 35 tahun.  Dia salah seorang yang diberi pengampunan oleh Obama Presiden dari Parti Demokrat  ketika Obama meninggalkan jawatan Presiden.  

Trump dari Parti Republikan  pula telah  mengampunkan  lima orang pegawai yang bekerja di Pejabat Presiden  termasuk   penasihat politiknya. Juga di ampun sama  ialah  Steve Bannon pakar strategi dan  ketua propaganda Trump.

Kita juga ada membaca berita pengampunan oleh Raja Siam. Agensi berita  Tass  12 Disember 2016 telah melaporkan bagaimana Raja Siam Maha Vijaralongkorn pada hari pertabalan telah memberi  pengampunan kepada  30,000 warga Siam yang duduk dalam penjara.

Orang tahanan OKU, banduan berpenyakit, banduan pesakit HIV, banduan yang diserang barah  atau sakit jiwa  semuanya diampunkan. Hanya perogol dan tokan dadah dinafikan pengampunan.

Kita juga ada membaca setiap kali di hari sambutan keputeraan Raja Siam akan ada penjenayah dari   dalam penjara yang akan dapat pengampunan.

Di Indonesia juga Pak Presiden ada budi bicara untuk memberi pengampunan kepada penjenayah yang meringkuk dalam penjara.

Portal berita CNN  Indonesia melaporkan pada 26 Disember 2019 warga Australia  Scott Rush telah menulis surat  kepada Presiden Jokowi. Dia minta ampun dari Presiden Jokowi. Warga Australia ini di penjara seumur hidup kerana menyeludup dadah heroin ke Bali.

Scott Rush ditangkap pada April 2005  ketika  berumur 19 tahun. Ketika dia menulis surat kepada Presiden Jokowi umurnya ialah 34 tahun.

Apa yang sama ialah semua banduan yang meminta ampun ini telah bertahun dalam penjara. Banduan-banduan ini adalah yang  telah menjalani  lebih setengah dari hukuman.  

Malah semua banduan yang minta ampun ini mengakui kesilapan, menyesal dan minta maaf  dan ingin berubah.

Hakikatnya  sistem memberi ampun  ini bukan satu yang  asing. Cara , bagaimana, apa kriteria  untuk banduan  di ampunkan di Amerika atau Siam atau Indonesia bukan pinggan nasi kita di Malaysia. Kita tidak perlu tahu pinggan nasi orang lain secara terperinci.

Pinggan nasi gulai ikan dan sambal tempoyak kita  tidak perlu dibandingkan dengan negara asing.  Disini kita makan maka  di sini kita basuh pinggan. Kita wajib tahu pinggan mangkuk dan dulang nasi kita sendiri.

Justeru masanya telah tiba untuk kita sebagai warga – yang berkepentingan ke atas negara kita  wajib di beri tahu secara detil  tentang sistem pengampunan yang berjalan di Malaysia.

Pertama : Rakyat dan orang ramai wajib diberi tahu siapa dan siapa yang menjadi anggota Lembaga pengampunan ini.

Nama ahli Lembaga ini wajib di ketahui umum. Bagaimana dan apa kriteria sosok-sosok ini menjadi anggota Lembaga ini.

Ini untuk membolehkan nama-nama dan sosok yang menggontai  Lembaga ini wajib di yakini oleh orang ramai.  

Ini untuk mengelak  timbulnya  desas desus dan segala macam cerita dongeng  yang memperlekeh kewibawaan  Lembaga ini.

Ketelusan wajib menjadi benteng Lembaga ini.

Ke dua :  Berapa kali dalam setahun Lembaga ini bermesyuarat.

Ke tiga : Di mana mesyuarat Lembaga ini di jalankan. Pasti bukan  di Old Town Cafe di Jalan Thambypillay Brickfeilds. Bukan  kerana cafe ini telah ditutup tapi tempat sedemikian tidak masuk akal.

Pertanyaan – bertemu di mana?

Ke empat : Apa ciri dan syarat yang diperlukan sebelum Sang Banduan boleh meminta  ampun.

Apakah Sang Banduan telah menjalani sebahagian dari hukuman ? Telah menjalani setengah hukuman , satu pertiga dari hukuman ?

Atau masuk sahaja ke Penjara Kajang esoknya Sang Banduan boleh minta ampun. Lusa  Lembaga pengampunan bersidang dan pada hari ke empat  Sang Banduan  di bebaskan dari  Penjara Kajang.

Ke lima : Siapa yang meminta ampun ?  Apakah Sang Banduan akan meminta melalui peguam? Apakah isteri, anak atau ibu bapa Banduan boleh mengajukan permintaan ampun ?

Kalau isteri boleh minta ampun – isteri pertama atau isteri ke dua? 

Dalam kes Najib dilaporkan United Malays National Organisation yang memohon ampun. Ini kerana Najib adalah bekas Presiden parti ini.

Apakah  organisasi politik   dibenarkan. Ini tidak jelas dan menimbulkan pelbagai syak wasangka. 

Ke enam:   Siapa yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga ini ?

Ke tujuh : Apa peranan  Yang Di Pertuan Agong ? Kenapa YDPA terlibat ?  Bagaimana keterlibatan  YDPA. 

Ke lapan : Apa peranan Perdana Menteri ? Dalam negara yang mengamalkan  Raja Berperlembagaan dan Berparlimen  YDPA hanya menerima nasihat dari Perdana Menteri. Apakah sama dalam Lembaga ini.

Ke sembilan :  Apa pula peranan Raja- Raja Melayu yang lain? Bolehkah minta ampun  dari mereka? 

Ke sepuluh : Bolehkah Sang Banduan meminta ampun dari Yang di Pertua Negara Melaka, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak ? 

Ke sebelas : Perkara percanggahan kepentingan – clash of intrest. Dalam kes  rayuan Najib telah di timbulkan perkara bagaimana  Tuan Hakim Nazlan dikatakan ada cacat kerana Tuan Hakim ini adalah juga penasihat kepada Bank yang menguruskan hal ehwal Syarikat SRC.

Maka apakah tidak ada percanggahan kepentingan  jika  Perdana Menteri Anwar Ibrahim duduk dalam Lembaga Pengampunan. Dalam masa yang sama Anwar memerlukan sokongan  Najib agar  parti United Malays National Organisation terus memasak Pakatan Harapan. 

Babak ini memerlukan  penjelasan.

Pasti telah ramai banduan yang telah menerima pengampunan dari YDPA atau dari Raja-Raja Melayu. Ini tidak dipersoalkan.

Apa yang diperlukan pada tahap ini ialah pencerahan tentang Lembaga Pengampunan ini.  Keperluan ini timbul kerana  kes  ada ke contoh : kes pengampunan Anwar Ibrahim.

Anwar didapati bersalah kerana meliwat Saiful Bukhari . Anwar di masukkan ke dalam penjara Sungai Buluh.

Bila Pakatan Harapan menang pada PRU 14 Anwar telah di bebaskan satelah menjalani hampir semua masa tahanan.

Pengampunan Anwar ini telah menimbulkan kontroversi. Ini ditimbulkan oleh  pelbagai pihak terutama yang memusuhi Anwar. 

Banyak persoalan ditimbulkan. Justeru dalam kes Najib ini pencerahan dan penerangan wajib di sampaikan kepada orang ramai.

Dalam kes  Lembaga Pengampunan ini timbul konsep budi bicara. 

Ini satu perkara yang wajib ditolak. Konsep ini tidak boleh dipakai. Konsep ini  menjemput salah guna kuasa. Konsep budi bicara ini  akan menjemput dan memangkin rasuah. 

Sebagai  contoh : Konsep budi bicara  seseorang itu diakui wujud kalau buah limau itu hak mutlak milik peribadi Abdul Mangkuk.  Atau hak mutlak milik Mak Bapak Abdul Mangkuk.  

Dalam kes limau Abdul Mangkuk  ini orang ramai tidak ada hak untuk mempertikaikan  malah tidak perlu  bertanya sebab musabab kenapa Abdul Mangkuk  memberikan buah limau itu kepada Minah Tembam. 

Ke mana buah limau itu pergi adalah mengikut  budi bicara Abdul Mangkuk. Amin

Dalam hal pengampunan banduan pasti kita memerlukan rujukan dan panduan.  Dalam kes Najib ini bukan saja rakyat Malaysia  memerlukan pencerahan dan mengetahui rujukan malah rakyat dunia juga wajib  berkongsi maklumat.

Ini kerana kes 12 tahun Najib masuk penjara telah menjadi tajuk berita CNN, BBC, NYT, ABC,   Fox TV dan berpuluh-puluh  media dunia. Najib Razak dengan bangganya telah  menjadi perbualan global. . Amin. 

Oppps... Sebelum terlupa. Selain dari penjara 12 tahun Najib juga di denda 210 juta ringgit. Untuk di ampun apakah Najib wajib bayar terlebih dahulu denda ? .(TT)

 
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/441051





1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rasanya najib blom bayar denda RM210 juta tu. Kalu dapat pengampunan bermakna tak perlu bayar denda RM210 juta? Misal kata dah bayar denda RM210 juta adakah dipulangkan kpd najib duit RM210 juta tu? Ada tak pengampunan bersyarat? Kalu ada bolehkah buat syarat pulangkan sumer duit yg dicuri baru boleh ampun. Las sekali kalu pemimpin lain curi jugak duit rakyat boleh tak pengampunan dijadikan precedent?