Shabery Cheek, Annuar Musa bakal tanding PRK Kemaman?
BEBERAPA nama pemimpin kanan parti disebut-sebut sebagai antara calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang bakal berlangsung pada 2 Disember.
Di kem Perikatan Nasional (PN), Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar antara calon diperkatakan untuk mewakili parti yang menguasai kerajaan negeri Terengganu itu, menurut sumber parti.
Di kem kerajaan perpaduan, veteran Barisan Nasional (BN) Terengganu Ahmad Shabery Cheek pula ditimbulkan sebagai antara calon untuk merampas semula kerusi tersebut.
Selain dua nama tersebut, pengerusi Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa juga antara nama yang dicadangkan untuk calon kerusi Parlimen Kemaman mewakili PAS.
Seorang pemimpin PAS negeri yang tidak mahu dinamakan mengesahkan ada cadangan mengetengahkan Ahmad Samsuri dan Annuar sebagai calon di Kemaman.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kedua-dua nama tersebut mampu berpotensi memberi keuntungan untuk menguatkan PN di Parlimen dan bagi merebut sokongan pengikut Umno.
“Meletakkan kedua-dua pemimpin itu lebih kepada strategi politik untuk menambah kekuatan suara pembangkang di Parlimen.
“Lagipun sasaran PAS adalah untuk mendapat kemenangan dengan majoriti besar. Jadi Samsuri adalah calon yang tepat.
“Begitu juga dengan Annuar, antara sebab nama beliau naik kerana pemimpin itu boleh menjadi nilai tambah kepada PAS terutama menarik sokongan pengundi putih Umno,” katanya.
Pemimpin kanan dalam struktur PAS negeri itu percaya jentera Umno akan menggerakkan seluruh kekuatan bagi merampas kerusi itu.
PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu yang membatalkan kemenangan penyandang Che Alias Hamid.
Keputusan itu dibuat selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya PAS di kawasan tersebut.
PAS tidak merayu keputusan itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seterusnya menetapkan PRK Kemaman berlangsung pada 2 Dis dengan 18 Nov ditetapkan sebagai hari penamaan calon.
Mengulas lanjut pemimpin PAS itu berkata akar umbi tidak akan mempunyai masalah untuk menyokong calon dari luar seperti Annuar jika itu yang diputuskan pimpinan tertinggi.
Tambahnya, Che Alias masih berpeluang menjadi Adun lantikan atau ke jawatan dalam badan kerajaan negeri sekiranya tidak tercalon semula.
““Tak ada masalah biarpun hakikatnya kalau ikut landskap politik Terengganu calon tempatan ini memang menjadi pilihan.
“Tapi kalau ia diputuskan pimpinan tertinggi akar umbi pasti akan menyokong. Cuma agak sukar ketepikan penyandang kerana pengaruh Che Alias di Kemaman juga amat kuat.
“Tapi yang saya dengar mungkin ada timbal balik dengan memberi jawatan lain seperti Adun lantikan atau anak syarikat kerajaan negeri (GLC),” katanya.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kemaman, Hanafiah Mat pula mengesahkan nama Che Alias tetap tersenarai sebagai bakal calon.
“Ya kita sudah hantar tiga nama kepada PAS negeri semua calon tempatan termasuk nama penyandang, Che Alias,” katanya.
Ditanya mengenai nama Ahmad Samsuri dan Annuar beliau berkata nama tersebut adalah cadangan daripada PAS Pusat.
“Kedua-dua nama itu adalah cadangan daripada PAS Pusat. Tapi kalau ikut proses keutamaan diberikan kepada PAS Kemaman untuk menghantar tiga nama pilihan calon,” katanya.
Di pihak BN, Umno Kemaman antara lain menyertakan Ahmad Shaberi dalam senarai tujuh nama yang dikemukakan untuk pertimbangan parti.
Sumber parti berkata nama pengerusi Felda itu dipertaruhkan kerana pemimpin tersebut diyakini dapat memberi cabaran sengit kepada PAS.
“Nama Ahmad Shabery antara yang teratas dan menjadi pilihan akar umbi. Namun beliau dikatakan tidak berminat untuk bertanding dalam PRK ini.
“Tapi tak tahulah macam mana keputusannya nanti. Selain itu nama yang menjadi pilihan termasuk nama ketua pemuda Kemaman, Zulkefli Abu Bakar,” kata sumber dalam Umno Terengganu.
Bekas menteri besar Ahmad Said juga pada awal disebut-sebut sebagai bakal calon namun jawatannya sebagai pengarah jentera pilihan raya BN bagi PRK itu menamatkan spekulasi tersebut.
Sumber itu berkata, Ahmad juga telah memulakan mesyuarat pertama bagi PRK Kemaman pada Ahad lepas.
“Ya mesyuarat bagi PRK Kemaman memang sudah diadakan pada Ahad lepas,” kata sumber itu lagi.
Pergerakan itu juga akur dengan keadaan yang menyukarkan Umno untuk memenangi kerusi Kemaman selepas PN menguasai semua kerusi Parlimen dan DUN Terengganu.
Bagaimanapun, mereka akan mengamalkan langkah yang membolehkan BN menang kerusi DUN Pelangai di Pahang dalam PRK yang berlangsung awal bulan ini.
“Bagi Umno faham agak mustahil untuk mendapat kemenangan dalam PRK ini.
“Namun sasaran kita adalah untuk mengurangkan undi majoriti PAS dan kita akan menggunakan strategi seperti di PRK Pelangai untuk di Kemaman,” katanya. – 29 Oktober, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan