Elak disaman polis ‘minta’ pelancong asing bayar RM100 di Langkawi
LANGKAWI – Belum reda isu anggota polis ‘menawarkan’ saman RM100 untuk penyelesaian kes trafik kepada pelancong pasangan warga United Kingdom (UK) di Perak, kini tular rakaman video insiden seumpama itu di Langkawi.
Rakaman video berdurasi dua minit 30 saat itu memaparkan sepasang pelancong dipercayai dari negara Eropah sedang bersiar-siar dengan menunggang motosikal di pulau peranginan tersebut tanpa menyebut di mana lokasi tepat kejadian itu berlaku.
Berikutan itu, mereka ditahan pihak polis setelah didapati penunggang motosikal terbabit tidak memakai topi keledar manakala pemboncengnya iaitu seorang wanita memakai topi keledar.
Bagaimanapun, wajah pelaku iaitu dipercayai anggota polis yang menahan pasangan pelancong berkenaan tidak ditunjukkan namun tindakannya meminta sejumlah wang bagi mengelak penunggang itu disaman atas kesalahan trafik sempat dirakam secara sembunyi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya mendapati video yang tular di media sosial sejak semalam telah dimuat naik di YouTube pada 10 November lalu.
Jelas beliau, berdasarkan siasatan awal pelancong asing itu tidak memakai topi keledar sebelum membuat pembayaran RM100 bagi elak dibawa ke balai polis dan disaman.
“Buat masa ini, kita sedang mengumpulkan maklumat mengenai butiran kejadian tersebut.
“Kita tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kes itu dan tindakan tegas menanti mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Shariman, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan