6 PATI gagal pulang ke Batam
KUALA LUMPUR – Enam disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia gagal meloloskan diri pulang ke negara asal melalui perairan Malaysia setelah ditahan Maritim Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, ketika aset Maritim Malaysia melakukan rondaan dan penguatkuasaan dalam Op Jaksa dan Op Tiris 3.0, terdapat sebuah bot fiber berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di perairan Tampok, Pontian sekitar jam 9.30 pagi semalam.
Bertindak dengan pantas bot fiber terbabit berjaya dipintas Maritim Malaysia di kedudukan 10 Batu Nautika dari Barat Daya Tampok, Pontian.
Hasil pemeriksaan menemukan enam lelaki disyaki PATI dalam lingkungan umur 26 hingga 42 tahun.
Tekong dan penumpang bot gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki negara ini.
Hasil siasatan lanjut mendapati kesemua yang ditahan cuba keluar dari perairan Malaysia dan menuju ke Batam.
Bot fiber bersama kesemua suspek dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya serta Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan keluar masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan