Khamis, 30 Mei 2024

IRAN - TIDAK ADA SABOTAJ !!!



Tiada bukti sabotaj dalam nahas helikoper Presiden Iran - Penyiasat Tentera

TEHRAN: Penyiasat tentera Iran tidak menemukan bukti mengenai sebarang letupan yang disebabkan oleh sabotaj atau serangan siber dalam nahas helikopter yang mengorbankan Presiden Ebrahim Raisi dan rombongannya bulan ini.

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan, Staf Am Angkatan Tentera Iran semalam mengeluarkan laporan kedua mengenai nahas pada 19 Mei itu, yang juga membunuh Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan lain-lain.

Menurut laporan itu, berdasarkan pensampelan dan ujian yang dijalankan ke atas bangkai dan bahagian helikopter serta corak taburan serpihan dari badan utama, berlakunya letupan yang disebabkan oleh sabotaj semasa penerbangan dan saat-saat sebelum impak dengan lereng gunung, telah dikecualikan.

Selain itu, penyiasat memeriksa dengan teliti sebahagian besar dokumen berkaitan penyelenggaraan helikopter itu dan tidak menemukan masalah yang dapat dikaitkan dengan kemalangan itu, menurut laporan itu.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa kapasiti helikopter dari segi beban standard maksimum yang boleh dibawa pada saat berlepas dan sepanjang laluan penerbangan serta laluan pulang adalah dalam "had yang dibenarkan."

Perbualan yang dirakam antara kru penerbangan menunjukkan bahawa hubungan terakhir dengan juruterbang sehingga saat kejadian dan ketika mereka berhenti menjawab berlangsung selama 69 saat, dan tiada pengisytiharan kecemasan direkodkan pada masa itu, tambahnya.

Penyiasat tentera juga menolak sebarang gangguan dalam sistem komunikasi atau gangguan frekuensi dengan helikopter.

Mereka mendedahkan bahawa semasa penerbangan dan sehingga 69 saat sebelum nahas, hubungan dengan pesawat telah dikekalkan pada frekuensi yang ditentukan.

Laporan itu seterusnya menyatakan bahawa tidak terdapat tanda-tanda serangan siber terhadap helikopter Presiden.

Staf Am yang mengeluarkan laporan awal mengenai insiden itu pada 24 Mei, menyatakan siasatan akan diteruskan sehingga punca utama nahas ditentukan dan hasilnya akan diumumkan.- BERNAMA-IRNA


AL- FATIHAH

AMIN 

Tiada ulasan: