Isnin, 6 Mei 2024

SENJATA ISRAEL DI KUALA LUMPUR


MENGAPA SYARIKAT PENYUMBANG SENJATA KEPADA REJIM ZIONIS BERADA DI DSA & NATSEC 2024 ?


Rakyat Malaysia memandang serius terhadap keterlibatan syarikat yang menjadi penyumbang senjata kepada rejim Zionis Israel dalam  penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang dijadual berlangsung dari 6-9 Mei 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Pameran antarabangsa berkaitan keselamatan ini dianjurkan oleh DSA, dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia yang melibatkan 1,324 syarikat pempamer dari 60 buah negara yang akan mempamerkan aset-aset ketenteraan dan keselamatan terkini, dengan beberapa MoU dijangka akan ditandatangani melibatkan jumlah yang besar.

Tetapi rakyat Malaysia ingin tahu sejauh manakah kebenaran dan kewajaran  terdapat beberapa Syarikat yang menjadi penyumbang senjata kepada rejim Zionis melakukan pembantaian etnik  dan pembunuhan kejam ke atas rakyat Palestin di pameran berkenaan ? 

Adakah benar syarikat yang menyertainya adalah antaranya, Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI, dan Leonardo ?

Adakah benar Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) juga merupakan penyumbang platinum kepada pameran ini. Umum mengetahui Lockheed Martin adalah pembuat Kapal Tempur F-16 dan F-35 yang digunakan untuk mengebom Gaza dan pesawat C-130 Hercules digunakan menyokong serangan darat ke atas Gaza. Mereka turut membekalkan peluru berpandu seperti AGM-114 Hellfire dan Hellfire R9X yang digunakan Israel mengebom Hospital Al-Shifa. Roket M270 MLRS turut digunakan oleh Israel yang dibuat oleh Syarikat ini. Syarikat lain juga, seperti BAE terlibat dalam pembangunan komponen pesawat tempur milik Israel yang digunakan ke atas Gaza seperti F-15, F-16 dan F-35. 

Leonardo membangunkan Oto Melara 76/72 Super Rapid 76mm yang digunakan kapal tempur Israel. Aimpoint AB membekalkan antara kelengkapan termasuk Aimpoint Red Dot Sight, Colt membekal persenjataan termasuk M16, SHIELD AI membekal dron, Leupold & Stevens membekal peralatan ketenteraan termasuk skop dan teropong, serta bermacam lagi yang dibangunkan oleh Syarikat-syarikat ini.

Adakah kerajaan PMX, KDN, Kementerian Pertahanan cakna dalam hal ini sedangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang lantang, dan bersetiakawan bersama Palestin.

Rakyat menuntut penjelasan ini secara serius dan amatlah malang andainya syarikat yang dimaksudkan ini berada di bumi Malaysia yang tercinta, cintakan keamanan dan kedamaian.

Razali Idris
Ahli Dewan Negara
Ketua Penerangan BERSATU

Tiada ulasan: